KUALA LUMPUR - Polis akan meneliti laporan yang dibuat lima badan bukan
kerajaan (NGO) terhadap Ketua Publisiti DAP, Tony Pua bagi menentukan sama ada
kes itu perlu disiasat mengikut Akta Jenayah atau Akta Hasutan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata,
pihaknya akan melihat laporan NGO berkenaan yang mendakwa Pua menggelar
Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan Utusan Malaysia sebagai 'Anjing Umno'.
"Selepas meneliti laporan itu, baru kita akan membuat keputusan
sama ada Tony Pua perlu disiasat mengikut Akta Jenayah atau Akta Hasutan,"
katanya ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia pada Jumaat lepas yang
mendakwa Tony mengeluarkan kenyataan itu di akaun Facebooknya pada 29 September
selepas keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP
selesai.
Hari ini, Sekreteriat NGO Negeri Selangor, Pertubuhan Permuafakatan
Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah
Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (Irimm) dan Pertubuhan
Gerakan Bersatu 69 (PGB69) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang
Wangi terhadap Tony. - Bernama