Isnin, 6 Januari 2014

Pemandu Lori Disamun, Nyaris Dibakar

Gambar hiasan
NIBONG TEBAL: Seorang pemandu lori nyaris dibakar hidup-hidup oleh dua lelaki yang menyamunnya dalam kejadian di Taman Tambun Emas, di sini Sabtu.
Jurucakap polis berkata dalam kejadian pukul 3 petang itu, mangsa yang berusia 49 tahun dalam perjalanan pulang ke tempat kerjanya di Butterworth selepas mengambil besi di sebuah kilang di Batu Kawan.
"Pemandu itu yang memandu berseorangan berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran tol Bukit Tambun sebelum dua lelaki menunggang motosikal berhenti di sebelahnya.
"Secara tiba-tiba, seorang daripada suspek masuk ke dalam lori mangsa dan lelaki itu yang bersenjatakan pisau mengacu senjata berkenaan sebelum mengarahkan mangsa memandu lori ke Taman Tambun Emas," katanya di sini, Ahad.
Beliau berkata rakan suspek yang menunggang motosikal mengekori lori terbabit dan sejurus tiba di lokasi yang agak sunyi suspek merampas dompet mangsa.
"Selepas mengambil wang, suspek keluar dan mengunci pintu bahagian pemandu manakala rakannya pula membawa tong berisi minyak sebelum mencurahkannya ke seluruh lori dan membakar kenderaan itu.
"Mangsa ketika itu berada dalam lori dan dia berjaya keluar melalui pintu bahagian penumpang sebelum lari menyelamatkan diri ke sebuah restoran berhampiran lokasi kejadian," katanya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata polis sedang mengesan dua lelaki berkenaan.
"Kami telah rakam percakapan mangsa dan usaha mengesan dua lelaki yang menyamun pemandu itu giat dijalankan," katanya. - BERNAMA

Mayat Koperal Halim Dan Anaknya Mohd Alif Ditemui

Gambar hiasan
NIBONG TEBAL: Selepas 24 jam operasi mencari dijalankan, mayat Koperal Halim Ibrahim yang dikhuatiri lemas bersama anaknya di Sungai Kerian, di sini ditemui kira-kira 5.40 petang Ahad.
Mayat Halim, 52, ditemui kira-kira 500 meter dari tempat dia dilaporkan hilang petang semalam manakala anaknya Mohd Alif Hakim berusia setahun 10 bulan ditemui lebih awal iaitu kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, mayat Halim yang bertugas diBalai Polis Batu Kawan, dekat sini ditemui terapung di permukaan air oleh pasukan skuba tidak jauh dari tempat anaknya ditemui.
Mayat Halim dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat, katanya kepada pemberita pemberita di sini.
Halim dan Mohd Alif Hakim dilapor hilang di sungai itu apabila bot yang dinaiki mereka bersama anggota keluarga dikatakan hilang kawalan menyebabkan Mohd Alif Hakim terjatuh ke dalam sungai.
Turut berada di dalam bot ketika kejadian pada pukul 6 petang Sabtu ialah isteri anggota polis itu, Waridah Muing, 33, juga seorang anggota polis dan anak perempuan mereka Nor Amira, 5.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, Waridah dikatakanterjun untuk menyelamatkan anak mereka diikuti oleh Halim yang bimbang akankeselamatan isteri dan anaknya itu.
Katanya, Halim berjaya menyelamatkan isterinya dan terjun semula ke sungai untuk mencari anak lelaki mereka, tetapi selepas 10 minit kedua-dua mereka langsung tidak muncul.
Sementara itu, ibu Halim, Siti Fatimah Ahmad, 72, berkata anak kedua daripada enam beradik itu tinggal bersamanya dan beliau juga menjaga Mohd Alif Hakim jika anak lelaki dan menantunya itu yang bertugas di Balai Polis Nibong Tebal keluar bekerja. - BERNAMA

Pegawai Kanan Maritim Cedera Ditembak Dua Lelaki Motif Samun

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) cedera di perut selepas ditembak oleh dua lelaki dalam kejadian di lebuh raya berhampiran Puchong, Sabtu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shukri Dahlan ketika mengesahkan kejadian, berkata dua suspek terbabit turut melarikan kereta bersama-sama isteri mangsa yang kemudian ditinggalkan tanpa sebarang kecederaan di sebuah stesen minyak di Bangi.
Dalam kejadian 11 pagi itu, Nazaruddin Mat Ali, 35, yang bertugas sebagai Pengarah Pentadbiran Bahagian Kewangan Maritim di Kuantan dan isteri Alawiyah Haron, 35, seorang eksekutif syarikat swasta, dalam perjalanan dari Shah Alam ke Semenyih.
Kereta yang dipandu mangsa kemudian dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta lain dan ketika mangsa keluar untuk berbincang mengenai kemalangan itu, seorang daripada suspek tiba-tiba melepaskan sedas tembakan yang mengenai bahagian kiri perut mangsa, katanya di sini Ahad.
Menurut Shukri, suspek kemudian melarikan kereta itu bersama-sama Alawiyah yang kemudian ditinggalkan selepas suspek menyamun beg tangan, telefon bimbit,rantai leher dan gelang tangannya.
"Kereta Honda Accord milik mangsa ditemui semula di Jalan Persiaran Bangi di simpang masuk Seksyen 4 Tambahan Bandar Baru Bangi pada petang hari kejadian," katanya.
Shukri berkata, polis percaya kejadian bermotifkan samun dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Menurutnya mangsa yang dirawat di Hospital Serdang dilapor dalam keadaan stabil.
Sementara itu, keluarga mangsa yang ditemui Bernama di Hospital Serdang enggan ditemu bual. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...