Isnin, 23 Disember 2013

Amaran Awal - 'Anggota perlu jauh diri daripada rasuah'

'Anggota perlu jauh diri daripada rasuah'

IPOH – Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner Roslan Abd Wahid akan bertukar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman akan menjawat jawatan sebagai Deputi Komander ‘Special Task Force in Organise Crime’.

Beliau yang telah dinaikkan pangkat Senior Asisten Komisioner akan melaporkan diri pada 26 Disember ini.

Menurutnya, kontinjen negeri telah mencatatkan kejayaan tertinggi apabila berjaya menahan 290,765 pesalah berkaitan dadah dan menuduh 70 peratus pesalah serta menyita harta pengedar berjumlah RM4.3 juta.

“Operasi masih belum tamat sepenuhnya dan pihak JSJN kini dalam usaha mengadakan operasi ‘Perkasa Pantai’ membabitkan kawasan pesisir pantai antara Kerian hingga Hutan Melintang.

“Amaran awal kepada semua anggota supaya menjauhkan diri daripada rasuah dan tidak bersekongkol dengan mana-mana pengedar kerana masyarakat sentiasa benci penjawat awam menyalahgunakan kuasa,” nasihatnya ketika berucap pada majlis Serah Terima Tugas KJSJN Kontinjen Negeri di Mes Pegawai Kanan, semalam.

Jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan dipangku sementara oleh Superintendan Mohd Nasri Omar.

Majlis serah tugas itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Roslan berkata, pihaknya telah menahan dua pengedar dadah yang dipercayai telah merekrut pelajar-pelajar untuk menjadi pengedar muda didua kawasan sekitar Bandar raya ini.


“Kumpulan pelajar ini dilatih menjadi pengedar dadah kecil-kecilan serta diberi upah lumayan. Polis telah mengenal pasti beberapa lokasi seperti Taman Mas dan Buntong yang dijadikan lokasi merekrut pelajar,” katanya.

Pecah Pejabat - Pemilik syarikat pembinaan rugi RM200,000

Pemilik rugi RM200,000

MARANG – Seorang pemilik syarikat pembinaan kerugian hampir RM200,000 apabila peti besi mengandungi barangan berharga dan wang tunai dilarikan pencuri yang memecah masuk pejabatnya di Binjai Rendah, dekat sini.

Mangsa berusia 51 tahun itu berkata, dia percaya kejadian berlaku antara jam 7 malam Khamis lalu hingga 7 pagi semalam.

“Pejabat ini ditutup Khamis kira-kira jam 7 malam dan kejadian itu hanya disedari kirakira jam 7 pagi tadi (semalam) apabila saya masuk ke pejabat dan mendapati peti besi terbuka,” katanya.

Mangsa kemudiannya membuat pemeriksaan mendapati semua laci meja dan peti keselamatan terbuka serta dirosakkan.

Menurutnya, dia kerugian hampir RM200,000 apabila pencuri melarikan pelbagai barang kemas termasuk wang tunai dari dalam bangunan pejabatnya itu.

“Mereka turut larikan dua jam tangan jenama Dunhill dan Rolex berharga RM5,000 serta RM40,000, selain barang kemas seperti cincin, rantai tangan, subang dan rantai kaki serta sejumlah wang,” katanya.

Mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Bukit Payung, dekat sini, semalam.
Dalam pada itu, seorang kakitangannya memaklumkan, kejadian itu adalah yang kedua selepas bangunan pejabat tersebut dipecah masuk pencuri beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan kejadian.

Pecah rumah dengan cangkul, cuba curi kereta

Pecah rumah dengan cangkul, cuba curi kereta

KIJAL – “Tindakan pantas jiran menghubungi saya sebaik terdengar alat penggera kereta berbunyi mengelakkan kereta saya dilarikan pencuri,” kata kakitangan Majlis Perbandaran Kemaman, Zahida Mohd Zin.

Kereta Proton Satria Neo milik mangsa nyaris dilarikan penjenayah yang memecah masuk rumahnya dengan menggunakan cangkul dalam kejadian di Kampung Meraga Beris, di sini, kira-kira jam 9.30 malam, Selasa lalu.

Menurutnya, semasa kejadian, tiada penghuni di rumahnya kerana dia dan anak-anak mengikuti suami berkursus selama lima hari di Pulau Pinang.

“Sejurus jiran memaklumkan alat penggera kereta berbunyi, saya segera menghubungi polis untuk melaporkan kejadian itu.

“Jiran sekeliling juga bertindak pantas meninjau keadaan di sekitar rumah saya sebelum lihat ada anak kunci tersangkut pada pintu kereta. Pencuri dipercayai cuba buka kereta saya menggunakan anak kunci disimpan dalam
rumah,” katanya di rumahnya, petang semalam.

Zahida berkata, selepas pulang ke rumah keesokan harinya, dia sekeluarga turut menemui cangkul di satu penjuru rumah dan mengesyaki pencuri menggunakan alat itu untuk mengumpil pintu.

Dua lelaki samun kedai diburu

Dua lelaki samun kedai

KEMAMAN – Dua lelaki bersenjatakan sebilah parang yang menyamun sebuah kedai RM2 di Jalan Kuantan–Kuala Terengganu di Kerteh, dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam semalam, kini sedang diburu polis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, wajah kedua-dua lelaki itu berjaya dirakam CCTV di dalam kedai terbabit.

Katanya, seorang daripada lelaki terbabit memakai topi keledar.

“Semasa kejadian, terdapat dua jurujual perempuan dalam kedai itu sebelum suspek masuk lalu mengugut mereka dan melarikan tunai kira-kira RM1,000.
“Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal," katanya.

Katanya, pihaknya kini giat mengesan dua lelaki terbabit dan orang awam yang mempunyai maklumat diharap  tampil untuk membantu siasatan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Che Suza berkata, suspek yang menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Jakar tiga hari lalu, berjaya dicekup kira-kira jam 1.30 pagi kelmarin.

“Suspek yang berusia 28 tahun berjaya ditangkap berhampiran kedai serbaneka 24 jam berkenaan. Polis juga berjaya merampas semula barang dilarikan dari kedai tersebut iaitu dua kotak rokok dan satu cerut.

“Turut dirampas, sebilah pisau jenama Berent dan Proton Wira Aeroback berwarna hijau kepunyaan suspek,” katanya.


Menurutnya, hasil saringan air kencing, suspek yang beralamat di Kampung Cina, Kuala Kemaman didapati positif dadah jenis Eramin 5.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...