Selasa, 17 Disember 2013

Polis Pulau Pinang ambil tindakan terhadap anggota tampar orang awam

GEORGE TOWN - Anggota polis yang dipercayai terbabit dalam kejadian menampar orang awam di Bayan Baru kini ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, langkah itu diambil sementara menunggu siasatan yang dijalankan oleh Bahagian Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Anggota polis berkenaan sudah ditukarkan serta-merta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Rahim turut menegaskan PDRM tidak berkompromi dengan pegawai dan anggotanya yang melakukan kesalahan sehingga mencemarkan nama dan imej PDRM.
"Arahan telah dikeluarkan kepada semua ketua jabatan, ketua polis daerah dan ketua formasi untuk memastikan semua pegawai dan anggota di bawah seliaan mereka melaksanakan tugas mengikut undang-undang.
"Jangan sesekali bertindak di luar batasan serta melakukan perkara yang mencemarkan imej pasukan,” tegasnya.
Kenyataan Abdul Rahim itu adalah susulan penyebaran rakaman video menerusi laman sosial sejak Jumaat lepas yang memaparkan perbuatan seorang anggota polis menampar seorang individu dipercayai warga asing, kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.
Kejadian dipercayai berlaku di hadapan sebuah klinik swasta di Bayan Baru. - Bernama

Pengawal Keselamatan Larikan RM250,000

Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan melarikan wang tunai berjumlah RM250,000 dari van yang dipandunya semasa dua lagi rakannya sedang memindahkan sejumlah wang ke Maybank di Wisma Consplant, Subang Jaya pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata, kejadian berlaku kira-kira 9 pagi ketika suspek yang dikenali sebagai Mohd Fahamy Mohammad Ramly, 30, yang sedang menunggu rakan-rakannya melakukan tugas mereka, tiba-tiba melarikan van yang berisi wang tersebut.
"Mereka ditugaskan untuk mengambil wang hasil jualan hujung minggu di beberapa premis perniagaan di sekitar Shah Alam dan di dua buah stesen minyak di Kesas (Lebuhraya Shah Alam) bagi tujuan mendeposit wang tersebut ke dalam bank.
"Wang berkenaan merupakan milik dua buah stesen minyak dan sebuah restoran makanan segera yang ditinggalkan dalam van itu sebelum dideposit ke dalam Maybank di dalam bangunan wisma tersebut," katanya kepada Bernama.
Yahaya berkata, dua rakan pengawal tersebut yang kembali setelah menghantar wang ke bank itu mendapati suspek bersama van itu tidak lagi kelihatan di situ.
Mereka kemudiannya menghubungi rakan mereka dengan alat walkie-talkie tetapi gagal, lalu kedua-duanya membuat laporan polis.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan suspek tidak mempunyai senjata dan baru sahaja berkhidmat di syarikat keselamatan itu pada 1 Oktober lepas.
Syarikat tersebut yang ditubuhkan pada tahun 2005 menawarkan khidmat penghantaran wang kutipan jualan untuk dimasukkan ke dalam akaun bank pelanggan, katanya.
Yahaya berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...