Ahad, 26 Mei 2013

KERJASAMA MASYARAKAT DIGEMBLENG DALAM JABATAN PENCEGAHAN JENAYAH


Jabatan Pencegahan Jenayah yang baru ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melibatkan masyarakat umum secara langsung dalam usaha pencegahan jenayah di seluruh negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pengumuman secara terperinci mengenai peranan dan fungsi jabatan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

"Saya akan umumkan bersama-sama dengan pengumuman ketua-ketua jabatan pencegahan Bukit Aman dan di setiap kontinjen negeri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata apa yang boleh dikatakan setakat ini ialah kerjasama masyarakat umum akan digembleng untuk bersama-sama PDRM dalam usaha mengurangkan kadar jenayah sejajar dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

MEDIA SOSIAL KDN BEKERJASAMA DENGAN SKMM, CYBER SECURITY BANTERAS KANDUNGAN LANGGAR UNDANG-UNDANG


Bagan Datoh, 25 Mei - Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Cyber Security Malaysia untuk mengambil langkah segera membanteras penyaluran kandungan menyalahi undang-undang dalam media sosial oleh
kumpulan 'tentera siber' tertentu.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah segera itu bagi memastikan maklumat yang disampaikan oleh individu atau kumpulan siber menerusi pelbagai media sosial seperti Facebook, Twitter serta blog adalah telus dan benar.

"Apa yang menjadi rungutan adalah kandungan laman sosial dan blog termasuk oleh kumpulan Red Bean Army adalah kerana kandungan itu menyentuh perkara yang termaktub dalam Akta Hasutan dan (isu) perkauman yang sensitif serta bersifat fitnah (iaitu) terkeluar daripada prinsip undang-undang," katanya kepada
pemberita di sini hari ini.

SUSPEK HINA SULTAN TERENGGANU DALAM FACEBOOK DITAHAN


Cyberjaya, 25 Mei - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah berjaya mengesan suspek yang menghina DYMM Sultan Terengganu di laman Facebook-nya. Dengan kerjasama Polis, suspek berkenaan telah ditahan untuk disoalsiasat.

Jika didapati bersalah, dia boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

SKMM memandang serius terhadap penyalahgunaan media sosial untuk memuatnaik kandungan yang berunsur menghina terutamanya institusi DiRaja Malaysia.

"Undang-undang negara berkuatkuasa tidak kira di mana-mana, baik di luar mahupun di dalam talian. Jenayah tetap jenayah, walaupun di dalam media sosial," kata Pengerusi SKMM, Dato' Mohamed Sharil Tarmizi.

"Pengguna media sosial perlu sedar bahawa mereka tidak sekebal seperti yang disangkakan. Oleh itu, kami menyeru kepada orang ramai supaya berhati-hati dan bersikap lebih bertanggungjawab semasa berkomunikasi di alam maya. Sesiapa yang melanggar lunas undang-undang akan dibawa ke muka pengadilan," tambah Dato' Sharil.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...