Sabtu, 16 Mac 2013

BALAI POLIS BAHARU PULAU BANGGI AKAN DIBINA SECEPAT MUNGKIN - HISHAMMUDDIN


Kudat, 15 Mac - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini memberi jaminan bahawa balai polis baharu di Pulau Banggi, bahagian pantai utara Sabah, akan dibina secepat mungkin. 

Beliau berkata balai polis baharu itu penting bagi meningkatkan kawalan keselamatan ekoran insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, bahagian pantai timur negeri ini. 

"Kita mahu melihat ke hadapan dan saya sudah putuskan kita nak bina balai baharu di Pulau Banggi secepat mungkin," katanya kepada pemberita sempena lawatannya ke beberapa perkampungan air di sini. 

Hishammuddin juga mahu agar gerakan Rela dan kesukarelawan diperhebat bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan. 

FILIPINA SUARAKAN KOMITMEN BANTU SELESAI ISU PENCEROBOHAN SABAH


Taiping, 15 Mac - Kerajaan Filipina melahirkan komitmen mereka untuk menyelesaikan isu pencerobohan pengganas Sulu di Sabah termasuk mengenal pasti dalang di sebalik insiden itu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata komitmen itu disampaikan rakan sejawatannya Voltaire T. Gazmin pada pertemuan di Putrajaya semalam.

"Mereka akan menggunakan segala jaringan maklumat termasuk perisikan untuk mengetahui siapakah dalang di belakang pencerobohan militan di Sabah, sama ada di pihak Filipina atau dalang di pihak Malaysia atau pihak ketiga yang lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya Setiausaha Pertahanan Filipina itu juga menyatakan komitmen negaranya untuk bersama-sama pasukan keselamatan Malaysia menghapuskan saki-baki penceroboh militan yang berada di Lahad Datu serta kawasan lain di Sabah.

SEKUMPULAN PENJENAYAH PECAH, BAKAR ATM DI KOTA KEMUNING SEBELUM LARIKAN RM87,000


Shah Alam, 15 Mac - Sekumpulan penjenayah bertindak nekad memecah dan membakar sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di dalam sebuah pasar raya di Kota Kemuning sebelum melarikan wang tunai kira-kira RM87,000.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata dalam kejadian yang dipercayai berlaku awal pagi ini, kumpulan penjenayah itu menggunakan gas Oxy-acetylene untuk memecah mesin ATM bagi mengambil wang tunai di dalamnya.

"Kita menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.30 pagi daripada orang awam yang memaklumkan pasar raya terbabit dipecah masuk, dan mesin ATM turut dipecah dan dibakar," katanya kepada pemberita hari ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...