Sabtu, 1 Jun 2013

ROMPAKAN NEKAD KEDAI EMAS

Gambar hiasan

Empat penyamun nekad larikan 16 dulang barang kemas



PORT DICKSON - Empat penjenayah bersenjata api bertindak nekad merompak sebuah kedai emas sebelum melarikan 16 dulang barang kemas dalam kejadian samun dekat Lukut, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Abd. Wahab Harun berkata, kejadian kira-kira 9.35 pagi itu berlaku ketika pemilik premis, Lim Poo Heng, 46 bersama tiga pekerjanya sedang membuka kedai untuk memulakan operasi perniagaan sebelum didatangi empat lelaki terbabit.
Katanya, keempat-empat suspek yang tiba di lokasi menaiki dua buah motosikal itu telah memasuki premis terbabit dengan memakai topi keledar.
"Salah seorang daripada suspek telah mengeluarkan pistol dan melepaskan satu das tembakan ke bahagian atas.
"Sejurus selepas itu tiga lagi perompak terus menggunakan tukul besar untuk memecahkan cermin pameran dan mengambil pelbagai barang kemas yang dimasukkan ke dalam dua buah beg hitam,'' katanya di sini hari ini. - KOSMO!

GENG OXY BERGERAK AKTIF DI KOTA BHARU ???

TERBUKA...pintu mesin ATM dipecahkan dengan pemotong besi oleh perompak di pekarangan dewan serba guna Universiti Malaya, semalam.
Gambar hiasan

Penjenayah guna kain rentang sebelum larikan wang daripada mesin ATM


KOTA BAHARU - Sejumlah RM217,950 wang tunai dilarikan penjenayah yang bertindak memecahkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Jalan Masjid Lama, di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian yang dipercayai berlaku awal pagi tadi, penjenayah turut menggunakan kain rentang untuk menutup cermin Bangunan Tabung Haji yang menempatkan mesin ATM milik sebuah bank bagi mengelak perbuatan mereka daripada dikesan.
"Kejadian hanya disedari orang awam yang mahu menggunakan perkhidmatan mesin ATM itu pada 8.30 pagi. Berdasarkan kesan yang ditemui, mesin ATM itu dipecah menggunakan api gas oxy (Oxy-Acetylene)," katanya ketika dihubungi.
Mazlan berkata, siasatan akan diteruskan dengan bantuan kamera litar tertutup (CCTV) dan kesan cap jari yang ditemui di tempat kejadian.
Selain itu, beliau turut meminta kerjasama orang ramai atau saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan. - Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...