Rabu, 15 November 2017

APLIKASI VOLUNTEER SMARTPHONE PATROL (VSP) MEMBERI BANYAK MANFAAT

KUALA TERENGGANU – Aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilancarkan Mac lalu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh masyarakat negeri ini dengan sebahagian besar maklumat di lapor melibatkan lokasi atau ‘port’ dadah.

Ketua Jabatan Pencegahan dan Keselamatan Komuniti, Asisten Komisioner Redzuan Abd Hamid berkata, selain jenayah itu, terdapat juga maklumat jenayah lain seperti perlanggaran trafik, kegiatan lumba haram serta gangguan seksual melalui panggilan telefon.

“Sebanyak 80 peratus maklumat yang diterima menerusi VSP melibatkan kesalahan-kesalahan jenayah itu yang dilihat agak kerap dilaporkan oleh pengguna yang telah mendaftar dan memuat turun aplikasi itu.

“Berkenaan kes gangguan seksual menerusi panggilan telefon, kita telah mengenal pasti pemilik nombor berkenaan dan tindakan telah diambil,” katanya pada sidang media selepas Program Crime Awareness Day Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bersama Masyarakat Tiong Hua di Kampung Cina, di sini, hari ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...