Jumaat, 3 Mei 2013

#PRU13 #GE13: KUMPULAN RANCANG KEKECOHAN DIKENALPASTI


KUALA LUMPUR, 2 Mei - Polis telah mengenal pasti beberapa kumpulan yang dipercayai merancang melakukan kekecohan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad ini. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata polis telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu dan mengambil keterangan daripada beberapa orang kenamaan (VIP) baru-baru ini. 

"Amaran telah diberikan kepada kumpulan itu dan polis tidak teragak-teragak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka sekiranya mereka berkeras untuk melakukannya," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini. 

Beliau berkata selain itu, polis turut menubuhkan pasukan khas untuk memantau dan menangani kumpulan kongsi gelap, pertubuhan, serta kumpulan tertentu yang cuba mewujudkan kekacauan sepanjang pilihan raya umum. 

Sehingga semalam, sebanyak 3,079 laporan polis telah diterima berkaitan kesalahan-kesalahan pilihan raya sejak 20 April lepas hingga semalam, katanya. 

"Seramai 101 orang telah ditangkap dan daripada jumlah itu, 20 orang dituduh di mahkamah," katanya. 

Beliau berkata kesalahan yang paling banyak dikesan ialah perbuatan khianat seperti merosakkan bendera dan poster parti lawan iaitu 90 kes dan ceramah tanpa permit (86 kes). - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...