KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Polis Diraja Malaysia
(PDRM) menjalankan siasatan rapi dari segenap sudut berhubung tragedi yang
menimpa MH370.
Perdana Menteri berkata walaupun jawapan sebenar kepada misteri
kehilangan pesawat itu hanya boleh diketahui melalui rakaman perbualan kokpit
di dalam kotak hitam, namun mereka perlu komited dan profesional semasa
menjalankan siasatan.
"Siasatan lain amat perlu dilakukan kerana keluarga mangsa mahukan
jawapan segera. Ini merupakan satu tragedi besar dan menyayat hati Malaysia dan
negara lain.
"Misi menjejaki pesawat MH370 dijalankan bersama PDRM, Angkatan
Tentera Malaysia dan 26 buah negara, namun siasatan punca kejadian perlu
dilakukan secara rapi bagi mengurangkan spekulasi," katanya dalam ucapan
perasmian sambutan Peringatan Hari Polis ke-207 di Pusat Latihan Polis
(Pulapol), Jalan Semarak di sini, hari ini.
Dalam sidang akhbar malam tadi, Najib mengumumkan penerbangan MH370
berakhir di selatan Lautan Hindi.
Sehubungan itu, polis juga telah mengambil keterangan lebih 50 individu
bagi membantu siasatan kehilangan pesawat terbabit.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata antara yang
sudah diambil keterangannya ialah staf Jabatan Penerbangan Awam, anggota
Tentera Udara Diraja Malaysia selain anggota keluarga penumpang dan anak kapal
MH370.
Siasatan masih berdasarkan kepada empat aspek yang diumum sebelum ini iaitu
kemungkinan dirampas, sabotaj, keadaan psikologi dan masalah peribadi penumpang
serta anak kapal.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas
dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac menuju
Beijing, hilang daripada skrin radar sejam kemudian.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang
sama. - Bernama