Rabu, 26 Jun 2013

Polis buru dua lelaki terlibat samun empat buah kedai


Nibong Tebal, 25 Jun - Polis sedang mencari dua lelaki bagi membantu siasatan kes samun premis perniagaan yang semakin menjadi-jadi di sekitar Bukit Mertajam dan Nibong Tebal di sini sejak sebulan lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat berkata dua lelaki terbabit ialah Ng Boon Teong, 32, beralamat terakhir di No 3, Taman Impian di Bukit Mertajam dan Chong Wooi Huat, 30, dari Taman Seri Impian, Batu Dua di Jalan Kuala Ketil, Kedah.

"Selasa lepas polis berjaya memberkas tiga orang dipercayai anggota kumpulan samun ini dan susulan itu polis berjaya mengenal pasti ketua kumpulan tersebut," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya susulan penahanan itu, polis berjaya merampas semula pelbagai jenis telefon bimbit, aksesori telefon bimbit dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM15,000.

Lelaki Indonesia maut ditetak dalam pergaduhan

Gambar hiasan

ALOR GAJAH 25 Jun - Seorang lelaki warga Indonesia maut dalam keadaan tangan kirinya putus selepas ditetak dalam pergaduhan di sebuah rumah kongsi di Loji Air Gangsa, Durian Tunggal di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 10.45 malam itu, mangsa berasal dari Madura dan dikenali sebagai Saiful Rahman, 29, dipercayai diserang lebih daripada seorang suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian menjumpai sejumlah senjata termasuk sabit, parang dan kayu yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

"Setakat ini, polis telah mengesan tiga suspek lelaki berusia antara 25 hingga 35 tahun dan kini memburu mereka," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya tampil membantu. - UTUSAN ONLINE



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...