Khamis, 24 Oktober 2013

Remaja perempuan dibunuh kejam



PETALING JAYA 22 Okt. - Seorang gadis berusia 15 tahun yang hilang sejak semalam ditemui dibunuh dengan kejam apabila mayatnya dimuatkan dalam sebuah beg di kawasan semak di Jalan Kebun Nenas, Kampung Jawa di Klang malam ini.

Mangsa, Ng Yuk Tim dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya setelah suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut.

Mayat gadis itu ditemui pukul 8.30 malam ini selepas suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, mangsa dilaporkan hilang sejak pukul 11 pagi semalam dan dipercayai dibunuh petang semalam.

"Mayat remaja itu ditemui lengkap berpakaian dalam sebuah beg pakaian dan ditinggalkan di tepi jalan kawasan semak. Terdapat kesan kecederaan di kepala dan tangan, polis percaya mangsa dibunuh dalam tempoh 24 jam sebelum mayatnya ditemui," katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mayat itu malam ini.

Sementara itu, Presiden Komuniti Kepolisan, Kuan Chee Heng memberitahu, ibu remaja terbabit meminta bantuan mencari anaknya itu hari ini selepas dia tidak pulang ke rumah sejak semalam sebaik sahaja keluar bersama teman lelakinya.

Beliau berkata, teman lelaki mangsa mendakwa dia telah menghantar mangsa ke sebuah stesen LRT selepas berjumpa mangsa dan melalui maklumat tersebut, mereka cuba mencari mangsa di sekitar kawasan itu.

"Pencarian tersebut gagal sehingga saya mengesyaki sesuatu yang tidak kena pada suspek selepas ternampak tanda gigitan pada tangan suspek," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini malam ini.

Menurut Chee Heng, selepas didesak suspek yang berusia 23 tahun itu mengaku membunuh mangsa selepas cuba merogol remaja terbabit di Kampung Cempaka, Sungai Way sebelum mayatnya dicampak di Klang.

Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala suspek kini ditahan mengikut Seksyen 302 bagi membantu siasatan.

7 senjata api dijumpai semula


Kuala Lumpur: Tujuh daripada 44 senjata api milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hilang di antara 2010 dan 2012 seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 sudah dijumpai semula. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata antara punca kehilangan senjata api yang dikenal pasti ialah kereta dipecah dan senjata api tertinggal dalam kereta, diragut atau disamun, tercicir ketika menjalankan tugas, kehilangan dalam tandas dan kehilangan dalam pejabat.

Nilai senjata berbeza 



“Nilai senjata itu berbeza mengikut jenis dan negara pengeluar, secara keseluruhan kategori senjata yang hilang adalah dari senjata ringan (pistol dan revolver) yang boleh diletakkan di badan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Chua Tian Chang @ Tian Chua (PKR-Batu) di Dewan Rakyat, semalam, yang ingin tahu jumlah senjata api yang hilang dan prosedur serta tindakan terhadap pegawai polis yang kehilangan senjata api. 

Ahmad Zahid berkata, Bahagian Teknologi Maklumat (IT) PDRM sedang membangunkan sistem yang mengandungi submodul bagi tujuan pemantauan dan rekod kes kehilangan aset organisasi itu yang dijangka beroperasi November ini. 

“Sistem itu akan merekodkan kehilangan aset PDRM bermula daripada kehilangan sehinggalah ke peringkat tindakan diambil ke atas pegawai cuai. 
“Dengan sistem itu, semua kes kehilangan aset PDRM akan diketahui dengan mudah oleh Urus Setia Pengurusan Kehilangan Aset PDRM,” katanya. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...