Sabtu, 30 Ogos 2014

Dua murid perempuan Tahun 3 dakwa diculik


GEORGETOWN: Dua murid perempuan Tahun Tiga mendakwa diculik di hadapan sekolah mereka di Batu Lanchang di sini, semalam.

Jurucakap polis berkata, murid berkenaan mendakwa mulut mereka ditekup dengan kain oleh dua lelaki sebelum ditarik masuk ke dalam sebuah van berwarna putih dalam kejadian kira-kira 1.45 tengah hari.

"Bagaimanapun, ketika van itu berhenti di sebuah bank di Jalan Masjid Negeri, mangsa menggigit tangan suspek dan dapat meloloskan diri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika melarikan diri, murid berkenaan terserempak dengan ibu rakan sekolah mereka yang kemudiannya menghantar mereka ke sekolah semula.

Beliau berkata, ibu kepada seorang murid itu yang juga guru di sekolah berkenaan melaporkan kejadian itu kepada polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Abdul Rahman Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu petang semalam.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati tiada saksi melihat kejadian itu dan kes itu sedang disiasat.


Perompak bertopeng larikan RM100,000


Padang Besar: Sekumpulan perompak bertopeng dan bersenjata parang melarikan barang kemas bernilai RM100,00.00 dalam rompakan di sebuah kedai emas berhampiran Balai Baru, Beseri, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa, Chan Sain Lek, 38, kerugian hampir RM100,000 selepas diugut salah seorang perompak terbabit.

Ketika kejadian mangsa berada di kedai sebelum didatangi suspek yang kemudian mengacukan parang ditengkuk mangsa.

Sain Lek berkata, mereka kemudian memaksanya membuka peti besi kedainya sebelum mengambil semua barangan kemas di dalamnya.

Katanya, suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta.


DUA KONSTABEL POLIS DIITAHAN KERANA PERAS UGUT


KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Polis menahan dua anggota polis berpangkat konstabel di Taman Connaught, Cheras, semalam kerana disyaki memeras ugut.

Pemangku Ketua Polis Cheras ACP Abd Rahim Hamzah Othman berkata, kedua-dua anggota polis itu berusia dalam lingkungan 20an dan bertugas di Balai Polis Cheras.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua anggota berkenaan cuba memeras ugut seorang lelaki berusia 31 tahun dengan meminta wang sebanyak RM5,000 daripadanya kerana dipercayai kereta mewah yang dipandunya tidak dibayar cukai, dalam kejadian 8 malam itu, katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Lelaki berusia 31 tahun itu turut ditahan untuk siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan bagi peras ugut serta Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang belum lulus kastam. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...