Rabu, 20 Mac 2019

PROGRAM TAMAN ANGKAT BANTU TURUN INDEKS JENAYAH


KUALA LUMPUR - Usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengurangkan kadar serta mengekang jenayah di seluruh negara akan diperluaskan menerusi PROGRAM TAMAN ANGKAT.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, DATUK SERI ROSLI AB. RAHMAN berkata, program yang mula dilancarkan sejak awal tahun lalu kini telah mempunyai sebanyak 14 Taman Angkat bagi seluruh kontinjen negeri.

Menurutnya, bermula tahun ini, JPJKK telah mengarahkan setiap kontinjen untuk mewujudkan 14 lagi Taman Angkat.

“Sudah tentu dengan pelaksanaan program ini, secara tidak langsung menggalakkan kerjasama dengan golongan suri rumah khususnya melalui kehadiran anggota skuad Aman Wanita (Amanita) dalam usaha mengekang berlakunya jenayah.

“Jika program ini berjaya dipenuhi, sebanyak 28 Taman Angkat bagi keseluruhan kontinjen akan diwujudkan,” katanya kepada pemberita selepas Forum ‘Towards A Safe Living And Working Environment’ Sempena Pameran International Fire and Security Exhibition & Conference (IFSEC) Southeast Asia 2019 di Malaysia International Trade And Exhibition Centre (MITEC), di sini, hari ini.

Mengulas tentang kriteria pemilihan Taman Angkat, Rosli berkata, pemilihan adalah berdasarkan kadar indeks jenayah serta masalah sosial yang tinggi di setiap kontinjen termasuk masalah dadah serta mat rempit.

“Pelaksanaan program Taman Angkat ini dilihat mempunyai impak positif apabila berjaya mengurangkan kadar jenayah dengan konsep penerapan kadar rondaan serta kerjasama bersama penduduk,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai PROGRAM 1MASJID 1POLIS (1M1P) beliau berkata, program itu menunjukkan keberkesanan apabila kadar jenayah berjaya diturunkan antara tiga dan empat peratus.

“Melalui program ini kita berjaya kurangkan kadar jenayah bukan sahaja di masjid, malah rumah ibadat lain seperti kuil dan gereja.

“Ini amat bertepatan bagi mengelak seperti yang berlaku di New Zealand. Kita berharap dapat mengekang perkara demikian dan akan meneruskan usaha ini bagi mengelak kejadian jenayah selain ancaman anti agama serta pengganas,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: KLIK DISINI  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...