Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan
menggunakan kamera Intelligent
Compound Online Payment System (iCOPS) bagi
memantapkan keberkesanan operasi sepanjang Ops Selamat 11/2017 bermula
Ahad ini sehingga 2 Julai.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu
Bakar berkata kamera berkenaan mampu mengesan kehadiran kenderaan melalui
pengimbasan nombor pendaftaran yang dikehendaki dalam senarai ‘Hotlist’.
Katanya, kamera itu dilengkapi gelung
maya dan penataan infra merah yang membolehkan nombor pendaftaran dilihat lebih
jelas.
“Alat ini efektif dan berjaya
meningkatkan kutipan saman semasa operasi saman tertunggak warga asing serta
beberapa siri tangkapan kes-kes pendaftaran palsu, kenderaan klon dan cukai
jalan palsu,” katanya selepas melancarkan Ops Selamat 11/2017 sempena Hari Raya Aidilfitri 2017 di Menara TM hari ini.