Sabtu, 21 Julai 2012

Kedai Pajak Gadai pula Disamun !!!~



Tauke pajak gadai diserang bertubi-tubi



IPOH - Seorang tauke pajak gadai cedera dibelasah dua lelaki menggunakan topi keledar dalam kejadian samun di premisnya di Taman Saz, Silibin, di sini, kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa, Lau Chee Tim, 27, didatangi dua lelaki yang berpura-pura untuk berurusan di kedai berkenaan.

Tauke pajak gadai diserang bertubi-tubiMenurutnya, selepas melihat dua lelaki di hadapan kedainya, dia membuka pintu tetapi diserang menggunakan alat renjatan elektrik sehingga menyebabkan dia rebah ke lantai.
 
Salah seorang daripada lelaki terbabit mengacu pisau mengugutnya supaya tidak melakukan sebarang tindakan manakala seorang lagi menggeledah laci untuk mencari barang kemas dan wang tunai.
 
“Mereka memukul saya dan memotong poket seluar jeans yang dipakai untuk mengambil dompet.

“Pada waktu itu saya panik kerana bimbang jika mereka turut mencederakan kaki saya. “Selesai melakukan samun, mereka melarikan diri. Kerugian dianggarkan RM7,000,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), kelmarin.

Chee Tim kemudiannya dibenarkan pulang 6 pagi semalam selepas keadaannya stabil.

Katanya, kedainya akan ditutup selama seminggu bagi menjalankan kerja-kerja memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk menambah  ciri-ciri keselamatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu.

Menurutnya, dua suspek itu dipercayai mencederakan mangsa menggunakan topi keledar dan alat renjatan elektrik sebelum disyaki melarikan diri menaiki motosikal.

Azisman berkata, setakat ini pihaknya masih mengesan identiti suspek dan meminta orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu rompakan secara berkumpulan,” katanya, di sini semalam

DUA HARI BERTURUT2 DISAMUN GENG YANG SAMA !!


Disamun geng sama
MANJUNG - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah yang dapat digambarkan terhadap seorang lelaki apabila dia disamun dua hari berturut- turut oleh sekumpulan penyamun yang dikenali sebagai Geng ET.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, kejadian pertama berlaku pada 15 Julai lalu apabila beg mangsa dilarikan penyamun.

Kemudian hari kedua kereta mangsa pula disamun oleh penyamun yang sama. “Penyamun berkenaan berjaya melarikan beg mangsa pada hari pertama dan di dalam beg itu terdapat lesen serta kunci kereta mangsa.

“Berdasarkan alamat pada lesen itu, penyamun berkenaan telah menyamun pula kereta mangsa yang diletakkan di hadapan rumah,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Ahmad berkata, kes yang berlaku di Ayer Tawar itu dipercayai dilakukan oleh kumpulan ET yang memang menjadi buruan polis."Hasil maklumat orang awam kita berjaya menangkap salah seorang suspek si di sebuah kedai di Kampung Koh pada 17 Julai lalu pada jam 6.30 petang.“Pihak kami turut memeriksa sebuah kereta yang ditunjukkan suspek dan menjumpai sepucuk pistol jenis Glock, 90 butir peluru, pasport, kunci kereta, pisau, parang yang dipercayai untuk kerjakerja menyamun,” katanya.

Katanya, daripada hasil siasatan suspek berkenaan mengaku terlibat dalam kes samun namun pihak polis percaya suspek melakukan lebih daripada itu.

“Geng itu mempunyai enam ahli dan dua daripadanya berjaya ditangkap termasuk suspek kes ini dan masih mencari empat lagi ahli berkenaan.

"Kita amat memerlukan bantuan orang ramai untuk memberikan maklumat kepada pihak kami supaya geng berkenaan dapat ditangkap.

"Kita mahu melumpuhkan aktiviti tidak bermoral yang berlaku didaerah Manjung ini,"katanya.

Bekas Ketua Wanita Umno cawangan Bukit Hangus, mati dibunuh


ALOR SETAR - Bekas Ketua Wanita Umno cawangan Bukit Hangus, Halimah Yunus, 66, ditemui mati berlumuran darah di rumahnya di kampung Bukit Hangus, Jeneri, Sik, malam tadi.
   
Ketua Polis Daerah Sik DSP Mohd Ismail Ibrahim berkata mangsa ditemui dengan kesan kelar di leher kiri, oleh suaminya, Mee Hashim, 63, dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah mereka kira-kira 9.20 malam.
  
Beliau berkata polis masih menyiasat motif pembunuhan itu kerana tiada barang berharga yang hilang ketika kejadian. Senjata yang digunakan juga masih belum ditemui.
   
Katanya, ketika kejadian mangsa berseorangan di rumah manakala rumah jiran yang terdekat terletak kira-kira 200 meter daripada tempat kejadian.
   
Sementara itu, Mee berkata beliau menemui isterinya dalam keadaan berlumuran darah semasa pulang ke rumah selepas menunaikan solat Tarawih di surau.

"Waktu tu arwah penuh darah tapi boleh bercakap lagi, dia bagi tau ada seorang lelaki tikam dia. Kemudian saya minta tolong jiran bawa arwah ke hospital Sik," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.
   
Katanya, dia dan arwah hanya mempunyai seorang anak perempuan berusia 46 tahun yang telah berkahwin dan tinggal bersama suami di Sungai Petani.
   
Mee berkata terdapat kesan pecah masuk di pintu belakang rumahnya namun tiada barang berharga yang hilang termasuk barang kemas yang dipakai arwah isterinya.
   
Menurut Mee, isterinya seorang yang sangat mengambil berat tentang hal masyarakat dan mempunyai hubungan yang baik dengan orang-orang kampung.   

"Arwah tinggal seorang diri di rumah waktu saya pergi sembahyang tarawih malam tadi sebab dia tak sihat sejak kena sakit penat (asma) beberapa tahun lepas," katanya. - Bernama

Ketua Polis Pulau Pinang Dilantik Pengerusi Urus Setia NKRA


KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Ayub Yaakob dilantik sebagai Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) khusus dalam menangani isu-isu keselamatan negara.

Beliau menggantikan Datuk Abu Samah Mat yang kini memegang jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/ Perundangan).

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pelantikan Ayub adalah berdasarkan pengalamannya yang luas dalam bidang pencegahan dan penyiasatan jenayah serta pernah memegang jawatan ketua polis Melaka dan Terengganu.

"Kolaborasi itu turut melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu)," katanya dalam kenyataan di sini.

NKRA Pengurangan Jenayah dikendalikan Pemandu di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), diketuai oleh seorang pengarah yang peranannya tidak membabitkan proses mengumpulkan perangkaan jenayah.

Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU 20 Julai - Seorang anggota polis maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah rumah kedai di Jalan Sultan Mahmud di sini awal pagi ini.

Kejadian berlaku pukul 3 pagi ketika Lans Koperal Shahrizal Muhammad, 30, dalam perjalanan ke kediaman Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Batu Burok untuk bertugas.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Halim Ishak berkata, mangsa bagaimanapun berpatah balik secara tiba-tiba ke rumah sewanya yang terletak di Kuala Ibai setelah menyedari tertinggal sesuatu.

“Dalam perjalanan pulang itulah kereta jenis Proton Inspira yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh sebuah rumah kedai berhampiran jalan," katanya - UTUSAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...