Isnin, 5 Mei 2014

Rumah Pengarah Jabatan USM dirompak tiga lelaki

Gambar hiasan
GEORGE TOWN - Seorang pengarah di sebuah jabatan di Universiti Sains Malaysia (USM) kerugian lebih RM21,000 selepas rumah dua tingkatnya di Changkat Minden, Gelugor di sini, dirompak tiga lelaki dipercayai warga asing, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa yang berusia 52 tahun, isteri dan empat anaknya turut berdepan detik cemas selepas diikat kumpulan perompak tersebut sambil leher mereka diacu dengan parang.
Jurucakap polis berkata, mangsa dan anggota keluarganya sedang nyenyak tidur sebelum kesemua mereka dikejutkan dengan kehadiran suspek yang bersarung tangan dan menutup muka.
"Ketika itu, dua anak lelaki mangsa berada di aras bawah manakala mangsa bersama isteri serta dua anak perempuannya berada di dalam bilik berasingan di tingkat atas," katanya di sini, hari ini.
Anak lelaki mangsa berusia 17 dan 18 tahun manakala anak perempuannya berumur 10 tahun dan 5 tahun. - Bernama

EMPAT INDIVIDU DITANGKAP BERSABIT KES CULIK

Gambar hiasan
Kuala Lumpur, 4 Mei - Polis berjaya menyelesaikan kes penculikan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di ibu negara pada 23 April lepas dengan penahanan empat suspek di Sungai Buloh, dekat sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Junaidi Bujang berkata kesemua suspek berusia antara 19 dan 28 tahun itu ditahan dikawasan parkir Hentian Rehat & Rawat (R&R) Sungai Buloh, arah selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) kira-kira pukul 11.30 malam.

Katanya, mereka ditahan oleh sepasukan peronda polis yang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir di situ.

WARGA ASING BAWA ISTERI BERJUDI SABUNG AYAM


Seremban, 3 Mei - Dahulu sebuah kawasan di Kampung Pasir dekat Rantau di sini cukup terkenal sebagai ladang ternakan ayam. Bagaimanapun malam tadi, suasana di situ berubah apabila sebanyak 92 orang termasuklah tiga wanita datang secara sembunyi-sembunyi di situ untuk berjudi sabung ayam.

Perbuatan mereka terbongkar apabila mereka diserbu oleh sepasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri kira-kira pukul 11 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, kegiatan itu dikesan hasil daripada risikan sejak beberapa minggu lalu.

"Hasilnya kita menahan 89 orang lelaki dan tiga orang wanita. Malah tangkapan ini turut menyaksikan dua kakitangan awam yang terlibat dalam kegiatan haram ini. Empat orang penganjur warga tempatan juga turut ditahan. "

Sumber: Akhbar Utusan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...