Sabtu, 26 Februari 2011

Peguam Negara boleh cabar arahan SUK Selangor

PUTRAJAYA: Peguam Negara mempunyai locus standi (ada hak dari segi undang-undang) untuk memulakan tindakan undang-undang bagi mencabar kesahihan arahan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor bahawa kakitangan awam negeri hanya boleh disoal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat masing-masing. 

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Jeffrey Tan Kok Wha memutuskan perkara itu perlu dihantar kembali ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.
Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Azhar @ Izhar Ma’ah dan Hakim Datuk Mohamed Apandi Ali menolak rayuan SUK Selangor dan kerajaan PKR Selangor serta mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk membatalkan saman pemula Peguam Negara.



SUK dan kerajaan PKR Selangor juga diperintahkan membayar RM30,000 bagi kos undang-undang. 

Peguam Negara memfailkan permohonan itu bagi memohon mahkamah mengisytiharkan Pekeliling No 4, 2009 bertarikh 28 Julai itu adalah batal dan tidak sah kerana melanggar Akta Pencegahan Rasuah Malaysia yang baru dikuatkuasakan. 

Peguam Negara juga berkata ia menghalang pegawai SPRM daripada menjalankan tugas mereka seperti mana ditetapkan Parlimen dan undang-undang. 

Pekeliling itu menyatakan ahli majlis eksekutif negeri Selangor dalam mesyuarat mereka pada 22 Julai 2009, memutuskan semua kakitangan yang berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan negeri tidak dibenarkan ditemubual pegawai SPRM di luar pejabat mereka, sebaliknya hanya dalam bangunan SUK. 

Ia juga menyatakan semua perjumpaan dengan pegawai SPRM perlu diadakan antara jam 8 pagi dan 6.30 petang. 
Pekeliling itu yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud (bekas), menyatakan keputusan yang dibuat oleh ahli majlis eksekutif juga termasuk memberikan perkhidmatan undang-undang kepada kakitangan awam ketika mereka disoal oleh pegawai SPRM. 

Pekeliling itu didraf selepas kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha politik EXCO kerajaan PKR Selangor Ean Yong Hian Wah, yang ditemui mati di Plaza Masalam dekat sini pada 16 Julai 2009. 

Kerajaan PKR Selangor dalam permohonannya untuk membatalkan saman pemula itu, mendakwa Peguam Negara tidak mempunyai locus standi untuk memulakan prosiding dan pihak yang sesuai berbuat demikian ialah SPRM. 

Perayu diwakili peguam Tommy Thomas, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Datin Azizah Nawawi mewakili Peguam Negara. – BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...