Sabtu, 14 Julai 2018

BEKAS KPN DITERIMA MASUK SEBAGAI PEGUAMBELA DAN PEGUAMCARA


KUALA LUMPUR - BEKAS KETUA POLIS NEGARA TAN SRI ISMAIL OMAR hari ini diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya.

Ismail, 65, yang kini, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) yang dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian dari Universiti Islam Antarabangsa merupakan pempetisyen paling kanan dari segi usia yang diterima masuk dan didaftar sebagai peguambela dan peguamcara di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan.

Pada majlis itu, peguam Datuk Khairul Anwar Rahmat selaku tenaga pengajar  menyarungkan jubah peguam kepada Ismail selaku pelajarnya sebagai simbolik beliau (Ismail) kini adalah pegumbela dan peguamcara.

Terdahulu, peguam pengusul Mad Diah Endut membacakan petisyen Ismail bagi memperkenalkan latar belakangnya selaku pempetisyen.

Mad Diah berkata: Pempetisyen (Ismail), merupakan anak kelima daripada 10 beradik kepada pasangan Allahyarham Omar Rahman dan Hasnu Ariffin dan telah mengikut jejak langkah ayahnya menjadi warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Peguam pengusul itu berkata kerjaya pempetisyen dalam PDRM bermula di Maktab Polis Kuala Kubu Bahru pada 1971 sebagai Inspektor Pelatih dan setelah menamatkan latihan pada 1972, kariernya bermula sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah di Ibu Pejabat Polis, Seremban sebelum beliau menyandang jawatan sebagai Ketua Polis Negara yang kesembilan pada 13 Sept 2010.

Mad Diah berkata pempetisyen turut dikenali sebagai seorang ketua polis yang amat tegas dan menitikberatkan disiplin dalam kalangan pegawai dan anggota bawahannya dan antara kenangan pempetisyen semasa menyandang jawatan Ketua Polis Negara ialah apabila pasukan keselamatan negara berjaya menumpaskan ancaman pencerobohan Sulu di Lahad Datu pada 2013 dan kejayaan PDRM dalam siasatan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya di Morib, Selangor pada 2010.

“Selepas tamat perkhidmatan dalam PDRM pada 17 Mei 2013, pempetisyen telah dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Perancis dari 2013 hingga 2015,” katanya yang turut memaklumkan pempetisyen telah menamatkan latihan dalam kamar di bawah tunjuk ajar pengajarnya, Datuk Khairul Anwar Rahmat di Tetuan Khairul A. & Co.

Petisyen untuk diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara itu tidak mendapat bantahan daripada Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ismail yang ditemani isterinya  Puan Sri Suriati Md Sobri ketika ditemui pemberita berkata beliau akan meneruskan khidmatnya kepada orang ramai sebagai peguambela dan peguamcara demi keadilan.

“Mungkin juga saya akan melibatkan diri dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tanpa kepentingan apa-apa...semata-mata demi membantu bangsa sejagat dan untuk membantu mereka yang lemah dan mereka yang tidak berpeluang untuk mempertahankan hak-hak mereka,” katanya. - Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...