Jumaat, 3 Mei 2013

#PRU13 #GE13: AMARAN KERAS TERHADAP PIHAK YANG CETUSKAN KEKECOHAN AHAD INI


Kuala Terengganu, 3 Mei - Polis Terengganu memberi amaran kepada mana-mana pihak mahupun individu agar tidak mencetuskan kekecohan semasa proses pengundian pada pilihan raya umum ke-13 Ahad ini. 

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba menghalang orang ramai daripada menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

"Selain itu kami turut memantau pihak yang cuba menyebar khabar angin dan hasutan melalui blog mahupun khidmat pesanan ringkas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini polis Terengganu telah membuka 25 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya di negeri ini sejak 20 April lepas.

"Daripada jumlah itu tiga tangkapan dilakukan dan ketiga-tiga mereka didakwa di mahkamah kerana mencetuskan pergaduhan sehingga mendatangkan kecederaan," katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh berkempen polis mengeluarkan 942 permit ceramah di Terengganu dan 10 kertas siasatan dibuka kerana menganjurkan ceramah tanpa permit.- BERNAMA

ELAKKAN PROVOKASI DAN GANGGUAN PADA HARI MENGUNDI

Kuala Lumpur, 3 Mei – Polis menegah mana-mana pihak daripada melakukan sebarang provokasi atau menganggu proses pembuangan undi pada hari mengundi, Ahad ini.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Seri Utama Hj Ismail bin Hj Omar berkata, sebarang cubaan untuk menganggu atau menghalang hak mengundi mana-mana individu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Menurutnya, polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab melindungi hak pengundi dan memastikan proses pembuangan undi berjalan lancar tanpa gangguan.


#PRU13 #GE13 UNDANG-UNDANG DAN ANDA:


Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Seksyen 26 - Batasan pada hari mengundi.

(1) Tiada seorang pun boleh pada hari mengundi -

(a) mengadakan, memanggil atau mengaturkan di mana-mana tempat apa-apa bentuk perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan atau hiburan atau memberikan apa-apa bentuk ucapan atau syarahan sama ada atau tidak perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan, hiburan, ucapan atau syarahan itu terbuka kepada atau melibatkan orang ramai atau selainnya;

(2) Mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen (1) boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.

(3) Sesuatu kesalahan di bawah subseksyen (1) ialah kesalahan boleh tangkap mengikut pengertian Kanun Tatacara Jenayah.

#PRU13 #GE13: PETUGAS SEBUAH PARTI POLITIK PARAH DISERANG

Gambar hiasan

Kulim, 2 Mei - Seorang petugas pilihan raya sebuah parti politik cedera parah di muka setelah diserang empat lelaki bersenjatakan parang ketika bertugas menjaga sebuah khemah yang didirikan sempena pilihan raya umum ke-13 di Taman Halia, Lunas dekat sini awal hari ini. 

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, empat lelaki bertopi keledar dikatakan menghampiri dua petugas yang sedang berada di sebuah khemah bersebelahan sebuah pentas pertunjukan yang akan diadakan malam ini.

#PRU13 #GE13: KUMPULAN RANCANG KEKECOHAN DIKENALPASTI


KUALA LUMPUR, 2 Mei - Polis telah mengenal pasti beberapa kumpulan yang dipercayai merancang melakukan kekecohan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad ini. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata polis telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu dan mengambil keterangan daripada beberapa orang kenamaan (VIP) baru-baru ini. 

"Amaran telah diberikan kepada kumpulan itu dan polis tidak teragak-teragak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka sekiranya mereka berkeras untuk melakukannya," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini. 

Beliau berkata selain itu, polis turut menubuhkan pasukan khas untuk memantau dan menangani kumpulan kongsi gelap, pertubuhan, serta kumpulan tertentu yang cuba mewujudkan kekacauan sepanjang pilihan raya umum. 

Sehingga semalam, sebanyak 3,079 laporan polis telah diterima berkaitan kesalahan-kesalahan pilihan raya sejak 20 April lepas hingga semalam, katanya. 

"Seramai 101 orang telah ditangkap dan daripada jumlah itu, 20 orang dituduh di mahkamah," katanya. 

Beliau berkata kesalahan yang paling banyak dikesan ialah perbuatan khianat seperti merosakkan bendera dan poster parti lawan iaitu 90 kes dan ceramah tanpa permit (86 kes). - BERNAMA

GODAM LAMAN WEB MILIK KERAJAAN, DUA LELAKI DITAHAN


Kuala Lumpur, 2 Mei - Polis menahan dua lelaki tempatan kerana disyaki menggodam dua laman web milik kerajaan, dalam satu serbuan di sebuah hotel di Jalan Raja Laut, di sini, Selasa lepas. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata dua laman web yang digodam suspek itu ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JPM), yang masing-masing membuat laporan pada 27 Dis 2012 dan 18 Feb lepas. 

Katanya suspek pertama berusia 33 tahun, merupakan usahawan manakala rakannya, 28, seorang pakar komputer. 

LELAKI DIPERCAYAI PEMILIK BLOG 'MILO SUAM' DITAHAN


Kuala Lumpur, 2 Mei - Polis menahan seorang aktivis media sosial awal hari ini di perkarangan sebuah pasar raya di Meru, Klang berhubung dua laporan polis yang dikaitkan dengan sebuah blog yang dipercayai miliknya. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata hasil siasatan awal menunjukkan suspek berumur 29 tahun itu dipercayai pemilik blog 'Milo Suam'. 

Beliau berkata seorang pegawai polis membuat laporan berhubung blog itu yang memaparkan satu perutusan polis berhubung kes pencerobohan Lahad Datu, Sabah iaitu 'Ops Daulat' yang diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia bertarikh 6 Mac. 

#PRU13 #GE13: RISALAH KANDUNG GAMBAR AIBKAN PEMIMPIN DISIASAT


Kota Baharu, 2 Mei - Polis Kelantan sedang menyiasat kes penemuan risalah mengandungi gambar pemimpin yang mengaibkan di markas sebuah parti politik di Dabong, Kuala Krai semalam. 

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan Supt. Che Mahazan Che Aik berkata seorang lelaki berumur 51 tahun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai pukul 1 petang semalam, mengenai penemuan beberapa keping risalah yang mengandungi gambar pemimpin yang mengaibkan itu. 

"Lelaki itu mendakwa risalah mengandungi gambar pemimpin itu dijumpai oleh anak lelakinya di markas tersebut sebelum diserahkan kepada beliau di rumahnya di Dabong," katanya kepada pemberita di pejabat IPK di sini hari ini. 

Beliau berkata pengadu membuat laporan polis kerana bimbang risalah tersebut akan menimbulkan kekacauan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Ahad ini. 

Beliau berkata kertas siasatan telah dibuka dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

#PRU13 #GE13: POLIS TERENGGANU BUKA 25 KERTAS SIASATAN



Kuala Terengganu, 2 Mei - Polis Terengganu telah membuka 25 kertas siasatan terhadap kes berkaitan PRU13 yang dilaporkan di seluruh negeri sejak hari Penamaan Calon, 20 April lalu. 

Jurucakap Pilihan Raya Polis Kontinjen Terengganu Supt Koh Ah Tiam berkata kesemua kes yang disiasat adalah berkaitan keganasan pihak penyokong parti serta mengadakan ceramah tanpa permit. 

"Kita menasihatkan semua penyokong parti politik agar lebih berhemah serta mengelak daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menjurus kepada pergaduhan dan provokasi sepanjang kempen pilihan raya ini," katanya ketika dihubungi. 

Koh juga menasihati semua pihak agar tidak melibatkan kanak-kanak dalam kempen politik mereka demi menjaga keselamatan. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...