Selasa, 8 April 2014

POLIS BERJAYA SELAMATKAN KANAK-KANAK DARIPADA DICULIK


TINDAKAN PANTAS POLIS SELAMATKAN KANAK-KANAK DICULIK

Kota Kinabalu, 7 April - Tindakan pantas polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun daripada diculik oleh individu tidak dikenali di kawasan meletak kereta Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa Likas, awal hari ini. 

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu Supt M. Chandra berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu kanak-kanak yang sedang tidur di dalam kereta milik ibunya dilarikan sejauh kira-kira enam kilometer oleh penjenayah sebelum ditemui ditinggalkan di kawasan Asia City sejam kemudian.

"Kami sedang mengenal pasti sama ada terdapat mana-mana kamera litar tertutup di kawasan Asia City yang berjaya mengesan kenderaan itu dan percaya kes itu adalah cubaan menyamun kereta," katanya.

Chandra berkata pihaknya sedang menyiasat penglibatan lebih daripada seorang suspek melarikan kereta itu dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan polis.

"Kanak-kanak itu bernasib baik kerana sepanjang kenderaan ibunya dilarikan dia sedang tidur dan jika sebaliknya pasti kejadian ini akan membawa kesan trauma ke atas dirinya," katanya.

Difahamkan ibu mangsa yang berusia 40-an dikenali sebagai Chung meletakkan kereta jenis Toyota Vios dengan enjinnya dibiarkan hidup ketika singgah membeli makanan sebelum beberapa minit kemudian kanak-kanak itu hilang bersama kenderaan itu. - BERNAMA

PENAGIH MEMILIKI PISTOL TIRUAN

Gambar hiasan

Kota Bharu, 7 April - Polis menahan seorang lelaki kerana memiliki pistol tiruan di rumahnya di Kampung Salor di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata suspek yang berumur 38 tahun itu ditahan pada pukul 9.30 malam. 

"Selepas disoal siasat, suspek telah membawa polis ke tempat dia menyimpan pistol berkenaan. Suspek kemudian menunjukkan sepucuk pistol tiruan berwarna hitam bertulis G-26 C MILSPEC 9X9 yang di letakkan di atas almari dalam sebuah bilik di rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati suspek didapati positif methamphetamine dan kini direman selama empat hari bermula hari ini.

Azham berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan jika sabit kesalahan. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...