Rabu, 23 Julai 2014

Pemilik pusat hiburan maut ditembak



Miri: Seorang pemilik sebuah pusat hiburan maut selepas ditembak dua lelaki bersenjatakan pistol dalam kejadian berhampiran gelanggang sabung ayam di Taman Tunku, di sini, pada jam 10.50 malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai Chiong Yu, 45, dari Jalan Pujut 1, di sini, didatangi dua suspek terbabit yang bertopeng sebelum kedua-duanya melepaskan beberapa das tembakan terhadap mangsa.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, mangsa yang parah selepas ditembak di kepala, muka dan bahu dibawa ke Hospital Miri dan disahkan maut semasa menerima rawatan.

Katanya, usaha sedang dijalankan bagi mengenal pasti dua suspek terbabit dan motif kejadian sedang disiasat.

Polis Tahan Lelaki Miliki Pistol Dan Peluru Di Tasek Gelugor


KEPALA BATAS, 22 Julai (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki dan menemui sepucuk pistol yang mengandungi sebutir peluru yang disembunyikan di dalam beg galasnya di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor dekat sini semalam.

Jurucakap polis berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada pukul 4 petang selepas berada dalam keadaan mencurigakan.

Katanya ketika ditahan, lelaki itu sedang menunggang motosikal dan polis memintanya berhenti di tepi jalan sebelum membuat pemeriksaan serta menemui sepucuk pistol di dalam beg galasnya.

"Polis kemudian membuat semakan dan mendapati lelaki berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kesalahan merompak," katanya di sini Selasa.

Warga Emas Dibunuh Dalam Kejadian Samun Di Felda Lok Heng


KOTA TINGGI, 22 Julai (Bernama) -- Seorang warga emas ditemui mati dipercayai dibunuh dalam satu kejadian samun di rumahnya di Felda Lok Heng, dekat sini semalam.

Jariah Abu Bakar, 62, ditemui dalam keadaan tertiarap dan tidak bernyawa di ruang tamu rumah oleh anaknya yang kebetulan baru balik dari Kuala Lumpur untuk bercuti raya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata mangsa merupakan seorang ibu tunggal yang tinggal bersendirian dan mempunyai tiga anak.

POLIS KELANTAN RAMPAS PELBAGAI JENIS DADAH BERNILAI LEBIH RM70,000

Gambar Hiasan
Kota Bharu, 22 Julai (Bernama)- Polis Kelantan menahan tujuh individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM73,150 dalam dua serbuan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata pasangan suami isteri antara enam yang ditahan dalam serbuan pertama semalam di sebuah rumah di Kampung Cherang Tok Rong, Pasir Mas. 

"Suspek yang ditahan berumur antara 23 dan 27 tahun, kita dapati beg salah seorang suspek yang ditahan berisi 555 pil dipercayai dadah jenis pil kuda dengan anggaran nilai RM15,150.

"Pihak kami turut menemui wang tunai sejumlah RM5,000 bersama suspek," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Lelaki bergaduh bersenjata parang dihadapan pusat hiburan

Gambar hiasan
JOHOR BAHRU - Tindakan sekumpulan lelaki bergaduh menggunakan senjata parang di hadapan sebuah pusat hiburan di Taman Sri Tebrau,  pada 8 Julai lalu membawa padah apabila mereka ditahan polis.


Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, bertindak atas maklumat, polis mendapati sekumpulan lelaki bergaduh menggunakan parang di hadapan premis terbabit sekitar jam 3.00 pagi.

“Susulan daripada itu, polis menangkap 10 lelaki berusia 17 hingga 43 tahun dan merampas dua buah kereta Toyota Harrier, dua bilah parang panjang, sebilah pisau, dua rotan dan satu besi tajam,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, semakan rekod kesalahan lalu mendapati dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...