Selasa, 7 Januari 2014

PEMANDU JENTERA BERAT YANG DITEMBAK DI HULU T'GANU



Besut, 6 Jan - Pemandu jentera berat yang cedera di perut selepas terkena tembakan lelaki yang tidak dikenali dalam kejadian di Kampung Kuala Menjing di Hulu Terengganu pada Sabtu akan ditahan. 

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata mangsa yang berusia 28 tahun itu akan ditahan sebaik sahaja selesai menjalani rawatan. 

Katanya setakat ini mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan dilaporkan stabil.

"Kita akan menahan mangsa bagi membantu siasatan dan kita percaya mangsa juga mempunyai maklumat berhubung insiden yang berlaku," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya polis juga masih mengenal pasti senjata yang digunakan dan tidak menolak kemungkinan senjata itu merupakan buatan sendiri.

Jamshah berkata polis memandang serius kegiatan jenayah menggunakan senjata api di negeri ini dan terbaharu kediaman Yang Dipertua Majlis Daerah Besut Ibrahim Mohamad menjadi sasaran tembakan rambang pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi, penjenayah melepaskan enam das tembakan dengan dua daripadanya mengenai bahagian rumah manakala empat lagi pada kereta Mercedes Benz milik mangsa. 

Sehubungan itu, polis menubuhkan unit khas bagi memantau dan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes jenayah terbabit.

"Dua kes melibatkan penggunaan senjata api dicatatkan pada tahun ini walaupun tidak melibatkan nyawa namun kegiatan ini serius dan pasukan yang kita tubuhkan ini akan mengesan kesemua suspek terbabit," katanya. BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...