Selasa, 19 Mei 2020

PEMILIK SEBUAH AKAUN FACEBOOK YANG MEMFITNAH KP JOHOR DAN TIMBALANNYA DISIASAT


JOHOR BAHRU: Seorang remaja berusia 17 tahun parah akibat ditetak sekumpulan lelaki dalam kejadian di pekan Kelapa Sawit, Kulai, Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 malam itu, mangsa yang cedera parah itu kini dilaporkan stabil dan masih dirawat di hospital.
KETUA POLIS JOHOR, DATUK AYOB KHAN MYDIN PITCHAY, berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai melancarkan beberapa serbuan keesokannya, susulan kes terbabit.
"Polis mengadakan beberapa serbuan antara jam 4 petang Jumaat lalu sehingga 4 pagi tadi.
"Hasilnya, kita menahan 10 lelaki berusia antara 15 hingga 28 tahun bagi siasatan lanjut.
"Siasatan awal mendapati kejadian bermotifkan balas dendam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, TIMBALAN KETUA POLIS JOHOR, DATUK KHAW KOK CHIN.
Ayob Khan berkata, semua 10 suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 24 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Ditanya sama ada kes berkenaan membabitkan kumpulan kongsi gelap, beliau berkata ia masih dalam siasatan.
Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata, Polis Johor sedang menyiasat pemilik sebuah akaun Facebook yang memfitnah beliau dan timbalannya.
Katanya, akaun berkenaan menyiarkan video beliau bersama timbalannya, kononnya menerima wang sumbangan seorang wanita selain mendakwa mereka bersekongkol terhadap kes berkenaan.
"Kita sudah membuka kertas siasatan terhadap pemilik akaun Facebook berkenaan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan masing-masing kerana fitnah dan menimbulkan kegusaran awam," katanya.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Rujukan: KLIK DISINI


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...