Isnin, 6 Januari 2014

Pemandu Lori Disamun, Nyaris Dibakar

Gambar hiasan
NIBONG TEBAL: Seorang pemandu lori nyaris dibakar hidup-hidup oleh dua lelaki yang menyamunnya dalam kejadian di Taman Tambun Emas, di sini Sabtu.
Jurucakap polis berkata dalam kejadian pukul 3 petang itu, mangsa yang berusia 49 tahun dalam perjalanan pulang ke tempat kerjanya di Butterworth selepas mengambil besi di sebuah kilang di Batu Kawan.
"Pemandu itu yang memandu berseorangan berhenti di persimpangan lampu isyarat berhampiran tol Bukit Tambun sebelum dua lelaki menunggang motosikal berhenti di sebelahnya.
"Secara tiba-tiba, seorang daripada suspek masuk ke dalam lori mangsa dan lelaki itu yang bersenjatakan pisau mengacu senjata berkenaan sebelum mengarahkan mangsa memandu lori ke Taman Tambun Emas," katanya di sini, Ahad.
Beliau berkata rakan suspek yang menunggang motosikal mengekori lori terbabit dan sejurus tiba di lokasi yang agak sunyi suspek merampas dompet mangsa.
"Selepas mengambil wang, suspek keluar dan mengunci pintu bahagian pemandu manakala rakannya pula membawa tong berisi minyak sebelum mencurahkannya ke seluruh lori dan membakar kenderaan itu.
"Mangsa ketika itu berada dalam lori dan dia berjaya keluar melalui pintu bahagian penumpang sebelum lari menyelamatkan diri ke sebuah restoran berhampiran lokasi kejadian," katanya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata polis sedang mengesan dua lelaki berkenaan.
"Kami telah rakam percakapan mangsa dan usaha mengesan dua lelaki yang menyamun pemandu itu giat dijalankan," katanya. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...