SEREMBAN: Aktiviti rondaan malam yang dijalankan setiap hari secara bergilir-gilir oleh 15 anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman College Height, Sikamat, di sini, bukan saja berjaya membebaskan taman itu daripada jenayah, malah mengikis imej sebagai ‘lubuk’ kegiatan tidak sihat.
Pengerusi KRT Taman College Height, Mohamad Taslim Khan Kutob Khan berkata, sejak pasukan SRS ditubuhkan awal tahun lalu, banyak kejadian mahupun kegiatan tidak bermoral dapat dibanteras hingga berjaya mencatatkan sifar jenayah.
Menurutnya, sebelum ini banyak kejadian tidak diingini berlaku di taman itu seperti kes ragut, pecah rumah, mencuri motosikal dan perjudian di premis siber kafe yang dilakukan oleh segelintir pihak yang dipercayai menjadi dalang terhadap kegiatan berkenaan.
“Berikutan keadaan membimbangkan, ia mendorong kami menubuhkan pasukan SRS bagi memantau tahap keselamatan penduduk dan akhirnya menerusi kerjasama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (Japnin) daerah, usaha kami berjaya.