NAMPAKNYA dari hari ke hari pihak
berkuasa terpaksa berhadapan dengan pelbagai ‘cabaran’ dalam usaha mereka membanteras
dan membendung kegiatan keganasan di negara kita.
Dari hati yang paling tulus, kita
berharap semua pegawai dan anggota Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan
Khas khususnya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amnya, JANGAN KECEWA ATAU PATAH SEMANGAT
dengan tindakan
mana-mana pihak yang seolah-olah memperlekehkan usaha serta memperkecilkan tindakan
anda dalam memerangi keganasan ini.
Pengganas dan elemen-elemen di dalamnya
tak pernah mati walaupun secara zahirnya mereka seolah-olah terkubur. Meletak
senjata bukan bermakna mereka ‘menyerah’ ideologi.
Bahkan sokongan yang bukan berbentuk
‘senjata’ juga sebenarnya tak kurang bahayanya, malah terus terang saya katakan
– LEBIH BAHAYA.
Penggunaan senjata kita boleh lihat
darahnya, tetapi penggunaan ‘SOKONGAN
DAN SIMPATI’ itu kesannya pergi lebih jauh, apatah lagi bila ia mula meresap
dalam pemikiran dan pegangan.
Pengganas tidak hanya guna peluru dan
bom untuk menghalalkan perbuatan mereka, tetapi mereka tidak akan ragu-ragu menyebarkan dakyah dan
propaganda mereka dengan menggunakan orang awam termasuk kanak-kanak yang
tak tahu apa-apa.
Paling
menyedihkan, mereka menggunakan agama dan bangsa untuk ‘mengaburi’ perbuatan keji
mereka kerana mereka tahu hanyalah dua perkara inilah paling berkesan untuk
mempengaruhi serta menambahkan sokongan terhadap kumpulan masing-masing.
Pada yang mudah terpedaya, mereka akan
menjanjikan ‘syurga’, pada yang mudah tertipu, mereka akan menjanjikan
kemahsyuran.
Bila kita tersedar, ia sudah terlambat.
Rakyat yang tidak berdosa telah
dibunuh, dibom, diseksa…anak-anak menjadi yatim piatu, isteri-isteri menjadi
balu dan sebagainya.
PDRM SELAMA INI
TELAH MELAKUKAN TUGAS DENGAN PENUH CEMERLANG sehingga
boleh dikatakan tiada langsung pengeboman termasuk pengeboman berani mati yang
terjadi di negara kita yang tercinta.
Mereka telah berjaya memintas perbualan,
mereka telah berjaya menghidu pergerakan, mereka telah berjaya menafsir setiap
kod rahsia dan pergerakan pengganas, malah mereka telah berjaya menumpaskan
setiap elemen keganasan yang ada sebelum sempat ‘puak-puak’ ini melancarkan
serangan!
Begitulah hebatnya PDRM dalam
hal ini.
Bukannya mereka tidak dikritik,
bukannya mereka tidak dibidas, dihentam, dicaci dan sebagainya, tetapi mereka
tetap istiqamah kerana mereka tahu, kalau bukan mereka, siapa lagi yang mahu
melakukannya?
Sehingga
kini KLCC masih teguh berdiri, masjid, gereja dan kuil masih tidak terusik,
sekolah, pusat membeli belah, pejabat masih elok berada ditempatnya tanpa
sedikit pun ‘diusik’ walau sebutir peluru, kerana apa?
Ini kerana kita masih ada manusia yang MEMEGANG TEGUH PANJI-PANJI SANG SAKA BIRU
dan bersumpah
untuk berkorban demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.
Semoga segala ‘cabaran dan kesulitan’
yang dihadapi tidak mematahkan semangat warga PDRM demi memastikan negara ini
bebas daripada ancaman tangan-tangan kotor
yang sentiasa
mahu mencari ruang untuk memporakperandakan tanah air yang tercinta ini.
Ingat, keamanan yang kita kecapi
sekarang bukan murah harganya.
Berapa ramai anggota polis dan tentera
yang terkorban kerananya.
Peristiwa
pencerobohan di Lahad Datu menyaksikan ramai warga keselamatan yang terbunuh,
mayat mereka dirobek hingga terburai usus dan terkeluar biji mata, adakah kita
lupa?
Jangan ambil mudah elemen keganasan
walaupun sekadar memberi sumbangan atau menzahirkan rasa simpati. Ini kerana
bermula daripada benda sekecil itulah, ia akan merebak kepada serangan dan
pengeboman berani mati.
JANGAN PATAH
SEMANGAT PDRM, CABARAN MEMATANGKAN, UJIAN ITU MENDEWASAKAN.
Teruslah gemilang Sang Saka Biru, itu
doa kami! – MalaysiaGazette.