Selasa, 31 Julai 2012

2 pistol, 10 parang dirampas

RAMPAS...Tun Hisan  menunjukkan senjata yang dirampas.


SHAH ALAM: Polis merampas dua pucuk pistol, 40 butir peluru dan 10 bilah parang panjang dalam serbuan berkaitan dadah di sebuah rumah teres di Taman Bukit Pandan, Ampang, Jumaat lalu. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata dalam serbuan 4.30 petang itu polis turut menahan sepasang suami isteri berusia 28 dan 27 tahun serta seorang remaja lelaki berumur 18 tahun.

"Turut dirampas satu peket plastik berisi bahan dipercayai dadah jenis heroin dengan berat 143 gram bernilai kira-kira RM8,000," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Polis dekati masyarakat di bazar Ramadan


PASIR GUDANG – Tindakan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam turun padang bertemu masyarakat di Bazar Ramadan Jalan Balau Taman Rinting, di sini disifatkan sebagai satu usaha yang murni.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Datuk M Munusamy berkata, lokasi yang dipilih pihak polis bersesuaian kerana Bazar Ramadan berkenaan dibanjiri ramai pengunjung untuk membeli juadah berbuka puasa daripada lebih 200 gerai.

Menurutnya, usaha lebih 50 anggota polis dari IPD Seri Alam turun padang boleh mendekati masyarakat untuk menyampaikan info terkini terutama dalam mengedarkan risalah pencegahan jenayah.

“Ini satu usaha yang baik kerana selain dapat beramah-mesra dengan masyarakat, banyak maklumat-maklumat terkini yang boleh disampaikan kepada mereka.

Ahli Perniagaan Maut Ditembak Dari Jarak Dekat


Gambar hiasan

MIRI, 30 Julai (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan berusia 48 tahun maut selepas ditembak dari jarak dekat dalam kejadian berhampiran lampu isyarat di Jalan Bendahara, di sini petang Isnin.

Mangsa yang juga pemilik sebuah pusat hiburan di sini, sedang memandu kenderaan pacuan empat roda dalam perjalanan balik ke rumahnya apabila ditembak di kepala dan leher dalam kejadian 5.30 petang itu.

Mangsa mati di tempat kejadian.

Kejadian turut menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk kerana lokasi insiden merupakan tempat tumpuan warga tempatan dan pelancong menjamu selera dan berhibur.

Ketua Polis Miri Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata polis sedang menyiasat motif pembunuhan.

Kejadian tembak itu adalah yang ketiga di negeri ini selepas kejadian pertama pada 11 Jan lepas di Sibu dan kedua di Kuching pada 12 Julai.

Isnin, 30 Julai 2012

Pelajar bawa telefon galak kes kecurian dan gegala sosial


KUALA LUMPUR: Meskipun cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah akan disertakan beberapa syarat jika dikuatkuasakan, ia dikhuatiri tetap mendatangkan implikasi buruk berbanding kebaikan, termasuk kemungkinan melahirkan pesalah juvana.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata telefon bimbit adalah alat komunikasi yang mempunyai nilai pasaran tertentu, sekali gus memberi peluang kepada pelajar memilikinya meskipun ada antara mereka tiada berkemampuan.


Perompak pecah masuk gereja


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya, Tan Cher Puk
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya, Tan Cher Puk menunjukkan bagaimana perompak bertindak mengumpil dan memotong jeriji sebelum memecah masuk gereja, semalam.

SENAI - Niat tiga perompak hendak melarikan sebuah projektor dan wang tunai RM200 sewaktu memecah masuk sebuah gereja di Jalan Bunga Raya, Plentong dekat sini,  terkubur apabila perbuatan mereka disedari oleh seorang paderi.

Menurut kerani Gereja St Joseph, Vecintia Heo, dia menerima panggilan daripada paderi itu kira-kira jam 4 pagi semalam memaklumkan gereja berkenaan dipecah masuk perompak selepas terdengar bunyi bising di tingkat bawah.

Menurutnya, dia kemudian segera menghubungi seorang kenalan kerana khuatir terhadap keselamatan paderi berkenaan sebelum menghubungi pihak polis.

Polis buru dua kanak-kanak terlibat kes samun


Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba
KUALA PILAH – Dua kanak-kanak antara suspek yang diburu oleh pihak polis selepas melakukan kegiatan samun di Taman Bukit Intan, kelmarin.

Kejadian itu berlaku jam 12.15 tengah hari ketika mangsa seorang wanita Melayu berusia, 48, tinggal sendirian di rumah.

Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, tiga suspek itu terdiri daripada seorang lelaki berusia 20-an bersama dua kanak-kanak perempuan berusia 12 dan 13 tahun.

Menurutnya, suspek lelaki menggunakan parang panjang manakala salah seorang kanak-kanak itu menggunakan parang pendek.

"Ketiga suspek dipercayai masuk ke dalam rumah mangsa melalui pintu utama kerana tidak berkunci. Mangsa ketika itu sedang menjahit baju di bilik belakang dan tidak perasan suspek masuk ke dalam rumah.

“Dia hanya terkejut apabila suspek memasuki ke dalam bilik belakang dan dua kanak-kanak terus memegang kedua-dua belah tangannya. Manakala lelaki tersebut terus merampas rantai mangsa.

Bantah kewujudan pusat judi


Mazlan (dua, kanan) menyerahkan memorandum kepada Jamaludin (kiri).
MUADZAM SHAH - Kira-kira 200 penduduk di sini termasuk dari Rompin dan Keratong mengadakan perhimpunan aman selepas solat Jumaat, kelmarin, untuk mendesak pihak berkuasa menutup empat premis judi siber di Bandar Industri Muadzam Shah.

Perhimpunan dianjurkan Pas, PKR, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Kumpulan Al-Fateh dan Jiran Muda Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teratai itu diadakan di pekarangan Masjid Muadzam Shah.

Laungan takbir ‘Allahuakbar’, ‘hidup-hidup Islam, hapus-hapus judi’ serta ucapan pemimpin politik pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) terbabit bergema lebih kurang 40 minit.

Penduduk yang turut kesal dengan kewujudan pusat judi haram di sini bukan saja melaungkan takbir beramai-ramai, malah turut menzahirkan kemarahan dengan menurunkan tandatangan pada kain rentang sebagai tanda bantahan.

Meskipun cuaca panas terik di samping bantahan diadakan pada bulan Ramadan, namun ia tidak menghalang semangat umat Islam untuk berarak sejauh kira-kira dua kilometer (km) menuju ke Pejabat Cawangan Majlis Daerah Rompin (MDR) Muadzam Shah bagi menyerahkan memorandum bantahan.

Hasil jualan warga emas dikebas


KAMPUNG SENENG (BACHOK) – Seorang warga emas terpaksa berputih mata menghadapi Ramadan kali ini apabila semua hasil jualannya sepanjang minggu lesap dikebas pencuri ketika dia baru pulang dari berniaga.

Zainab Awang Noh,64, berkata, dalam kejadian Sabtu lalu, dia kehilangan RM1,200 yang disimpan dalam beg duit di bawah katil.

Menurutnya, dalam kejadian kira- kira jam 2 petang, beliau baru sahaja pulang dari berniaga di pasar Jelawat.

“Apabila tiba di rumah, makcik terus menyediakan makanan untuk suami, Tuan Muda Tuan Senik, 65, yang menghidap angin ahmar sejak beberapa tahun lalu. Sementara menunggu dia selesai makan, makcik masuk ke bilik untuk berehat seketika.

“Selepas itu, makcik keluar untuk mandi dan solat. Selesai solat makcik terus ke dapur untuk makan. Ketika itulah makcik terdengar bunyi seperti orang berjalan. Makcik fikirkan suami yang berjalan mahu ke bilik, dan makcik melarang beliau ke bilik kerana bimbang dia akan terjatuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Zainab berkata, berkali-kali dia melarang suaminya agar tidak berjalan ke mana- mana tetapi bunyi tersebut tetap ada.

Ahad, 29 Julai 2012

Mayat berulat dalam longkang dipercayai dibunuh


KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dipercayai warga Indonesia dibunuh dengan kejam apabila mayatnya dicampak ke dalam parit sedalam 2.4 meter dengan dua jarinya dipotong selain cedera di kepala, dahi, paha dan patah tangan kiri di ladang kelapa sawit di Kampung Tapah Payung, Sungai Tong, Setiu, kelmarin.

Mayat mangsa dikenali sebagai Hary yang hanya berseluar panjang ditemui dalam keadaan berulat di dalam parit, 70 meter dari lokasi jari hantu dan telunjuknya ditemui rakannya yang juga pengadu iaitu orang lelaki tempatan berusia 32 tahun.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, mangsa dikatakan meminjam sebuah motosikal milik sepupu pengadu pada Rabu lalu.



Bangsar Sifar Jenayah Jalanan Sejak 2 Hari Lepas - Polis

Gambar hiasan - Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abd Bari 
Operasi Pencegahan Jenayah atau 'Ops Tawan' perlu dilaksanakan atau dijalankan di semua daerah-daerah Semenanjung. Daerah besar seperti Brickfields, Dang Wangi dsbnya, tidak dinafikan penurunannya, oleh kerana tindakan-tindakan bersepadu yang dijalankan setiap hari dengan kehadiran ramai anggota-anggota PDRM, melakukan rondaan jalanan.

Namun begitu tindakan-tindakan susulan ataupun maklumat-maklumat positif perlu diperolehi oleh detektif daripada masyarakat disekeliling bagi mengekang peningkatan jenayah. 

Kemesraan dengan masyarakat perlu diperhebatkan lagi dengan melibatkan diri  secara langsung atau tidak langsung sebagaimana yang dilaungkan oleh pucuk pimpinan - 'Komuniti 1Malaysia' atau 'Community Policing' perlu diperkemaskan lagi. Insyallah akan tercapai hasrat yang dihajati.

Diragut ketika tunggu berbuka


ALOR GAJAH: Seorang wanita warga emas terpaksa menggunakan seluruh kudrat tuanya dalam usaha menghalang peragut melarikan rantai tangannya dalam kejadian di Kampung Paya Datuk, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.15 petang, mangsa, Kalsom Ahmad, 62, yang menunggu waktu berbuka puasa di beranda rumahnya didatangi dua lelaki menaiki Perodua Kancil berwarna putih.


Menurut Kalsom, dia yang berada di beranda rumah melihat kenderaan itu masuk ke jalan mati berhampiran rumahnya.



“Kereta itu kemudian berpatah semula ke lorong arah rumah saya sebelum seorang lelaki keluar ke arah saya. Bimbang lelaki itu berniat jahat, saya bangun dan cuba masuk ke dalam rumah.


“Lelaki itu kemudian merentap rantai tangan saya dengan kuat dan saya cuba menghalang, namun tidak berdaya,” katanya di sini, semalam.



Penyamun menggunakan renjatan eletrik keatas mangsa pemilik butik


KUALA LUMPUR: Empat penyamun yang menggunakan alat renjatan elektrik terhadap seorang wanita ketika menyamun butik pengantinnya di Taman Tasik Permaisuri di sini, bukan saja melaram dengan pakaian dan barang curi bernilai lebih RM10,000 bagaikan orang kaya di sebuah pusat beli-belah, malah turut mencabul wanita berkenaan, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, empat penyamun berkenaan menyamar sebagai pelanggan ingin menempah pakaian untuk majlis akad nikah, mula mengintip pergerakan di kawasan butik beberapa jam sebelum itu.


Mangsa mahu dikenali sebagai Yati, 28, berkata ketika dia berehat di atas sofa butik yang terletak di tingkat satu, seorang lelaki masuk memberitahu mahu menempah pakaian untuk akad nikah melalui interkom.



Bagaimanapun katanya, sebaik membuka pintu butik, tiga lagi rakan lelaki itu menyerbu masuk sebelum mengenakan alat renjatan elektrik ke mukanya menyebabkan badannya lemah.


“Akibat terkena renjatan elektrik pada muka, saya terkencing dan terduduk lemah.



Sabtu, 28 Julai 2012

Ahli perniagaan cedera ditetak penyamun, rugi RM52,000,


MELAKA - Seorang ahli perniagaan yang baru mengeluarkan wang berjumlah RM52,000 daripada sebuah bank Disamun empat lelaki di hadapan rumahnya di Cheng di sini Rabu lepas.

Mangsa yang berumur 24 tahun turut ditetak di kepala, tangan dan kaki dengan pisau pemotong sayur dalam kejadian 3 petang itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata mangsa dipercayai telah diekori lelaki terbabit yang menaiki dua buah motosikal sehingga ke rumahnya.

"Setibanya di rumah, mangsa terus diserang dan ditetak dua daripada lelaki berkenaan sebelum mereka melarikan wang yang disimpan di dalam beg pinggang mangsa dengan motosikal yang ditunggangi dua lagi lelaki," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata polis belum mengenal pasti identiti suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkumpulan dan bersenjata sehingga mendatangkan kecederaan.

Raja Shahrom berkata penjenayah dikesan mengambil kesempatan pada bulan Ramadan berikutan wujud ruang dan peluang untuk melakukan aktiviti jenayah selain faktor kelalaian mangsa.

Rompak RM3.8j di Seri Alam


Gambar hiasan

SERI ALAM: Dua lelaki yang menyamar kakitangan syarikat keselamatan mengugut untuk mencucuh pemandu van syarikat keselamatan dengan cota elektrik sebelum melarikan wang tunai RM3.8 juta di depan sebuah pusat beli-belah di bandar Seri Alam, di sini, kelmarin.

Sebelum kejadian, lima kakitangan syarikat keselamatan berkenaan dikatakan ke pusat beli-belah bagi memasukkan wang ke mesin juruwang automatik (ATM), jam 9.30 pagi.


Sumber polis berkata, empat daripada lima kakitangan syarikat keselamatan yang bersenjata api kemudian masuk ke pusat beli-belah berkenaan untuk memasukkan wang ke mesin ATM.



“Pemandu van tidak mengikuti rakan mereka dan hanya menunggu di dalam kenderaan berkenaan. Bagaimanapun, kurang 10 minit kemudian, pemandu van terbabit mendakwa dia dihampiri dua lelaki lingkungan 30-an yang memakai pakaian keselamatan sama.


“Dua lelaki itu menariknya keluar dan mengugut akan mengenakan renjatan elektrik terhadapnya jika dia melawan. Suspek kemudian melarikan van keselamatan itu yang dipercayai membawa 14 karung berisi wang tunai,” katanya.



Menurutnya, pemandu van berkenaan dibiarkan di luar van tanpa dicederakan.



Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Amer Awal berkata, setakat ini 12 individu berusia antara 20-an hingga 30-an ditahan di beberapa lokasi berasingan bagi membantu siasatan.


“Sejurus kejadian, kami melancarkan operasi khas termasuk sekatan jalan raya dan semua 12 suspek ditahan dalam tempoh 24 jam selepas laporan diterima,” katanya.



Menurutnya, semua 12 suspek itu dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan.

Jumaat, 27 Julai 2012

Rumah dipecah masuk tiga perompak mabuk


Rumah dipecah masuk tiga perompak mabuk
RAWANG - Seorang kontraktor kerugian RM10,000 apabila rumahnya terletak di Taman Sri Hijau di sini dipercayai dipecah masuk oleh tiga individu dalam kejadian Isnin lalu.

Mangsa, Ng Eng Beng, 49, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 6 pagi sewaktu dia bersama isteri dan seorang anak perempuannya sedang tidur sebelum terdengar salakan dua anjing miliknya.

Menurutnya, dia bertindak menjengah ke bawah melalui tingkap bilik atas untuk melihat punca salakan anjing dan mendapati tiada apa-apa yang mencurigakan di pagar rumahnya menyebabkannya dia kembali tidur semula.

“Hanya beberapa minit selepas itu bilik saya dimasuki seorang suspek manakala bilik anak saya dimasuki dua lagi suspek yang memakai topeng muka sebelum mengarahkannya menuju ke bilik saya.

“Mereka tidak bertindak ganas walaupun pada masa itu mereka dalam keadaan mabuk dan mengarahkan saya menyerahkan barangan berharga seperti wang tunai RM5,000, cincin, jam tangan dan telefon bimbit,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Rumah Exco Melaka Dipecah Masuk Sebabkan Kerugian RM200,000


Gambar hiasan

MELAKA, 26 Julai (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Melaka Datuk Latif Tamby Chik kerugian kira-kira RM200,000 apabila rumahnya di Jalan Datuk Palembang Bukit Baru di sini dipecah masuk tiga lelaki, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata ketika kejadian pada 11.45 malam itu, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Teluk Mas itu tiada di rumah kerana menunaikan solat tarawih di masjid berhampiran manakala isterinya berada di rumah jiran.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki dipercayai rakyat tempatan berusia antara 20 dan 30-an itu menggunakan kenderaan mewah dan memakir kenderaan berkenaan di hadapan rumah mangsa sebelum memecah masuk rumah itu.

"Ketiga-tiga suspek masuk melalui tingkap di hadapan rumah dengan memecahkan jeriji sebelum menyelongkar rumah itu," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, Khamis.

Beliau berkata kehadiran ketiga-tiga lelaki terbabit disedari isteri mangsa yang ingin memasuki rumah itu.

Kabel talian TM dicuri lagi


Kabel talian TM dicuri lagi
PENDANG - Kebanyakan penduduk dan beberapa agensi kerajaan sekali lagi terpaksa menghadapi kesukaran untuk menjalankan tugas apabila kabel talian Telekom Malaysia (TM) berhadapan rumah Pegawai Daerah Pendang dekat Jalan Sungai Tiang di curi awal padi, semalam.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu menyebabkan aktiviti kira-kira 300 penduduk dan 10 agensi kerajaan terjejas melibatkan beberapa kawasan antaranya Kampung Belakang Pendang, Banggol Petai, depan Sekolah Kebangsaan Pendang dan beberapa kawasan lain berhampiran.

Turut difahamkan agensi sekitar kawasan terbabit seperti Jabatan Penerangan Malaysia,  Rela, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Lembaga Kemajuan Kedah (Keda), Jabatan Pertanian, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pertanian dan pejabat agama terjejas.

Penduduk, Wan Salleh Ismail, 56, yang tinggal berdekatan tempat kejadian berkata, dia terdengar bunyi enjin motosikal kuat di hadapan rumahnya, namun tidak menyangka kabel talian itu dicuri memandangkan ia baru sahaja diganti selepas dicuri awal bulan ini.

Menyamar suami isteri, samun guru


SEREMBAN – Dua penjenayah sanggup menyamar sebagai suami isteri yang mahu menghantar anak ke sebuah Tabika Perpaduan di Mantin, di sini semalam, sebelum bertindak menyamun dua guru wanita membabitkan RM37,000.

Dalam kejadian kira-kira 11.10 pagi itu, suspek wanita datang ke tabika berkenaan dan bertanyakan prosedur penghantaran anak kepada kedua-dua guru terbabit sebelum memanggil pasangannya yang menunggu di luar.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, kedua-dua suspek yang memakai helmet penuh serta bersenjatakan parang kemudian menyerbu masuk dan mengugut dua guru berkenaan supaya menyerahkan barang berharga.

“Bimbang dicederakan, guru berkenaan kemudian menyerahkan barangan kemas, dua telefon bimbit bernilai lebih RM500.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek tidak mencederakan kanak-kanak yang berada di dalam tabika itu dan kebetulan dua guru berkenaan berada di pejabat mereka,” katanya di sini, semalam.

Penyamun disangka suami


Penyamun disangka suami
BENTONG – Dua kejadian samun berkumpulan dilaporkan berlaku dalam tempoh lebih kurang satu jam di lokasi berbeza iaitu di Taman Kenanga, Karak dan Kampung Bukit Tinggi pagi semalam.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 7.05 pagi di Taman Kenanga, sekeluarga mengalami kerugian hampir RM5,000 apabila barang kemas, wang tunai dan televisyen dikebas penyamun.

Menurut Lim Goke Lan, 55, suaminya keluar menghantar cucu berusia lapan tahun ke sekolah kira-kira jam 7 pagi dan tidak lama kemudian dia terdengar bunyi seseorang mengetuk pintu bertalu-talu di bahagian hadapan rumah.

“Saya sangka suami sudah pulang dan ketika membuka pintu saya ternampak tiga lelaki bertopeng serta bersenjatakan parang.

Khamis, 26 Julai 2012

Perjudian berkomputer semakin serius


KUANTAN: Kegiatan perjudian berkomputer di Pahang dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC T. Narenasagaran berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, polis merampas 2,644 unit komputer bernilai RM2,219,308 yang telah diubahsuai menjadi mesin judi melibatkan 213 premis di seluruh negeri. 


"Polis Pahang telah mempertingkatkan pemantauan serta menjalankan operasi 'Ops Dadu' sepanjang masa. 

"Sepanjang 'Ops Dadu' yang dilakukan enam bulan lepas juga, seramai 1,256 individu ditahan selain wang tunai RM104,108 juga dirampas berbanding sepanjang tahun lalu, hanya 2,299 unit komputer bernilai RM1,871,600 dirampas dengan wang tunai RM32,400," katanya kepada pemberita di sini hari ini.



Beliau berkata dalam serbuan ke atas 194 premis itu juga 981 individu dipercayai pengguna dan penjaga premis-premis yang menjalankan kegiatan perjudian Internet haram ditahan.


Katanya ada di antara premis tersebut telah beberapa kali diserbu namun tetap degil dan kembali beroperasi. 

"Kita telah meminta pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik premis berkenaan dan Majlis Perbandaran Kuantan untuk membatalkan lesen perniagaan selain pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan pemotongan talian internet," katanya. 

Dua kereta dipecah masuk


TAIPING – Satu kejadian kecurian dalam kenderaan dilaporkan berlaku lewat tengah malam semalam melibatkan dua kereta di Jalan 3, Taman Sentosa, Pokok Assam.

Mangsa, Ong Yet Hon, 53, berkata, barangan di dalam kereta dicuri termasuk radio dan alat ganti tayar.

Menurutnya, kejadian berlaku lewat tengah malam memandangkan kawasan itu  agak gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan.

"Bukan saya seorang sahaja yang menjadi mangsa pecah kereta bahkan jiran saya juga mengalami situasi yang serupa," katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi mangsa, Wong Hung @ Wong Kum Sek, 38, berkata, akibat kejadian itu mereka membuat laporan polis di Balai Polis berhampiran dan turut memaklumkan kepada Penyelaras Dun Kawasan Pokok Assam Datuk Ho Cheng Wang agar masalah lampu jalan di sini diberi perhatian supaya kejadian serupa tidak berulang.

“Kami berharap ada tindakan susulan daripada pihak berkenaan supaya kes kecurian di sini dapat dihentikan,” katanya.

Penjenayah menyamar pelanggan


Penjenayah menyamar pelanggan
BATANG KALI - Sepasang suami isteri kerugian lebih RM60,000 dalam kejadian samun di kedai runcit mereka dekat sebuah kolej di sini baru-baru ini.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ina, 36, berkata, kereta Proton Satria Neo, wang tunai RM4,000, dua telefon bimbit bernilai RM300 dan beberapa karton rokok bernilai RM600 dilarikan penjenayah dalam kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan suami sedang mengemas barangan dalam kedai sebelum didatangi dua lelaki berlagak sebagai pelanggan.

“Kami tidak menyedari sebarang perlakuan mencurigakan kerana mereka datang seperti pelanggan biasa dan membeli minuman botol.

“Seorang penjenayah mengarahkan rakannya ke luar mengambil beg dan ketika tiada pelanggan lain seorang penyamun yang berlagak mahu membayar tiba-tiba mengeluarkan pisau rambo lalu mengacukannya pada perut suami sambil meminta kami masuk ke dalam kaunter,” katanya semalam.

Menurutnya, mereka dikawal dan diugut akan dicederakan jika menjerit atau melawan sambil meminta suaminya menyerahkan semua wang tunai dan barangan berharga.

Kubur jadi sarang penagih


Kubur jadi sarang penagih Tidak pernah
ROMPIN - Tanah Perkuburan Islam Kampung Sepayang, di sini, terus menjadi pilihan pihak tidak bertanggungjawab sebagai 'port strategik' untuk menjalankan aktiviti jual beli dan penagihan dadah walaupun beberapa kali tangkapan dibuat pihak berkuasa.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kampung Sepayang, Baharom Shaari berkata, pada minggu lalu, terdapat sebuah kereta dipercayai masuk ke tanah perkuburan itu menjual dadah kepada penagih.

Bagaimanapun katanya, kereta terbabit didapati meninggalkan kawasan itu segera sebelum dia sempat membuat laporan polis berhubung kegiatan tersebut.

“Pada minggu lalu, terdapat sebuah kenderaan mencurigakan berhenti di pondok wakaf di sini. Saya percaya mereka menjalankan urusan jual beli dadah dalam waktu singkat sebelum beredar dengan tergesa-gesa,” katanya.

Baharom berkata, ada dua tempat dipercayai menjadi lokasi utama kegiatan tersebut iaitu sebuah pokok berhampiran Sungai Kerpai Kampung Sepayang dan pondok wakaf terbabit.

“Dua lokasi ini menjadi pilihan untuk mereka menjalankan kegiatan tersebut sejak sekian lama meskipun sebelum ini terdapat beberapa tangkapan dibuat polis,” katanya.

4 kali disamun: Polis diminta pertingkat rondaan


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga aluminium di Jinjang Selatan di sini yang disamun buat kali keempat dalam tempoh 20 tahun, meminta polis meningkatkan rondaan di kawasan itu.
Phaang Jing Fatt, 34, berkata, dalam kejadian terbaru Ahad lepas, beliau kerugian kira-kira RM10,000 selepas kedainya dipecah masuk dan barangan serta sebuah skuter dilarikan penjenayah.
"Saya menyedari kejadian itu semasa ingin memulakan perniagaan,” katanya pada sidang media yang dianjur Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan, Wilson Lau Hoi Keong, hari ini.
Jing Fatt yang mewarisi perniagaan itu daripada ayahnya, berkata, kehadiran lebih kerap pasukan keselamatan di situ perlu bagi mengurangkan rasa bimbang masyarakat.
Sementara itu, Wilson pula meminta polis meningkatkan aktiviti bertemu orang awam bagi mendengar masalah mereka selain mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat. – BERNAMA

Rabu, 25 Julai 2012

Mayat lelaki mangsa pembunuhan ditemui di Puchong


KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki ditemui terapung dalam longkang besar di Taman Damai Utama, Puchong dekat sini awal hari ini.

Berdasarkan keadaan mayat yang telah reput, polis percaya lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu dibunuh empat hari lepas, kata Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abd Razak Elias. 


Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, beliau berkata mayat lelaki yang belum dikenal pasti itu ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu pada pukul 1 pagi. 

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.


Polis meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

Bekas Ketua Polis Daerah dituduh memandu secara berbahaya


Superintendan polis didakwa

SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Kuala Langat, Superintendan Mohamad Radzi Ishak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua remaja lelaki berumur 15 tahun empat tahun lepas.
Mohamad Radzi, 54, yang berdiri di dalam kandang tertuduh didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran BKA 8411 secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian penunggang dan pembonceng motosikal, Muhammad Luqman Hakim Mohamad dan Muhamad Khairol Khaizuran Mohammed Sani di Jalan Kebun di sini pada pukul 11.45 malam 14 September 2008.
Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5,000 dan RM20,000 selain lesen digantung.
Timbalan Pendakwa Raya, Aida Mastura Mohamed Aman mencadangkan agar Mohamad Radzi dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandunya digantung.

Mayat lelaki ditemui kesan tembakan dikepala


KUALA SELANGOR – Mayat seorang lelaki dari Sibu, Sarawak ditemui dengan tiga kesan tembakan di kepala tertiarap di bawah lampu jalan di Sungai Buloh Country Resort di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohamad Mat Taib berkata, polis yang menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki itu pada pukul 7.30 pagi telah bergegas ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, pemeriksaan polis pada mayat lelaki itu menemui pengenalan diri mangsa yang dikenali sebagai Wong Teck Sern, 42, berasal dari Jalan Teng Kung Sui, Upper Lanang, Sibu.
“Mayat tersebut mempunyai tiga kesan tembakan di kepala dan polis mengesyaki mangsa ditembak beberapa jam sebelum mayatnya ditemui,” kata beliau ketika dihubungi.
Kata Mohamad, polis bagaimanapun menolak kematian mangsa mempunyai kaitan dengan ah long.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Selasa, 24 Julai 2012

20 Pegawai Kanan Polis Bertukar Dan Naik Pangkat


Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd Rahim Hanafi dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu berkuatkuasa Jumaat lepas.

Beliau menggantikan Datuk Ayub Yaakob yang dilantik sebagai Ketua Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Bukit Aman khusus dalam menangani isu-isu keselamatan negara, demikian menurut kenyataan Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN)(Perhubungan Awam) Bukit Aman, ACP Ramli Mohamed Yoosuf di sini pada Isnin.

Ramli berkata Timbalan Ketua Urus Setia KPN (Agama & Kaunseling) Bukit Aman, Datuk Dr Hasim Haron dilantik memegang jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor (JSJ), menggantikan Datuk Amer Awal yang bertukar ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah (II) (Pentadbiran) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA).

Tempat Dr Hasim digantikan oleh Ketua JSJ Pulau Pinang, SAC Zahruddin Abdullah, manakala tempat Zahruddin disandang Penolong Pengarah Latihan(Peperiksaan/PTK), Bahagian Latihan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman, ACP Mazlan Kesah dengan memangku pangkat SAC.

Tempat Mazlan diganti Supt Ooi Kee Lin dari Unit Pengajian Sains Forensik, Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan memangku pangkat ACP, katanya.

Parah perut terburai, kepala, muka ditetak


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Perselisihan faham yang bermula di sebuah pusat hiburan di Bangsar menyebabkan seorang penjaga tempat letak kereta nyaris maut apabila ditikam di perut sehingga terburai selain ditetak di muka dan belakang kepala, kelmarin.

Difahamkan, mangsa terpaksa menjalani tiga pembedahan akibat kecederaan parah dan kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di ibu kota.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa, S Suntar, 28, yang bekerja di Selayang menuju ke Bangsar bersama rakan baiknya untuk berhibur dan ketika di pusat hiburan itu, mangsa dan rakannya dipercayai berselisih faham dengan sekumpulan lelaki di kawasan itu.


Mayat lelaki ditembak di kepala ditemui


KUALA SELANGOR – Seorang lelaki ditemui mati dengan tiga kesan tembakan di kepala di Jalan Anggerik, Sungai Buloh Country Resort, Saujana Utama di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Mohd Taib Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat lelaki itu oleh orang awam dalam keadaan tertiarap di tepi jalan itu pada pukul 7.30 pagi.
Beliau berkata, polis mengenal pasti lelaki itu sebagai Wong Teck Sern, 42, dengan kad pengenalannya beralamat Jalan Teng Kung Sui, Upper Lanang, Sibu Sarawak.
Mayat lelaki itu telah dibawa ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. – BERNAMA

Isnin, 23 Julai 2012

Dialog Dengan POLIS Akan Diadakan


KLUANG – Apabila pendedahan yang dibuat oleh bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan berhubung kadar jenayah yang semakin meningkat di negara ini, satu dialog bersama Ketua Polis daerah ini akan diadakan.

Menurut Khairul Faizi Ahmad Kamil, Yang Dipertua PAS Kawasan Kluang, Musa mendakwa kadar jenayah yang telah meningkat dan menggesa fakta sebenar itu tidak disembunyikan kepada orang ramai.

”Jadi, dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Musa itu maka Pakatan Rakyat (PR) bertindak menjalankan tinjauan di daerah Kluang bagi melihat kadar jenayah di daerah ini

”Hasilnya kami mendapati di daerah ini terdapat banya kes yang dibuat laporan Polis tetapi belum diambil tindakan susulan oleh Polis.

Ahad, 22 Julai 2012

Kedai motosikal rugi RM43,000


Gambar hiasan

SHAH ALAM: Tiada kesan pecah masuk, sebaliknya hanya ada kesan pecah keluar. Demikian situasi di sebuah kedai menjual motosikal di Seksyen 25, di sini, yang kerugian RM43,000 dalam kejadian rompakan, malam kelmarin.
Kejadian hanya disedari pengurus kedai ketika mula-mula membuka kedainya jam 9 pagi semalam, apabila melihat beberapa topi keledar dan baju hujan yang dijual di situ hilang.


Jurucakap polis ketika ditemui berkata, pengurus terbabit kemudian membuat pemeriksaan sebelum mendapati almari besi di dalam kedai dikopak dan wang tunai RM10,000 yang disimpan di dalamnya hilang, manakala wang tunai RM5,000 dalam mesin tunai turut hilang.


“Turut hilang ialah lima topi keledar berkualiti dan 30 pasang baju hujan,” katanya.


Hasil pemeriksaan kemudian mendapati keseluruhan kedai tidak mempunyai kesan pecah masuk dan pencuri terbabit dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang dengan memotong mangga pintu yang dikunci dari dalam.



Sehubungan itu, polis tidak menolak kemungkinan pencuri bersembunyi di dalam kedai sejak kelmarin hingga ia ditutup pada jam 7.45 malam kelmarin.



“Pencuri turut melarikan kamera litar tertutup (CCTV) di kedai itu, termasuk alat perakam, dipercayai bagi menghapuskan bukti,” katanya.

BANDAR SEGAMAT MENYERUPAI SELATAN THAILAND ???



SEGAMAT 20 Julai - Dalam tempoh dua bulan, sudah tiga kes bunuh berlaku di daerah ini.

Bukan untuk menakut-nakutkan orang ramai namun, kes tembak yang berlaku di daerah ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa kerana ia berlaku di sebuah bandar kecil.

Pihak polis kini giat mengesan penjenayah yang terlibat dalam kejadian itu namun orang ramai tidak perlu khuatir kerana usaha memburu suspek sedang giat dilakukan.

Jika pada 12 Jun lalu, seorang ahli perniagaan mati ditembak di sebuah stesen minyak, disusuli seorang pemandu trak tunda ditembak di persimpangan lampu isyarat pada 23 Jun, satu lagi pembunuhan kejam berlaku di bandar ini awal pagi ini.

Kali ini, seorang jurujual produk jualan langsung maut akibat ditembak tiga das semasa menunggu isterinya selesai bekerja di sebuah pusat hiburan keluarga di Bandar Utama di sini.

Dalam kejadian pukul 2.50 pagi itu, mangsa, Asnan Yunus, 28, dari Felda Palong Timur mati di tempat kejadian setelah tembakan itu mengenai rusuk, tengkuk dan bawah telinga sebelah kiri.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Md. Anuar Ismail berkata, semasa kejadian mangsa sedang menunggu di dalam keretanya tidak jauh dari sebuah kedai serbaneka.

"Setakat ini polis sudah mengenal pasti beberapa individu untuk membantu siasatan yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 12 Jun lalu, seorang ahli perniagaan ditembak enam das dari jarak dekat ketika mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Jalan Genuang, manakala satu lagi kes berlaku pada 23 Jun apabila dua suspek melepaskan empat das tembakan terhadap seorang pemandu trak tunda di Bandar Baru Segamat.

Menceritakan lebih lanjut kejadian awal pagi ini, Md. Anuar berkata, sebuah kenderaan menghampiri kereta Asnan sebelum melepaskan tiga das tembakan dan mengenai mangsa.

Beliau berkata, polis masih menyiasat motif pembunuhan itu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan mangsa dan isterinya yang berusia 27 tahun tinggal di Kampung Jawa di sini dan mempunyai dua anak.

Pasar raya borong dirompak, rugi RM21,000


Gambar hiasan

KLANG — Sebuah pasar raya borong kerugian wang tunai hampir RM21,000 apabila hasil jualan lesap dilarikan perompak dalam kejadian di Seksyen 36, Kampung Jawa di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supt. Mazlan Othman berkata, kehilangan wang tunai itu disedari penyelia premis kira-kira 6.45 pagi tadi sewaktu mahu memulakan operasi perniagaan.

"Pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati suspek masuk melalui tingkap belakang premis dan kunci tingkap itu dipotong menggunakan peralatan khas sebelum suspek menggunakan alat yang sama untuk menebuk peti besi yang ditempatkan dalam bilik pejabat premis ini," katanya ketika dihubungi.

Mazlan berkata, siasatan rakaman kamera litar tertutup menunjukkan kelibat seorang lelaki bertopi yang dipercayai bertanggungjawab melarikan wang tunai berkenaan.—BERNAMA

Bekas Ketua Wanita Umno Cawangan Bukit Hangus, Mati Dibunuh


Gambar hiasan
ALOR SETAR: Bekas Ketua Wanita Umno cawangan Bukit Hangus, Halimah Yunus, 66, ditemui mati berlumuran darah di rumahnya di kampung Bukit Hangus, Jeneri, Sik, Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Sik DSP Mohd Ismail Ibrahim berkata mangsa ditemui dengan kesan kelar di leher kiri, oleh suaminya, Mee Hashim, 63, dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah mereka kira-kira 9.20 malam.

Beliau berkata polis masih menyiasat motif pembunuhan itu kerana tiada barang berharga yang hilang ketika kejadian. Senjata yang digunakan juga masih belum ditemui.

Katanya, ketika kejadian mangsa berseorangan di rumah manakala rumah jiran yang terdekat terletak kira-kira 200 meter daripada tempat kejadian.

Sementara itu, Mee berkata beliau menemui isterinya dalam keadaan berlumuran darah semasa pulang ke rumah selepas menunaikan solat Tarawih di surau.

"Waktu tu arwah penuh darah tapi boleh bercakap lagi, dia bagi tau ada seorang lelaki tikam dia. Kemudian saya minta tolong jiran bawa arwah ke hospital Sik," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, Sabtu.

Katanya, dia dan arwah hanya mempunyai seorang anak perempuan berusia 46 tahun yang telah berkahwin dan tinggal bersama suami di Sungai Petani.

Mee berkata terdapat kesan pecah masuk di pintu belakang rumahnya namun tiada barang berharga yang hilang termasuk barang kemas yang dipakai arwah isterinya.

Menurut Mee, isterinya seorang yang sangat mengambil berat tentang hal masyarakat dan mempunyai hubungan yang baik dengan orang-orang kampung.

"Arwah tinggal seorang diri di rumah waktu saya pergi sembahyang tarawih malam tadi sebab dia tak sihat sejak kena sakit penat (asma) beberapa tahun lepas," katanya. BERNAMA

Dua Mayat Lelaki Dengan Kesan Tikaman Ditemui


Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Mayat dua lelaki dipercayai rakyat asing ditemui dengan kesan tikaman di rusuk dan dada berhampiran Jalan Sungai Tekali Hulu Langat, Kajang dekat sini hari ini.

Mayat dua lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an dan lengkap berpakaian itu ditemui oleh seorang pemburu babi hutan.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata pemburu itu membuat laporan polis berhubung penemuan dua mayat itu di Balai Batu 14, Hulu Langat pada pukul 2.20 petang.

Tiada senjata dijumpai di kawasan itu, katanya di sini.

Beliau berkata polis turut menemui dua beg pakaian dan satu telefon bimbit berhampiran mayat itu.

"Forensik menemui kesan darah atas jalan menuju ke tempat mayat dan berdasarkan keadaan mayat, polis percaya kedua-dua lelaki itu telah mati selama tiga hari," katanya.

Kedua-dua mayat itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA

Sabtu, 21 Julai 2012

Kedai Pajak Gadai pula Disamun !!!~



Tauke pajak gadai diserang bertubi-tubi



IPOH - Seorang tauke pajak gadai cedera dibelasah dua lelaki menggunakan topi keledar dalam kejadian samun di premisnya di Taman Saz, Silibin, di sini, kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa, Lau Chee Tim, 27, didatangi dua lelaki yang berpura-pura untuk berurusan di kedai berkenaan.

Tauke pajak gadai diserang bertubi-tubiMenurutnya, selepas melihat dua lelaki di hadapan kedainya, dia membuka pintu tetapi diserang menggunakan alat renjatan elektrik sehingga menyebabkan dia rebah ke lantai.
 
Salah seorang daripada lelaki terbabit mengacu pisau mengugutnya supaya tidak melakukan sebarang tindakan manakala seorang lagi menggeledah laci untuk mencari barang kemas dan wang tunai.
 
“Mereka memukul saya dan memotong poket seluar jeans yang dipakai untuk mengambil dompet.

“Pada waktu itu saya panik kerana bimbang jika mereka turut mencederakan kaki saya. “Selesai melakukan samun, mereka melarikan diri. Kerugian dianggarkan RM7,000,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), kelmarin.

Chee Tim kemudiannya dibenarkan pulang 6 pagi semalam selepas keadaannya stabil.

Katanya, kedainya akan ditutup selama seminggu bagi menjalankan kerja-kerja memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk menambah  ciri-ciri keselamatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu.

Menurutnya, dua suspek itu dipercayai mencederakan mangsa menggunakan topi keledar dan alat renjatan elektrik sebelum disyaki melarikan diri menaiki motosikal.

Azisman berkata, setakat ini pihaknya masih mengesan identiti suspek dan meminta orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu rompakan secara berkumpulan,” katanya, di sini semalam

DUA HARI BERTURUT2 DISAMUN GENG YANG SAMA !!


Disamun geng sama
MANJUNG - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah yang dapat digambarkan terhadap seorang lelaki apabila dia disamun dua hari berturut- turut oleh sekumpulan penyamun yang dikenali sebagai Geng ET.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, kejadian pertama berlaku pada 15 Julai lalu apabila beg mangsa dilarikan penyamun.

Kemudian hari kedua kereta mangsa pula disamun oleh penyamun yang sama. “Penyamun berkenaan berjaya melarikan beg mangsa pada hari pertama dan di dalam beg itu terdapat lesen serta kunci kereta mangsa.

“Berdasarkan alamat pada lesen itu, penyamun berkenaan telah menyamun pula kereta mangsa yang diletakkan di hadapan rumah,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Ahmad berkata, kes yang berlaku di Ayer Tawar itu dipercayai dilakukan oleh kumpulan ET yang memang menjadi buruan polis."Hasil maklumat orang awam kita berjaya menangkap salah seorang suspek si di sebuah kedai di Kampung Koh pada 17 Julai lalu pada jam 6.30 petang.“Pihak kami turut memeriksa sebuah kereta yang ditunjukkan suspek dan menjumpai sepucuk pistol jenis Glock, 90 butir peluru, pasport, kunci kereta, pisau, parang yang dipercayai untuk kerjakerja menyamun,” katanya.

Katanya, daripada hasil siasatan suspek berkenaan mengaku terlibat dalam kes samun namun pihak polis percaya suspek melakukan lebih daripada itu.

“Geng itu mempunyai enam ahli dan dua daripadanya berjaya ditangkap termasuk suspek kes ini dan masih mencari empat lagi ahli berkenaan.

"Kita amat memerlukan bantuan orang ramai untuk memberikan maklumat kepada pihak kami supaya geng berkenaan dapat ditangkap.

"Kita mahu melumpuhkan aktiviti tidak bermoral yang berlaku didaerah Manjung ini,"katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...