Khamis, 26 September 2013

EMPAT LARAS SENAPANG ANGIN BUATAN SENDIRI DIRAMPAS


Tanah Merah, 25 Sept - Polis merampas empat laras senapang angin buatan sendiri dalam serbuan di bawah Ops Cantas Khas di sebuah pondok di Kampung Batu 5 1/2, Bendang Nyior hari ini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Aziz Mahmud berkata dalam serbuan kira-kira 3.30 pagi itu, polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai pemilik senapang berkenaan.

Beliau berkata polis turut menemui cecair jenis 'spirit' yang dipercayai digunakan bagi menggerakkan biji guli sebagai peluru.

"Bagaimanapun, seorang rakan suspek, yang merupakan warga Thailand, berjaya meloloskan diri ketika serbuan dilakukan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.

Aziz berkata suspek dipercayai mempelajari ilmu membuat senapang daripada rakannya yang melarikan diri dalam serbuan itu.

"Hasil maklumat yang diperoleh, senapang itu dijual antara RM300 dan RM350 selaras, dan ia digunakan antaranya untuk memburu binatang.

"Hasil ujian yang dilakukan, senjata itu mampu menembusi sekeping papan walaupun digunakan dari jarak 20 meter dan mampu mencederakan orang," katanya. - BERNAMA

LEBIH 11,000 INDIVIDU DALAM OPS CANTAS DI SELURUH NEGARA


Kuala Lumpur, 25 Sept - Polis menahan 11,873 individu dalam Ops Cantas Khas yang dijalankan sejak 17 Ogos lalu di seluruh negara dan merampas sebanyak 401 senjata termasuk senjata api.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, sehingga hari ini, polis telah memeriksa sebanyak 299,346 orang di seluruh negara.

"Kita bukan sahaja melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya, malah melakukan pemeriksaan di pelbagai lokasi termasuk pusat hiburan, kawasan panas, premis persendirian dan pemeriksaan dari rumah ke rumah.

"Kita juga tahan beberapa individu di bawah Akta Pertubuhan 1966 membabitkan anggota kongsi gelap dan ada yang ditahan atas kesalahan pelbagai jenayah," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Abdul Jalil berkata polis turut merampas pelbagai senjata seperti parang, pistol, pedang, kapak, pistol tiruan, senapang angin buatan sendiri, 'stun gun', tukul besi, kuku kambing, pisau dan juga peluru.

Katanya polis turut memeriksa sebanyak 175,415 kenderaan sepanjang operasi itu dan merampas 502 kenderaan yang dipercayai dicuri, termasuk 236 motosikal dan 233 kereta. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...