Selasa, 30 April 2013

WARGA PDRM BUKIT AMAN TUNAI TANGGUNGAWAB UNDI AWAL


BUKIT AMAN, 30 April - Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman merupakan satu daripada 544 pusat pengundian di seluruh Negara bagi proses pengundian awal hari ini. 

Warga PDRM telah bersama-sama menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

Seawal jam 9.30 pagi tadi, Tan Sri Datuk Seri Utama Hj Ismail Bin Hj Omar, Ketua Polis Negara telah mengundi awal di Mess Pegawai Kanan, Bukit Aman. 

Undi awal dilaksanakan buat pertama kali pada PRU13 berikutan pindaan kepada Peraturan 27A, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 iaitu kategori orang yang boleh mengundi awal. 

Ditanya pengalaman salah seorang pengundi awal di sini, Lans Koperal Iqtar Azmi dari Jabatan Pengurusan Bukit Aman merasa sangat teruja menunaikan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia yang merupakan pengalaman pertama beliau mengundi.

ESSCOM KENAL PASTI INDIVIDU TERBABIT DALAM PENCEROBOHAN DI SABAH


Kota Kinabalu, 30 April - Bahagian Risikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM) telah mengenal pasti individu yang terlibat dalam insiden pencerobohan militan Sulu di Lahad Datu pada Februari lepas.

Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek berkata mereka termasuk orang yang telah lama berada di Sabah.

"Mereka ini akan dipantau," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan penjawat awam persekutuan yang turut dihadiri Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Abu Bakar Hassan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, hari ini.

#PRU13#GE13: TIMBALAN KPN PUJI ANGGOTA PARTI DI T'GANU


Kuala Terengganu, 30 April - Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memuji anggota-anggota parti politik di Terengganu yang tidak menimbulkan kekecohan serius sepanjang kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) setakat ini.

Beliau berkata anggota parti di negeri ini lebih matang kerana tidak mudah terpengaruh dengan anasir jahat yang boleh menimbulkan pergaduhan.

"Kita harap trend ini terus dipraktikkan pada hari menggundi nanti. Kalau kita semua mengikut undang-undang dan peraturan, sudah tentu kita menghadapi pilihan raya dengan aman damai," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu hari ini.

Beliau berkata proses pengundian awal di Terengganu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan di semua pusat pengundian.

"Sehingga pukul 1 petang tadi, 97 peratus pengundi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu selesai mengundi," katanya.

Khalid juga berkata persiapan polis Terengganu diatur dengan baik bagi menghadapi hari mengundi Ahad ini.

Beliau turut menerima sumbangan RM123,641 untuk Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia dari Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...