Jumaat, 4 Oktober 2013

'PDRM tak seleweng aset RM1.3j'


Putrajaya: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada penyelewengan berhubung kehilangan aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai RM1.3 juta seperti mana termaktub dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012. 

Katanya, kehilangan 309 aset itu sudah pun dijelaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewakili PDRM sebaik menerima laporan audit, namun tidak sempat dimasukkan dalam laporan audit berkenaan. 

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat teknikal dan beberapa kali memberi maklum balas yang diperlukan termasuk pada saat akhir sebelum laporan audit itu dicetak. 



“Apa yang penting, saya ingin memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan (dalam kehilangan aset terbabit),” katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Kelengkapan Umum Polis (GPEC) Ketiga Asia 2013 di sini, semalam. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. 

Menurut Laporan Ketua Audit Negara yang diedarkan, kelmarin, PDRM kehilangan 309 unit asetnya bernilai RM1.3 juta, termasuk 156 unit gari, 44 senjata api dan 29 kenderaan bagi tempoh 2010 hingga 2012. 

Mengulas lanjut isu sama, Khalid berkata, berdasarkan laporan balistik PDRM, pihaknya tidak mengesan sebarang penggunaan senjata api yang hilang itu untuk tujuan jenayah. 

“Kehilangan ini dalam pelbagai keadaan, termasuk ada yang terjatuh dalam air semasa bertugas di laut dan tidak semestinya jatuh ke tangan penjenayah. Apa yang penting, kita sentiasa memantau senjata yang hilang ini,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...