Isnin, 31 Mac 2014

Pasangan Suami Isteri Ditemui Mati Dibunuh

Pasangan Suami Isteri Ditemui Mati Dengan Kesan Kelar, Anjing Peliharaan Dibunuh

KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri ditemui mati dengan leher dikelar di flat mereka di Kampung Muhibbah pada Sabtu.

Difahamkan, dalam kejadian pukul 11 malam di Blok C Projek Perumahan Rakyat Muhibbah, suami kepada wanita terbabit telah mengelar leher isterinya selepas berlaku pertengkaran sebelum mengambil nyawanya sendiri.

Mayat pasangan itu yang berlumuran darah ditemui bergelimpangan di atas lantai di dalam bilik dengan dua ekor anjing peliharaan mereka turut dibunuh.

Pisau yang dipercayai telah digunakan oleh lelaki terbabit untuk membunuh dirinya, ditemui di sebelah mayatnya.

Siasatan awal mendapati tanda kelar dengan ukuran antara 10 dan 15cm di leher wanita itu.

Terdapat juga tanda kelar pada leher anjing peliharaan mereka.

Seorang jiran, yang enggan namanya disiarkan berkata dia telah mendengar bunyi dari unit pasangan itu kira-kira jam 10 malam.

"Kedengarannya seperti mereka sedang bertengkar antara satu sama lain. Tidak lama selepas itu, seluruh blok dikejutkan dengan penemuan mayat mereka," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dia menambah, pasangan itu yang dikenali sebagai Selvam dan Anita tidak mempunyai anak dan telah tinggal di situ selama beberapa tahun.

"Selvam mempunyai perniagaan pengangkutan manakala Anita bekerja sebagai jurusolek sambilan," katanya.

Seorang lagi jiran, yang juga enggan dikenali mengakui bahawa ini adalah kali pertama dia mendengar pasangan itu bertengkar.

"Saya tidak pernah melihat atau mendengar mereka bergaduh. Mereka begitu penyayang," katanya.

Ketua Polis Daerah Cheras Komisioner Mohan Singh mengesahkan menerima laporan itu dan berkata kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Beliau menambah siasatan sedang dijalankan dan tidak ada unsur-unsur jenayah dalam kejadian itu.

Mayat-mayat telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

Pemandu Bas Disamun, Hilang RM3,000


BESUT: Seorang pemandu bas kerugian RM3,000 setelah disamun dua lelaki selepas mengeluarkan wang itu di sebuah bank di bandar Jerteh di sini pada Khamis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata kejadian berlaku kira-kira 8.15 malam semasa mangsa berumur 31 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Amer.
"Ketika menunggang motosikalnya, mangsa yang tidak menyedari telah diikut kemudiannya telah disekat oleh dua lelaki menaiki sebuah motosikal di Kampung Gong Mak Som, Alur Lintah.
"Suspek mengeluarkan parang dan meletaknya di leher mangsa sambil memaksanya memberikan wang yang diletakkan dalam beg sandangnya," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.
Dalam kejadian berasingan, Noor Zainy berkata seorang pemandu lori berumur 23 tahun dari Kampung Gong Kepas Dalam, cedera di bahu kiri selepas diserang seorang lelaki dengan pisau.
Kejadian berlaku ketika pemandu lori itu bertandang ke rumah rakan wanita yang merupakan bekas isteri penyerang itu di Kampung Pak Da Malik, Kampung Raja di sini pada Selasa, katanya.
Ekoran kejadian itu, mangsa dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Besut, katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...