Selasa, 24 Julai 2012

Parah perut terburai, kepala, muka ditetak


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Perselisihan faham yang bermula di sebuah pusat hiburan di Bangsar menyebabkan seorang penjaga tempat letak kereta nyaris maut apabila ditikam di perut sehingga terburai selain ditetak di muka dan belakang kepala, kelmarin.

Difahamkan, mangsa terpaksa menjalani tiga pembedahan akibat kecederaan parah dan kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di ibu kota.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa, S Suntar, 28, yang bekerja di Selayang menuju ke Bangsar bersama rakan baiknya untuk berhibur dan ketika di pusat hiburan itu, mangsa dan rakannya dipercayai berselisih faham dengan sekumpulan lelaki di kawasan itu.


Adik mangsa, S Tarmarajen berkata, berdasarkan maklumat daripada rakan abangnya itu, selepas berhibur mereka ke kedai serbaneka 24 jam untuk membeli makanan dan diekori kumpulan lelaki itu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, abang dan rakannya bergaduh dengan kumpulan lelaki itu dan selepas bergaduh, abang sempat menghubungi saya memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.


“Malangnya, kumpulan lelaki itu bertindak lebih ganas dengan menetak abang di muka dan kepala selain menikamnya sebanyak tiga kali di perut,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.


Katanya, rakan abang pula sempat melarikan diri dan menghubunginya untuk memaklumkan abang cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki.

Tarmarajen berkata, sebaik menerima panggilan, dia bergegas ke lokasi kejadian berdekatan Menara Maybank, Bangsar dan nampak abangnya yang berlumuran darah dalam keadaan separa sedar.


“Melihat darah yang mengalir keluar dari bahagian perut, saya menarik baju ke atas untuk melihat kecederaan dan terkejut melihat isi perutnya yang terburai keluar akibat ditikam dengan pisau.

“Saya menghubungi ambulans untuk membawa abang ke hospital dan sepanjang perjalanan ke hospital, abang hanya memaklumkan dia diserang kumpulan lelaki dari Bangsar sebelum tidak sedarkan diri,” katanya.


Dia berkata, sejak dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan, mangsa terpaksa dibedah tiga kali dan kali terakhir dibedah jam 12 tengah hari semalam namun masih tidak sedarkan diri.


Susulan kejadian itu, Tarmarajen membuat laporan polis di Balai Polis Travers.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...