Gambar hiasan |
SHAH ALAM 4 Nov. - Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan sepucuk pistol mengandungi tujuh butir peluru dipercayai disorok di dalam sebuah tandas di Stadium Shah Alam ketika perlawanan akhir Piala Malaysia di antara pasukan Kelantan dan Pahang, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Deputi Supritendan Ruslan Abdullah berkata, siasatan tersebut masih lagi diteruskan termasuk mengesan pemilik senjata api tersebut dan mengenal pasti motif sebenar senjata itu diletakkan di lokasi tersebut.
Menurutnya, pistol jenis Browning Automatic tersebut diletakkan di bahagian dinding di atas tempat letak tisu dalam tandas terbabit.
''Buat masa ini kita tidak boleh memberi apa-apa maklumat lanjut kerana masih dalam siasatan polis. Walau bagaimanapun, perlawanan akhir antara Kelantan dengan Pahang malam tadi berjalan dengan lancar dengan tiada insiden tidak diingini berlaku.
''Pada perlawanan itu, kita tempatkan 110 pegawai dan 1,482 anggota polis di segenap stadium termasuk di kawasan letak kenderaan, laluan masuk dan keluar stadium serta di setiap pintu tiket bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ruslan turut memberitahu, pihaknya telah menahan 86 individu atas kesalahan membawa tiket palsu ketika malam perlawanan bola sepak itu dan kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis.
Selain itu, beliau berkata, polis turut menahan lima lagi individu atas pelbagai kesalahan seperti menyalakan suar, membakar mercun dan membaling botol.
''Tindakan itu bukan saja membahayakan diri sendiri malah membahayakan nyawa penonton lain termasuk kanak-kanak yang ada dalam stadium. Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan," katanya.