Khamis, 26 Disember 2013

Beli gula-gula sebelum samun

Beli gula-gula sebelum samun

SEGAMAT - Seorang peniaga kedai runcit di Kampung Jawa, di sini, kerugian hampir RM4,000 apabila disamun tiga lelaki di kedainya, malam kelmarin.

Mangsa, Mariani Mahidin, 39, berkata, kejadian berlaku jam 7.30 malam apabila tiga remaja lelaki berumur 20-an yang menaiki sebuah kereta berhenti di hadapan kedainya.

“Ketika itu, saya berseorangan di kedai dan saya sangka mereka mahu beri barang. Sangkaan saya pada awalnya betul apabila salah seorang daripada mereka membeli gula-gula berharga 60 sen.

“Selang 10 minit kemudian, remaja yang sama datang bersama seorang lagi rakannya dengan membawa sebilah parang.

“Saya yang terkejut tidak mampu berbuat apa-apa dan mereka meminta saya memberi barangan berharga termasuk wang tunai di kaunter yang saya anggarkan RM4,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, bimbang diri dicederakan, dia menyerahkan wang tunai yang terdapat di kaunter kedainya kepada dua remaja tersebut sebelum mereka melarikan diri meninggalkan kedai menaiki kereta yang dipandu seorang lagi rakannya itu.

Mariani yang telah 10 tahun membuka kedai runcit berhampiran rumahnya itu berkata, kejadian itu merupakan pertama kali menimpa dirinya dan berdasarkan pemerhatiannya, ketiga-tiga suspek bukan penduduk sekitar kawasan ini memandangkan baru pertama kali melihat mereka.

“Saya yang ketakutan ketika itu segera menghubungi suami yang keluar ke bandar dan kami buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

“Saya hanya buka kedai pada waktu petang sehingga ke malam dan selepas ini, mungkin saya akan menutup operasi kedai lebih awal bimbang kejadian sebegini berulang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. ????

Kedai emas kena rompak

Kedai emas kena rompak

SEREMBAN – Wartawan Sambilan akhbar Nanyang Siang Pau, mengalami detik cemas apabila kedai emasnya dimasuki dua perompak bersenjatakan parang di Pekan Rantau, di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar 8.15 pagi, mangsa, Chong Chee Hong, 67, yang mengalami kerugian hampir RM200,000 itu, diikat dengan menggunakan wayar oleh penjenayah berkenaan sebelum melarikan barang kemas yang diambil dari peti besi.

Che Hong ketika ditemui berkata, setiap hari dia sampai kedai pada jam 9 pagi, namun semalam dia datang awal berikutan motosikalnya ditinggalkan di kedai berkenaan.

Katanya, sebaik sahaja dia sampai kira-kira jam 6.30 pagi, dia melakukan aktiviti harian biasa iaitu membasuh pakaian dan membuka e-mail sebelum memulakan operasi perniagaannya.

“Setelah semua kerja selesai, sekitar 7.30 saya keluar kerana mahu bersarapan. Tapi sampai dikedai makan, saya teringat kunci kedai tertinggal. Saya kemudiannya pergi semula ke kedai untuk mengambil kunci.

“Masuk saja, saya nampak dua lelaki bertopeng berada di peti besi, sebelum mereka bertindak menyerang dan menolak saya dengan ganas.

“Saya disuruh diam dan tidak melawan. Mereka kata mereka ada pistol, manakala parang yang dipegang diacukan kepada saya, sebelum menyuruh saya segera membuka peti besi itu,” katanya ketika ditemui di kedainya, semalam.

Walau bagaimanapun katanya, perompak berkenaan terpaksa menunggu hampir 30 minit, bagi membolehkan dia membuka peti besi berkenaan memandangkan peti besi itu menggunakan sistem ‘set timing’ di mana pada jam 9 pagi sahaja peti besi itu boleh dibuka.

Jelasnya, sebaik sahaja jam menunjukkan pukul 9, Chee Hong kemudiannya diarah supaya membuka peti simpanan besi yang mengandungi barang kemas termasuk duit bernilai RM5,000.

Kedua-dua pencuri berkenaan kemudian melarikan diri menggunakan pintu belakang, menaiki pacuan empat roda.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, menurut siasatan awal mendapati kedua-dua suspek itu berusia awal 20-an dan menggunakan kenderaan jenis Pajero berwarna biru untuk melarikan diri.


Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat dengan kejadian tersebut diminta tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Geng tebuk kedai emas di Besut dikenal pasti


KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu mengenal pasti kumpulan suspek warga asing yang terlibat dalam kes samun dengan menebuk dinding kedai emas di Jalan Bukit Mok Mek Besut Isnin lepas.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan kumpulan dianggotai empat hingga enam lelaki itu yang turut terlibat dalam kes samun di sebuah pasar raya di Hulu Terengganu Ogos lepas.

"Kita tidak menolak kemungkinan kumpulan ini turut terlibat memecah masuk sebuah pasar raya dengan cara sama iaitu menebuk dinding dan kita sedang giat mengesan kesemua suspek yang terlibat.

"Hasil siasatan awal kita juga memperoleh lakaran wajah kesemua suspek dan percaya kesemua suspek yang berusia 20 hingga 30 tahun itu masih bersembunyi dalam negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan ini menyasarkan kedai di kawasan terpencil dan tidak sibuk yang mana suspek akan membuat tinjauan dan mengenal pasti kedudukan peti besi terlebih dahulu sebelum memecah masuk kedai itu.

"Kumpulan ini sangat profesional, mereka tidak mengambil masa yang lama untuk menebuk dinding serta melarikan barangan berharga di kedai yang menjadi sasaran mereka," kata Manoharan.

Isnin lepas, pemilik kedai emas di Jalan Bukit Mok Mek Besut kerugian setengah juta ringgit selepas kedainya dipecah masuk perompak yang meloloskan diri melalui dinding yang ditebuk dari kedai barangan plastik bersebelahan.


Penjenayah berkenaan memasuki kedai barangan plastik itu melalui lubang sisip angin tandas sebelum melakukan kerja mengorek antara 8 malam hingga 2 pagi pada dinding belakang kedai berkenaan. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...