Sabtu, 5 April 2014

EMPAT INDIVIDU DITAHAN BANTU SIASATAN KES CULIK DI SEMPORNA


Kota Kinabalu, 4 April - Polis Sabah menahan empat orang termasuk tiga wanita bagi membantu siasatan kes penculikan pelancong warga China dan wanita Filipina di Singamata Adventures and Reef Resort, Semporna, Rabu lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata kesemua mereka ditahan antara pukul 3 dan 5 petang semalam.

"Dua wanita ditahan di resort lokasi penculikan, manakala seorang lagi bersama seorang lelaki ditahan di sebuah perkampungan di Semporna," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Kesemua mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes itu, katanya.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menceroboh resort berkenaan dan melarikan Gao Hua Yuan, 29, pelancong wanita dari Shanghai serta seorang pekerja resort, Marcy Dayawan, 40.

Polis percaya kedua-duanya kini berada di selatan Filipina. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...