Khamis, 26 Julai 2012

Perjudian berkomputer semakin serius


KUANTAN: Kegiatan perjudian berkomputer di Pahang dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC T. Narenasagaran berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, polis merampas 2,644 unit komputer bernilai RM2,219,308 yang telah diubahsuai menjadi mesin judi melibatkan 213 premis di seluruh negeri. 


"Polis Pahang telah mempertingkatkan pemantauan serta menjalankan operasi 'Ops Dadu' sepanjang masa. 

"Sepanjang 'Ops Dadu' yang dilakukan enam bulan lepas juga, seramai 1,256 individu ditahan selain wang tunai RM104,108 juga dirampas berbanding sepanjang tahun lalu, hanya 2,299 unit komputer bernilai RM1,871,600 dirampas dengan wang tunai RM32,400," katanya kepada pemberita di sini hari ini.



Beliau berkata dalam serbuan ke atas 194 premis itu juga 981 individu dipercayai pengguna dan penjaga premis-premis yang menjalankan kegiatan perjudian Internet haram ditahan.


Katanya ada di antara premis tersebut telah beberapa kali diserbu namun tetap degil dan kembali beroperasi. 

"Kita telah meminta pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik premis berkenaan dan Majlis Perbandaran Kuantan untuk membatalkan lesen perniagaan selain pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan pemotongan talian internet," katanya. 

Dua kereta dipecah masuk


TAIPING – Satu kejadian kecurian dalam kenderaan dilaporkan berlaku lewat tengah malam semalam melibatkan dua kereta di Jalan 3, Taman Sentosa, Pokok Assam.

Mangsa, Ong Yet Hon, 53, berkata, barangan di dalam kereta dicuri termasuk radio dan alat ganti tayar.

Menurutnya, kejadian berlaku lewat tengah malam memandangkan kawasan itu  agak gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan.

"Bukan saya seorang sahaja yang menjadi mangsa pecah kereta bahkan jiran saya juga mengalami situasi yang serupa," katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi mangsa, Wong Hung @ Wong Kum Sek, 38, berkata, akibat kejadian itu mereka membuat laporan polis di Balai Polis berhampiran dan turut memaklumkan kepada Penyelaras Dun Kawasan Pokok Assam Datuk Ho Cheng Wang agar masalah lampu jalan di sini diberi perhatian supaya kejadian serupa tidak berulang.

“Kami berharap ada tindakan susulan daripada pihak berkenaan supaya kes kecurian di sini dapat dihentikan,” katanya.

Penjenayah menyamar pelanggan


Penjenayah menyamar pelanggan
BATANG KALI - Sepasang suami isteri kerugian lebih RM60,000 dalam kejadian samun di kedai runcit mereka dekat sebuah kolej di sini baru-baru ini.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ina, 36, berkata, kereta Proton Satria Neo, wang tunai RM4,000, dua telefon bimbit bernilai RM300 dan beberapa karton rokok bernilai RM600 dilarikan penjenayah dalam kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan suami sedang mengemas barangan dalam kedai sebelum didatangi dua lelaki berlagak sebagai pelanggan.

“Kami tidak menyedari sebarang perlakuan mencurigakan kerana mereka datang seperti pelanggan biasa dan membeli minuman botol.

“Seorang penjenayah mengarahkan rakannya ke luar mengambil beg dan ketika tiada pelanggan lain seorang penyamun yang berlagak mahu membayar tiba-tiba mengeluarkan pisau rambo lalu mengacukannya pada perut suami sambil meminta kami masuk ke dalam kaunter,” katanya semalam.

Menurutnya, mereka dikawal dan diugut akan dicederakan jika menjerit atau melawan sambil meminta suaminya menyerahkan semua wang tunai dan barangan berharga.

Kubur jadi sarang penagih


Kubur jadi sarang penagih Tidak pernah
ROMPIN - Tanah Perkuburan Islam Kampung Sepayang, di sini, terus menjadi pilihan pihak tidak bertanggungjawab sebagai 'port strategik' untuk menjalankan aktiviti jual beli dan penagihan dadah walaupun beberapa kali tangkapan dibuat pihak berkuasa.

Naib Pengerusi Jawatankuasa Masjid Kampung Sepayang, Baharom Shaari berkata, pada minggu lalu, terdapat sebuah kereta dipercayai masuk ke tanah perkuburan itu menjual dadah kepada penagih.

Bagaimanapun katanya, kereta terbabit didapati meninggalkan kawasan itu segera sebelum dia sempat membuat laporan polis berhubung kegiatan tersebut.

“Pada minggu lalu, terdapat sebuah kenderaan mencurigakan berhenti di pondok wakaf di sini. Saya percaya mereka menjalankan urusan jual beli dadah dalam waktu singkat sebelum beredar dengan tergesa-gesa,” katanya.

Baharom berkata, ada dua tempat dipercayai menjadi lokasi utama kegiatan tersebut iaitu sebuah pokok berhampiran Sungai Kerpai Kampung Sepayang dan pondok wakaf terbabit.

“Dua lokasi ini menjadi pilihan untuk mereka menjalankan kegiatan tersebut sejak sekian lama meskipun sebelum ini terdapat beberapa tangkapan dibuat polis,” katanya.

4 kali disamun: Polis diminta pertingkat rondaan


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga aluminium di Jinjang Selatan di sini yang disamun buat kali keempat dalam tempoh 20 tahun, meminta polis meningkatkan rondaan di kawasan itu.
Phaang Jing Fatt, 34, berkata, dalam kejadian terbaru Ahad lepas, beliau kerugian kira-kira RM10,000 selepas kedainya dipecah masuk dan barangan serta sebuah skuter dilarikan penjenayah.
"Saya menyedari kejadian itu semasa ingin memulakan perniagaan,” katanya pada sidang media yang dianjur Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan, Wilson Lau Hoi Keong, hari ini.
Jing Fatt yang mewarisi perniagaan itu daripada ayahnya, berkata, kehadiran lebih kerap pasukan keselamatan di situ perlu bagi mengurangkan rasa bimbang masyarakat.
Sementara itu, Wilson pula meminta polis meningkatkan aktiviti bertemu orang awam bagi mendengar masalah mereka selain mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat. – BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...