Rabu, 30 Oktober 2013

AWAS PEGAWAI BANK PALSU !!!

IPOH - Seorang kakitangan kerajaan berputih mata apabila dia kerugian sebanyak RM195,650 selepas diperdaya seorang pegawai bank palsu dalam kejadian yang berlaku awal bulan ini.

Dalam kejadian 7 Oktober lalu,, lelaki berusia 47 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai bank dan menyatakan kad kredit milik mangsa digunakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak, Superintendan Maszely Minhad berkata, suspek kemudian memberikan nombor talian Bank Negara Malaysia (BNM) kepada mangsa untuk membuat aduan.

“Selepas semakan dibuat, suspek menyatakan nama mangsa turut digunakan seorang penama di Singapura untuk membuka akaun bersama.

“Mangsa kemudian diarahkan ke bank berkenaan untuk menyemak baki wang dalam akaun kononnya untuk tujuan keselamatan.

“Setelah mangsa memaklumkan mengenai jumlah wang dalam akaunnya, suspek mengarahkan mangsa mengeluarkan semua wangnya dan memindahkannya ke akaun suspek.


“Akibat bimbang, mangsa melakukan tiga kali transaksi pemindahan wang dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM195,650,” katanya.

Selasa, 29 Oktober 2013

Pembuhunan Pegawai Bank: 11 Individu Ditahan

Penjenayah yang sangat-sangat dikehendakki
KUALA LUMPUR: Seramai 11 orang ditahan berhubung pembunuhan seorang pegawai bank wanita oleh pengawal keselamatan minggu lalu.
"Penahanan yang terbaharu dilakukan pada Ahad di Johor," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah ketika dihubungi Bernama.


Beliau berkata penahanan dibuat bagi membantu siasatan dalam mengenal pasti di mana suspek berada.
Namun beliau enggan memberitahu maklumat tentang mereka yang ditahan dan hubungan mereka dengan suspek.


Pembunuhan berlaku pada 24 Oktober lalu apabila seorang pengawal keselamatan menembak mati Norazita Abu Talib, 37, selepas beliau membuka bilik kebal Ambank di Subang Jaya.


Pengawal itu turut melarikan kira-kira RM450,000.

Wang RM450,000.00 hasil rompakan
Polis kemudiannya melancarkan gerakan memburu pengawal itu dan menahan beberapa suspek termasuk isteri pengawal tersebut. - BERNAMA

Isnin, 28 Oktober 2013

TERIMA PADAH AKIBAT KECUAIAN DIRI SENDIRI !!!

Polis Didakwa Tembak Budak Lelaki 10 Tahun Akan Digantung Tugas

IPOH: Anggota polis yang didakwa menembak budak lelaki berumur 10 tahun di Parit akan digantung tugas minggu ini.
Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, lelaki itu yang berusia 50-an akan menerima surat penggantungan pada minggu ini.
"Surat itu telah dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
"Sebaik sahaja IPK negeri menerima surat itu, kami akan mengeluarkannya kepada anggota polis berkenaan," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Kira-kira dua minggu lalu, Mohd Amar Mohd Azizi telah ditembak oleh peluru sesat, yang didakwa dilepaskan menggunakan pistol milik seorang anggota polis di Kampung Belanja, Parit.
Mohd Amar menjalani pembedahan yang berjaya Ahad lepas untuk mengeluarkan peluru dari belakang tekak dan dia telah dibenarkan pulang ke rumah pada Khamis.
Acryl Sani berkata, kertas siasatan berhubung kes itu telah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Jumaat lalu.
"Kami akan menunggu jawapan daripada pejabat TPR sama ada mereka berpuas hati dengan siasatan itu atau menyiasat lagi," katanya.
"Terdapat beberapa pendakwaan yang kami sedang mengkaji untuk mendakwa anggota polis terbabit," katanya.
Acryl Sani juga menyatakan bahawa anggota polis yang tidak bertugas semasa kejadian itu, tidak mengikuti prosedur dalam mengendalikan senjata api.
"Dia tidak menyerahkan pistol untuk disimpan oleh pihak polis ketika dia tidak bertugas," katanya.
Acryl Sani berkata, polis juga dalam proses merakam kenyataan Mohd Amar.

Ahad, 27 Oktober 2013

PENYAMUN ALA NINJA WARGA INDONESIA ??

JENGKA - Sembilan beranak terpaksa menempuh 30 minit dalam ketakutan apabila disamun lima lelaki berpakaian ala ninja dan bersenjatakan parang panjang di rumah mereka di Felda Jengka 10 dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, sembilan beranak tersebut dikejutkan dengan kehadiran lima lelaki memakai baju berlengan pendek, seluar pendek paras paha dan bertopeng muka ketika masing-masing sedang lena tidur.

Kesemua mangsa dikumpulkan dalam satu bilik termasuk tiga cucu dengan dua kembar berusia tiga tahun selain tiga daripada mereka adalah lelaki diikat.
Disamun 5 lelaki ala ninja
Mangsa, Mohd Nor Ibrahim, 63, berkata, dia terjaga dari tidur apabila merasa sakit di perut akibat ditindih seorang lelaki bertopeng menggunakan bahagian lutut.

Menurutnya, dia diminta tidak bersuara oleh lelaki berkenaan yang turut menghunus sebilah parang ke leher sebelum seorang lelaki lain bertindak mengejutkan isterinya yang tidur bersebelahan.

Agensi didakwa tipu jemaah umrah


KUALA LUMPUR - Sebuah agensi pelancongan didakwa menipu kira-kira 1,200 bakal jemaah umrah dari seluruh negara, melibatkan kerugian RM4.8 juta selepas penerbangan mereka ditunda beberapa kali dan gagal menuntut kembali wang mereka.

Difahamkan agensi pelancongan beribu pejabat di Wangsa Maju di sini gagal menguruskan penerbangan jemaah umrah dijadualkan pada Jun tahun ini walaupun bayaran penuh RM3,999 seorang dibuat sejak 2012.

Seorang daripada perunding kumpulan jemaah yang dilantik agensi itu, Qurratul 'Ain Hasman, 25, berkata dia bersama-sama 54 jemaahnya hanya menyedari ditipu selepas jemaah yang dijadual berlepas pada Jun tahun ini terkandas atas alasan masalah dana dan visa.

Sabtu, 26 Oktober 2013

PDRM AKAN KESAN PEMBUNUH HINGGA BERJAYA

Mohd Bakri Zinin
Suspek tembak pegawai bank masih dalam negara

KUALA LUMPUR - Suspek yang menembak mati pegawai wanita Ambank dalam kes rompak dan bunuh di cawangan bank itu di USJ Sentral 2, Subang Jaya Rabu lepas dipercayai masih berada dalam negara, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Beliau berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan petugas khas yang berpusat di Selangor untuk menjejaki suspek.

"Task force ini juga dibantu oleh jabatan lain di Bukit Aman dan kita akan pastikan perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas upacara perbarisan tamat latihan Kursus Asas Kadet Inspektor Siri 1/2013 di Pusat Latihan Polis di sini hari ini.

Dalam kejadian itu Norazita Abu Talib, 37, ditembak di muka oleh seorang pengawal keselamatan bank itu selepas mangsa membuka pintu bilik kebal bank itu.

Khamis, 24 Oktober 2013

Remaja perempuan dibunuh kejam



PETALING JAYA 22 Okt. - Seorang gadis berusia 15 tahun yang hilang sejak semalam ditemui dibunuh dengan kejam apabila mayatnya dimuatkan dalam sebuah beg di kawasan semak di Jalan Kebun Nenas, Kampung Jawa di Klang malam ini.

Mangsa, Ng Yuk Tim dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya setelah suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut.

Mayat gadis itu ditemui pukul 8.30 malam ini selepas suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, mangsa dilaporkan hilang sejak pukul 11 pagi semalam dan dipercayai dibunuh petang semalam.

"Mayat remaja itu ditemui lengkap berpakaian dalam sebuah beg pakaian dan ditinggalkan di tepi jalan kawasan semak. Terdapat kesan kecederaan di kepala dan tangan, polis percaya mangsa dibunuh dalam tempoh 24 jam sebelum mayatnya ditemui," katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mayat itu malam ini.

Sementara itu, Presiden Komuniti Kepolisan, Kuan Chee Heng memberitahu, ibu remaja terbabit meminta bantuan mencari anaknya itu hari ini selepas dia tidak pulang ke rumah sejak semalam sebaik sahaja keluar bersama teman lelakinya.

Beliau berkata, teman lelaki mangsa mendakwa dia telah menghantar mangsa ke sebuah stesen LRT selepas berjumpa mangsa dan melalui maklumat tersebut, mereka cuba mencari mangsa di sekitar kawasan itu.

"Pencarian tersebut gagal sehingga saya mengesyaki sesuatu yang tidak kena pada suspek selepas ternampak tanda gigitan pada tangan suspek," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini malam ini.

Menurut Chee Heng, selepas didesak suspek yang berusia 23 tahun itu mengaku membunuh mangsa selepas cuba merogol remaja terbabit di Kampung Cempaka, Sungai Way sebelum mayatnya dicampak di Klang.

Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala suspek kini ditahan mengikut Seksyen 302 bagi membantu siasatan.

7 senjata api dijumpai semula


Kuala Lumpur: Tujuh daripada 44 senjata api milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hilang di antara 2010 dan 2012 seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 sudah dijumpai semula. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata antara punca kehilangan senjata api yang dikenal pasti ialah kereta dipecah dan senjata api tertinggal dalam kereta, diragut atau disamun, tercicir ketika menjalankan tugas, kehilangan dalam tandas dan kehilangan dalam pejabat.

Nilai senjata berbeza 



“Nilai senjata itu berbeza mengikut jenis dan negara pengeluar, secara keseluruhan kategori senjata yang hilang adalah dari senjata ringan (pistol dan revolver) yang boleh diletakkan di badan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Chua Tian Chang @ Tian Chua (PKR-Batu) di Dewan Rakyat, semalam, yang ingin tahu jumlah senjata api yang hilang dan prosedur serta tindakan terhadap pegawai polis yang kehilangan senjata api. 

Ahmad Zahid berkata, Bahagian Teknologi Maklumat (IT) PDRM sedang membangunkan sistem yang mengandungi submodul bagi tujuan pemantauan dan rekod kes kehilangan aset organisasi itu yang dijangka beroperasi November ini. 

“Sistem itu akan merekodkan kehilangan aset PDRM bermula daripada kehilangan sehinggalah ke peringkat tindakan diambil ke atas pegawai cuai. 
“Dengan sistem itu, semua kes kehilangan aset PDRM akan diketahui dengan mudah oleh Urus Setia Pengurusan Kehilangan Aset PDRM,” katanya. - BERNAMA

Rabu, 23 Oktober 2013

Penjawat disabit kesalahan boleh dibuang kerja


Penjawat disabit kesalahan boleh dibuang kerja
Ketirisan sektor awam

Kuala Lumpur: Buang kerja antara tindakan tegas yang akan diambil terhadap kakitangan kerajaan yang disabitkan dengan isu kelemahan dan ketirisan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata kerajaan memandang serius isu itu kerana ia membabitkan kerugian di pihak kerajaan khususnya dari segi kewangan. 

Tidak kira sektor awam atau swasta, jika berlaku kesalahan ada tiga jenis tindakan boleh dikenakan mengikut tahap kesalahan” Abdul Wahid Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Teliti isu ketirisan

Katanya, jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa, akan meneliti setiap isu yang timbul dalam laporan berkenaan sebelum mengumumkan tindakan yang akan dikenakan termasuk ditamatkan perkhidmatan.

“Biasanya dalam laporan audit, tidak kira sektor awam dan swasta, jika berlaku kesalahan ada tiga jenis tindakan yang boleh dikenakan mengikut tahap kesalahan.

“Namun, semua tindakan tatatertib yang akan diambil bergantung kepada keputusan jawatankuasa khas berkenaan yang akan membuat cadangan tindakan yang akan diambil.  

KLIK DISINI untuk berita selanjutnya

Selasa, 22 Oktober 2013

Rela diberi kepercayaan bantu tangani kes jenayah

Rela diberi kepercayaan bantu tangani kes jenayah
GUA MUSANG - Rela bukan lagi pasukan yang boleh dipandang rendah masyarakat, sebaliknya semakin berada di kedudukan yang tinggi dalam membantu kerajaan menangani jenayah setelah diberi pengiktirafan sebagai pasukan yang boleh diberi kepercayaan untuk bersama polis dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan.

Adun Nenggiri, Mat Yusoff Ab Ghani berkata, anggota Rela juga mempunyai bilangan yang ramai, bukan sahaja di seluruh negara, tetapi di daerah dan negeri.

Menurutnya, mereka mampu memikul tanggungjawab itu bersama polis dan pasukan keselamatan yang lain dalam menjalankan tugas menangani jenayah.
“Pasukan itu juga semakin mendapat sambutan belia untuk menyertainya dan sekali gus mendisiplinkan mereka dalam pasukan keselamatan.

ASP wanita dituduh lepas 'doktor kasanova'

GEORGE TOWN - Seorang pegawai polis wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membantu seorang tahanan meloloskan diri ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini baru-baru ini.
Tertuduh, Asisten Superintendan L. Chand Kumari, 56, dituduh sengaja melepaskan K. Prabaharan, 45, yang ketika itu dalam jagaan dan kawalannya di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang pada pukul 1.50 petang, 9 Oktober lalu.
Dia yang mengaku tidak bersalah dituduh di bawah Seksyen 225A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Chand Kumari turut berdepan dakwaan membuat laporan palsu mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada pukul 8.05 malam, hari yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia yang berkhidmat selama 20 tahun dalam pasukan polis didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan, denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Khamis, 17 Oktober 2013

SUSPEK DIKEHENDAKI: membantu siasatan kes curi kenderaan mewah


Nama: Choong Chee Keong

No KPT : 730901-06-5069
Alamat Terakhir : Lot 15, Kampung Sungai Lekok, 27000 Jerantut Pahang.

Pihak Polis Kuala Lumpur memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan penama berikut untuk membantu siasatan kes curi kenderaan mewah selepas sebuah gudang beralamat di No 33 Jalan 5, Bt 5 ½, Klang Sentral Industrial Park, Jalan Kapar, Klang, Selangor diserbu pada 9 Oktober 2013 yang lalu. 

Hasil serbuan Polis Kuala Lumpur telah menemui semula kenderaan curi iaitu 9 buah Toyota Hilux, 6 buah Toyota Fortuner, 2 buah van Toyota Hiace dan sebuah kereta jenis Mazda 3. 

Anggaran nilai harga keseluruhan kenderaan yang dirampas ialah RM 2,072,000. Usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek dan rakannya yang masih bebas dikenali dengan nama panggilan Ah Kaw bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan penama di atas boleh menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Insp Khairul Effendi ditalian 010-2216096 atau 03-21460613.

KLIK DISINI UNTUK BERITA SELANJUTNYA

PENGAMBILAN INSPEKTOR DAN KONSTABEL SUKARELAWAN SIMPANAN POLIS 2013



Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan eksesais pengambilan Inspektor dan Konstabel Sukarelawan Simpanan Polis di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak bermula bermula dari 16 hingga 30 Oktober 2013. 

Permohonan dan maklumat lanjut, sila layari Portal Rasmi PDRM di www.rmp.gov.my (Sistem Semakan Online - SSO). 

Syarat dan kelayakan adalah seperti berikut:

1.JAWATAN INSPEKTOR SUKARELAWAN SIMPANAN POLIS LELAKI/WANITA:

- ELAUN PENUGASAN

• Elaun penugasan RM 7.80 sejam

- SYARAT SKIM PERKHIDMATAN

Warganegara Malaysia.Berumur tidak kurang 18 tahun dan tidak melebihi 45 tahun pada tarikh temuduga.

Kelayakan:

• Telah ditauliahkan sebagai Inspektor Kor Sukarelawan Siswa Siswi (Kor SUKSIS).
• Mendapat kelulusan dan kebenaran dari Ketua Jabatan/ Majikan untuk berkhidmat sebagai Sukarelawan Simpanan Polis.
• Bersih daripada sebarang tapisan rekod keselamatan.
• Tidak menjadi ahli anggota lain-lain badan beruniform yang boleh dikerah tenaga di dalam keadaan darurat.
• Pengawal Keselamatan/Jaga yang bertugas dengan Kerajaan/ Badan Berkanun tidak layak memohon.
• Perkhidmatan Sukarelawan Simpanan Polis adalah tertakluk kepada jadual perintah/ peraturan/ kaedah PVR Regulations 1956, Akta Polis 1967 (Akta 344) dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara Bahagian A 502.

2. JAWATAN KONSTABEL SUKARELAWAN SIMPANAN POLIS LELAKI/WANITA

- ELAUN PENUGASAN

• Elaun penugasan RM 6.00 sejam

- SYARAT SKIM PERKHIDMATAN
Warganegara Malaysia, Berumur tidak kurang 18 tahun dan tidak melebihi 45 tahun pada tarikh temuduga.

Kelayakan:

• Tamat SPM atau setaraf dengannya.
• Mendapat kelulusan dan kebenaran dari Ketua Jabatan/ Majikan untuk berkhidmat sebagai Sukarelawan Simpanan Polis.
• Bersih dari sebarang Rekod Jenayah/ Rekod Cawangan Khas.
• Tidak menjadi ahli anggota lain-lain badan beruniform yang boleh dikerah tenaga di dalam keadaan darurat.
• Pekerja-pekerja dari kumpulan Key Personal seperti Hospital/ TNB (breakdown)/ Telekom (teach), Pegawai Keselamatan/ Jaga yang bertugas dengan Kerajaan/ Badan Berkanun tidak layak memohon.
• Sila sertakan 1 salinan kad pengenalan, Sijil Kelahiran, Sijil Akademik dan Sijil Berhenti Sekolah/ Tamat Sekolah.
• Perkhidmatan Sukarelawan Simpanan Polis adalah tertakluk kepada jadual perintah/ peraturan/ kaedah PVR Regulations 1956, Akta Polis 1967 (Akta 344) dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara Bahagian A 502.

- KELAYAKAN FIZIKAL

Pemohon – pemohon hendaklah mempunyai ukuran fizikal dan pancaindera seperti berikut:

• Tinggi sekurang-kurangnya: Lelaki: 162cm, Wanita: 152cm
• Berat badan sekurang-kurangnya: Lelaki: 50kg, Wanita: 48kg
• Mempunyai penglihatan yang baik;
• Pengecaman warna dan pendengaran yang tidak cacat. Dan;
• Diakui sihat oleh Pegawai Perubatan Kerajaan termasuk pemeriksaan X-Ray.

Rabu, 16 Oktober 2013

KECUAIAN BERPUNCA BUDAK 10 TAHUN PARAH DITEMBAK

Gambar hiasan
PERAK TENGAH: Seorang kanak-kanak 10 tahun parah di bahagian leher akibat terkena tembakan dalam kejadian di Kampung Belanja Kiri, Parit di sini jam 4.30 petang semalam.
Ketika kejadian seorang anggota polis dipercayai sedang mengosongkan senjata dihadapan rumahnya secara tiba-tiba terlepas satu das tembakan lalu terkena mangsa. 
Mangsa kini dirawat dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh. 

Timbalan Ketua Polis Perak Tengah, Deputi Superintendan Leong Ah Kow mengesahkan kejadian.

Dua anggota polis ditahan bantu siasatan kes pemungut hutang mati ditembak

PULAU PINANG 14 Okt. - Seorang pemungut hutang mati terkena tembakan selepas terlibat dalam pergaduhan dengan dua anggota polis di sebuah kelab malam di Auto City Juru di Bukit Mertajam awal pagi ini.

Mangsa, Kang Seok Xiong, 39, disahkan mati selepas dua jam dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Seberang Jaya (HSJ) selepas ditembak dalam kejadian pukul 2.20 pagi.

Ekoran insiden itu, dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Sarjan telah ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes tembak berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kedua-dua anggota polis yang berusia 30-an dan 55 tahun itu masing-masing bertugas di Kedah dan Johor.

Selasa, 15 Oktober 2013

BERWASPADA "SCAM ALERT"


Pihak Polis menasihati orang ramai terutamanya golongan yang ingin mengerjakan ibadah haji dan umrah ini supaya berhati-hati semasa berurusan dengan individu mahupun sindiket yang menawarkan pakej perkhidmatan mengerjakan haji atau umrah. Antara modus operandi mereka ialah :

1. Suspek (individu atau kumpulan) ke rumah pengadu dan menawarkan pakej perkhidmatan menunaikan haji atau umrah kepada pengadu dan isteri serta meminta wang proses pergi haji atau umrah.

2. Pengadu terpengaruh seperti dipukau lalu menyerahkan harta benda dan sejumlah wang yang banyak untuk proses terbabit. 

3. Suspek memberitahu akan datang kembali untuk membawa pengadu dan isteri ke Lembaga Tabung Haji tetapi hingga sekarang suspek tidak datang. 

4. Pengadu serahkan wang kepada suspek untuk uruskan jemaah umrah beserta pasport tetapi sehingga kini suspek masih memberi alasan dan berjanji pulangkan wang pengadu tetapi gagal.

Isnin, 14 Oktober 2013

SOP POLIS TEPATI INTERPOL



Prosedur Operasi Standard (SOP) penggunaan senjata api memang awal-awal lagi dibuat oleh British dalam bentuk Commisioner Standing Order (CSO) sehinggalah Malaya/Malaysia mencapai kemerdekaan pada l957 di mana jawatan Ketua Polis Negara (IGP) diwujudkan dan SOP senjata api pula bertukar menjadi hukuman tetap KPN (IGSO).

Penggunaan senjata api dibenarkan dalam keadaan-keadaan yang amat terhad sahaja di mana wujud ancaman getir terhadap nyawa atau harta benda dalam situasi tidak ada alternatif lain.
Sumber Utusan Malaysia

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha dan bersama kita mensyukuri segala nikmat dan pengorbanan insan terdahulu dalam menjadikan Malaysia sebuah negara merdeka.

Ahad, 13 Oktober 2013

Dua Polis Digantung Tugas Kerana Didakwa Keluar Kenyataan Rasis Di 'WhatsApp Group Chat'


GEORGE TOWN: Dua anggota polis digantung tugas selepas didakwa membuat kenyataan berunsur perkauman menerusi aplikasi ruangan sembang secara berkumpulan di WhatsApp.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, arahan penggantungan itu dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Kedua-dua anggota polis terbabit didakwa membuat kenyataan di sebuah ruangan sembang yang membincangkan tentang urusan berkaitan dengan kerja menerusi aplikasi WhatsApp, yang memberi maksud kepada isu berkaitan dengan penangkapan kumpulan gangster di bawah Ops Cantas.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak mendedahkan pangkat kedua-dua polis berkenaan

Sabtu, 12 Oktober 2013

TINDAKAN YANG TEPAT DILAKUKAN OLEH PDRM KE ATAS PENJENAYAH GANAS

Hadi Ho
KUALA LUMPUR - Polis hari ini menafikan dakwaan mereka tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan melepaskan tembakan sewenang-wenangnya ketika berdepan penjenayah.

Sebaliknya kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah, mereka perlu mematuhi SOP yang ketat terutama berkaitan penggunaan senjata api.

"Akan tetapi jika penjenayah melepaskan tembakan ke arah polis, takkan polis nak tunggu sahaja, mestilah polis pertahankan diri dengan bertindak menembak penjenayah," katanya dalam sidang media, di sini.

Khamis, 10 Oktober 2013

Lelaki mati ditembak ketika sedang minum di restoran

SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan yang sedang minum di sebuah restoran di Kajang selepas bermain badminton, maut apabila ditembak pada jarak dekat kira-kira 10.30 malam tadi.
Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata R Appalasamy, 47, sedang duduk di restoran berkenaan apabila seorang lelaki yang memakai topi keledar berpenutup muka penuh tiba-tiba meluru ke arahnya dan melepaskan dua das tembakan. 
"Tembakan itu mengenai bahagian muka dan dada mangsa. Dia dipercayai mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala," katanya dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini. 

Rabu, 9 Oktober 2013

KERAJAAN THAILAND KUATKUASAKAN ISA !!!

ISA dikuatkuasakan di Bangkok menjelang perhimpunan

BANGKOK 9 Okt. - Kerajaan Thai menguatkuasakan perintah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di beberapa tempat di tiga daerah di Bangkok berkuat kuasa hari ini sehingga 18 Oktober, menjelang perhimpunan antikerajaan yang dirancang kumpulan Tentera Rakyat Menentang Rejim Thaksin.

ISA dikuatkuasakan memandangkan perhimpunan itu dijangka berlarutan yang akan menjejaskan kehidupan penduduk berhampiran Rumah Kerajaan dan Parlimen, kata Ketua Majlis Keselamatan Negara Paradorn Pattanatabut.

"Kami sudah pun menggunakan undang-undang biasa untuk menangani mereka bagaimanapun mereka masih belum beredar, jadi undang-undang khas diperlukan," katanya.

Perintah ISA akan dikuatkuasakan di lapan subdaerah dalam lingkungan daerah Pomprabsattupai, Dusit dan Pranakorn, kesemuanya terletak berhampiran Rumah Kerajaan dan Parlimen.

Kumpulan itu mengadakan perhimpunan di hadapan Rumah Kerajaan di sini sejak Isnin, selepas berpindah dari Lumpini Park tempat mereka mengadakan perhimpunan bantahan sejak 4 Ogos.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat separa Kabinet dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Pol Gen Pracha Promnok di sini hari ini.

Baca lagi dan KLIK DISINI

Selasa, 8 Oktober 2013

ORANG HILANG

ORANG HILANG: Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita ini yang dilaporkan hilang sejak 30 September lalu, diminta menghubungi IPD Keningau di talian 087-332222 atau Balai Polis Tambunan 087-774222.

Butiran peribadi wanita ini adalah seperti berikut:

ORANG HILANG/ KELUAR RUMAH

NAMA : MARIANAH BINTI JOHN AJI
UMUR : 23 TAHUN
BANGSA : DUSUN
ALAMAT : KG TVRC KARANAN TAMBUNAN

KELUAR DARI ASRAMA KOLEJ SEJAK 30.09.2013 DAN HINGGA HARI INI BELUM DITEMUI

SEBARANG MAKLUMAT BOLEH DISALURKAN KE IPD KENINGAU DI 087-332222 ATAU BALAI POLIS TAMBUNAN DI 087-774222

POLIS PAHANG GEMPUR TIGA LITAR MAT REMPIT, KELUAR 272 SAMAN


Foto
Kuantan, 7 Okt - Tiga lokasi yang menjadi litar Mat Rempit di sekitar Bandar Pusat Jengka digempur polis Cawangan Trafik Kontinjen Pahang dalam Ops Bersepadu Banteras Samseng Jalanan semalam.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata antara lokasi yang digempur ialah jalan di depan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jengka, jalan di depan Hospital Jengka dan jalan di depan Balora Mastika.

Beliau berkata lokasi berkenaan menjadi tumpuan Mat Rempit terutama remaja berusia lingkungan 14 hingga 21 tahun dari sekitar Jengka, termasuk segelintir penuntut UiTM yang menyertainya setiap malam minggu dan cuti umum.

Isnin, 7 Oktober 2013

Polis teliti laporan bagi siasat Tony Pua

KUALA LUMPUR - Polis akan meneliti laporan yang dibuat lima badan bukan kerajaan (NGO) terhadap Ketua Publisiti DAP, Tony Pua bagi menentukan sama ada kes itu perlu disiasat mengikut Akta Jenayah atau Akta Hasutan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, pihaknya akan melihat laporan NGO berkenaan yang mendakwa Pua menggelar Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Utusan Malaysia sebagai 'Anjing Umno'.

"Selepas meneliti laporan itu, baru kita akan membuat keputusan sama ada Tony Pua perlu disiasat mengikut Akta Jenayah atau Akta Hasutan," katanya ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia pada Jumaat lepas yang mendakwa Tony mengeluarkan kenyataan itu di akaun Facebooknya pada 29 September selepas keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP selesai.


Hari ini, Sekreteriat NGO Negeri Selangor, Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (Irimm) dan Pertubuhan Gerakan Bersatu 69 (PGB69) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi terhadap Tony. - Bernama

Jumaat, 4 Oktober 2013

'PDRM tak seleweng aset RM1.3j'


Putrajaya: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada penyelewengan berhubung kehilangan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai RM1.3 juta seperti mana termaktub dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012. 

Katanya, kehilangan 309 aset itu sudah pun dijelaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewakili PDRM sebaik menerima laporan audit, namun tidak sempat dimasukkan dalam laporan audit berkenaan. 

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat teknikal dan beberapa kali memberi maklum balas yang diperlukan termasuk pada saat akhir sebelum laporan audit itu dicetak. 



Khamis, 3 Oktober 2013

Tiga penjenayah dikehendaki ditembak mati

Gambar hiasan
GERIK - Tiga lelaki yang dikehendaki kerana terlibat dalam beberapa kes bunuh dan samun termasuk pembunuhan seorang peniaga kedai nasi kukus di Kampung Cacar, Paka, Dungun 13 Ogos lalu, ditembak mati pada Ops Cantas di Jalan Intan di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, dalam kejadian pukul 1.40 pagi itu tiga lelaki berusia 25 hingga 34 tahun berkenaan dikatakan menembak ke arah polis selepas kenderaan mereka diarahkan berhenti di hadapan Bangunan Persekutuan di sini.
Katanya, selain pembunuhan peniaga nasi kukus itu, tiga penjenayah berkenaan dipercayai sekurang-kurangnya terlibat dalam lima lagi kes samun, curi kereta dan bunuh sejak Januari lalu.

PDRM bakal dapat aset baharu, mantapkan peranan

PUTRAJAYA,2 Okt. - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperoleh tujuh aset baharu dalam tempoh terdekat untuk memantapkan lagi tugasan pasukan itu.

Beliau berkata, aset berkenaan merupakan alat komunikasi dan teknologi maklumat serta peralatan bagi sistem pengumpulan penganalisaan maklumat jenayah, khusus untuk Jabatan Siasatan Jenayah PDRM.

Selain itu, PDRM juga akan menerima peralatan tambahan forensik untuk mengukur keupayaan dan keberkesanan penyiasatan di tempat-tempat kejadian, katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri '3rd General Police and Special Equipment Exhibition and Conference Asia' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Selasa, 1 Oktober 2013

309 aset PDRM hilang dengan kerugian RM1.33 juta - Laporan Ketua Audit Negara


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kehilangan 309 unit aset meliputi gari, senjata api dan kenderaan bernilai RM1.33 juta, dedah Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dikeluarkan hari ini. 

Barangan yang hilang itu direkodkan dalam tempoh 2010 hingga 2012 dengan kehilangan gari mencatat kes paling tinggi, sebanyak 156, diikuti senjata api (44) dan kenderaan polis (29). 

Jenis senjata api yang dilaporkan hilang itu bagaimanapun tidak dinyatakan. 

Turut dilaporkan hilang ialah 26 walkie-talkie, enam kamera, empat komputer dan 22 radio. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...