Isnin, 23 Disember 2013

Amaran Awal - 'Anggota perlu jauh diri daripada rasuah'

'Anggota perlu jauh diri daripada rasuah'

IPOH – Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner Roslan Abd Wahid akan bertukar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman akan menjawat jawatan sebagai Deputi Komander ‘Special Task Force in Organise Crime’.

Beliau yang telah dinaikkan pangkat Senior Asisten Komisioner akan melaporkan diri pada 26 Disember ini.

Menurutnya, kontinjen negeri telah mencatatkan kejayaan tertinggi apabila berjaya menahan 290,765 pesalah berkaitan dadah dan menuduh 70 peratus pesalah serta menyita harta pengedar berjumlah RM4.3 juta.

“Operasi masih belum tamat sepenuhnya dan pihak JSJN kini dalam usaha mengadakan operasi ‘Perkasa Pantai’ membabitkan kawasan pesisir pantai antara Kerian hingga Hutan Melintang.

“Amaran awal kepada semua anggota supaya menjauhkan diri daripada rasuah dan tidak bersekongkol dengan mana-mana pengedar kerana masyarakat sentiasa benci penjawat awam menyalahgunakan kuasa,” nasihatnya ketika berucap pada majlis Serah Terima Tugas KJSJN Kontinjen Negeri di Mes Pegawai Kanan, semalam.

Jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan dipangku sementara oleh Superintendan Mohd Nasri Omar.

Majlis serah tugas itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A Paramasivam.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Roslan berkata, pihaknya telah menahan dua pengedar dadah yang dipercayai telah merekrut pelajar-pelajar untuk menjadi pengedar muda didua kawasan sekitar Bandar raya ini.


“Kumpulan pelajar ini dilatih menjadi pengedar dadah kecil-kecilan serta diberi upah lumayan. Polis telah mengenal pasti beberapa lokasi seperti Taman Mas dan Buntong yang dijadikan lokasi merekrut pelajar,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...