Khamis, 2 Januari 2014

6 penyamun kebas 30 komputer sekolah

Kuala Lumpur: Akibat tidak membenarkan pengawal keselamatan membuat rondaan di tingkat atas bangunan, sebuah sekolah di Setapak di sini, kerugian lebih RM10,000 apabila 30 komputer dilarikan sekumpulan enam perompak bertopeng, kelmarin.
Harian Metro difahamkan, dalam kejadian antara jam 1 hingga 3 pagi itu, terdapat dua pengawal keselamatan berusia 30-an sedang bertugas, namun tidak menyedari kehadiran kumpulan penjenayah terbabit.
Menurut sumber, pengawal keselamatan tidak dibenarkan pentadbiran sekolah untuk melakukan rondaan di tingkat atas bangunan, sebaliknya hanya diarah melakukan pemantauan di kawasan sekitar.

Katanya, kesempatan itu digunakan kumpulan penjenayah berkenaan untuk menceroboh dengan mengumpil gril dan memasuki makmal komputer untuk melarikan peralatan berkenaan.
“Kumpulan yang dipercayai bersenjata itu kemudian melarikan 30 komputer dianggarkan bernilai lebih RM10,000,” katanya.

Mayat lelaki Myanmar ditemui dalam semak

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki Myanmar ditemui mati dengan kaki dan tangannya terikat ke leher dalam kawasan semak di kampung Masjid Timah, di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, mayat lelaki yang dikenali sebagai Sadnoor Abdullah, 28, itu ditemui oleh seorang penduduk kampung yang melalui kawasan berkenaan pada pukul 12 tengah hari.
"Lelaki berkenaan yang melalui kawasan semak itu untuk ke kedai runcit berhampiran terbau benda busuk sebelum cuba mencari dari mana puncanya dan menemui mayat berkenaan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan awal polis menemui kesan pukulan di bahagian kepala dan lelaki itu dipercayai mati kira-kira 10 jam lepas.
Mazlan berkata, polis percaya lelaki itu dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dicampak di kawasan semak berkenaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Warga emas maut ditikam ketika berjoging

GEORGE TOWN - Seorang warga emas yang menjalani rutin hariannya dengan berjoging di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah, dekat sini ditemui mati dipercayai ditikam oleh seorang individu tidak dikenali pagi awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 6.30 pagi itu, mayat mangsa yang dikenali sebagai Ang Cheng Hoo, 64, ditemui terbaring dengan berlumuran darah di lorong pejalan kaki oleh seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas di sebuah pangsapuri yang terletak berhampiran lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, mangsa mati akibat cedera parah di beberapa bahagian badan terutama di kepala dan leher.
Polis bagaimanapun menolak kemungkinan mangsa dirompak kerana kesemua barangan berharga milik mangsa termasuk telefon bimbit dan dompet ditemui bersama mangsa.
Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan agar menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran untuk membantu siasatan polis. - KOSMO!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...