Rabu, 15 Januari 2014

SOP Penggunaan Senjata Api Pasukan Polis Diperketatkan

Prosedur Kendalian Standard (SOP) penggunaan dan penjagaan senjata api yang diguna pakai pasukan polis masih gagal mengelakkan kehilangan aset berkenaan dan ia perlu diperketatkan lagi, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata SOP berkenaan perlu dikaji semula dengan mengambil kira tahap disiplin dalam kalangan anggota dan pegawai polis yang diamanahkan membawa senjata berkenaan.
Beliau mengulas kejadian seorang anggota polis yang tidak bertugas telah kehilangan sepucuk pistol bersama-sama dua kelopak peluru Ahad lepas.
Senjata berkenaan dipercayai telah dicuri dari anggota itu yang dikatakan mabuk dan tertidur dalam keretanya.
Kes kehilangan senjata itu turut dikaitkan dengan penemuan dua kelopak pistol yang mengandungi 21 butir peluru hidup jenis P99 yang difahamkan sama dengan peluru standard yang dikeluarkan untuk kegunaan polis di negara ini.
Kelopak pistol itu dipercayai tercicir dari seorang suspek dalam satu kes cubaan mencuri kereta di sini semalam yang suspek telah mengeluarkan sepucuk pistol sebelum meloloskan diri semasa bergelut dengan pihak polis.
Wan Junaidi berkata kejadian terbaharu itu menampakkan keperluan untuk mengkaji semula latihan kepolisan bagi memastikan anggota dan pegawai yang terlatih juga mempunyai disiplin dan jati diri yang tinggi.
"Saya melihat polis sekarang berada dalam zaman yang keterlaluan. Orang polis (sepatutnya) perlu sentiasa berwaspada. (Tetapi) semua benda (sudah menjadi) keterlaluan. Minum (arak) pun sampai mati," katanya.-BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...