Rabu, 30 April 2014

Perlis Usul Kesalahan Ketum Sabit Ikut Akta Dadah


KANGAR: Kerajaan Perlis mengemukakan usul kepada Kerajaan Persekutuan supaya kesalahan bersabit daum ketum dimasukkan di bawah Akta Dadah Berbahaya dalam usaha membendung penyalahgunaan tumbuhan itu.
Menteri Besar, Azlan Man (BN-Pauh) berkata, mengenakan kompaun terhadap pesalah tidak akan dapat mengawal pelaku dari terus mengulangi perbuatan mereka.


Ketika menjawab soalan tambahan Khaw Hock Kong (BN-Titi Tinggi) pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini, Selasa, Azlan berkata ketagihan terhadap tumbuhan itu yang dikaitkan dengan penduduk Perlis dan Kedah menjejas imej kedua-dua negeri.


Bekas Pengarah JKKN Dituduh Rasuah


KUANTAN: Bekas pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang pada Selasa dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima rasuah dan mengemukakan invois palsu kepada majikannya pada 2011.
Mohd Sukarno Abdul Wahab, 56, didakwa menerima wang RM7,000 daripada Sulaiman Ismail sebagai dorongan untuk meluluskan sebut harga pembekalan pakaian dan kostum kepada JKKN Pahang yang dibuat syarikat Gandik Emas Enterprise dan untuk meluluskan pesanan kerajaan kepada syarikat tersebut pada 10 Jan 2011.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Sekyen 24(1) akta yang sama.

Peras Ugut, Bekas Polis Dipenjara 30 Bulan


KUALA LUMPUR: Seorang bekas anggota polis berpangkat lans koperal dipenjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa kerana cuba memeras ugut dan mengurung orang secara salah 13 tahun lepas.
Majistret Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Fadzli Dennis Abdullah, 49, selepas dia mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi pertuduhan cuba memeras ugut dan penjara 12 bulan kerana mengurung orang secara salah.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan Mohd Fadzli Dennis, yang ketika kejadian bertugas di Balai Polis Cawangan Urusetia Narkotik Bukit Aman, menjalani hukuman itu secara serentak bermula daripada tarikh dia ditangkap, tiga hari lepas.
Mengikut pertuduhan, Mohd Fadzli Dennis yang didakwa bersama-sama seorang yang telah dituduh, cuba melakukan peras ugut dengan niat menakutkan Lee Seow Ming, 39, sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan wang sebanyak RM5,000 kepadanya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Setapak, Sentul, di sini pada 1 tengah hari, 25 Nov 2001.
Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 385/511 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda serta boleh dikenakan sebatan.
Mohd Fadzli Dennis juga didakwa bersama-sama seorang yang telah dituduh, melakukan kurungan secara salah terhadap adik Lee, Chee Tion, 36, di tempat dan pada 1.30 tengah hari tarikh sama.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Sekyen 342 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh yang memperkenal diri sebagai anggota polis CID dari Bukit Aman telah masuk ke dalam rumah Lee dan menggeledahnya serta menangkap adik mangsa tanpa waran tangkap.
Lee kemudian menerima panggilan telefon daripada adiknya meminta untuk membawa wang M5,000 sebagai wang pembebasannya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S. Ravindran memohon hukuman setimpal dengan alasan tertuduh telah menyalahguna kuasa sekali gus menjatuhkan maruah anggota polis.
"Rakan subahat tertuduh telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah pada tahun 2005, namun tertuduh yang melarikan diri akhirnya dapat ditangkap pada 26 April lepas," katanya.

Selasa, 29 April 2014

Kenal pasti kawasan panas untuk atasi masalah jenayah remaja


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengenal pasti kawasan panas yang mempunyai kadar jenayah tinggi membabitkan golongan remaja bagi mengatasi masalah itu secara berkesan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. 

Beliau berkata, pemilihan kawasan itu membolehkan punca peningkatan melebihi 100 peratus dalam statistik jenayah dalam kalangan remaja diketahui sebelum langkah sewajarnya diambil. 

"Kita mahu tahu apa yang menyebabkan berlakunya jenayah dalam kalangan remaja. Adakah ia berpunca daripada kekurangan kemudahan, pengawasan atau pendidikan. 

"Sebab itu kita akan pilih kawasan dengan kadar tinggi kejadian ini (jenayah membabitkan remaja)," katanya kepada pemberita di majlis pelancaran Pusat Sumber Pesakit oleh Yayasan Kesihatan Pink Ribbon di sini hari ini yang disempurnakan isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. 

Rohani juga memaklumkan pemilihan kawasan panas akan dibuat dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu memaklumkan jenayah membabitkan remaja berusia 18 tahun ke bawah semakin membimbangkan apabila meningkat sehingga 132 peratus pada 2013 berbanding 2012 dan murid seawal usia tujuh tahun sudah mula melakukan jenayah. 

- BERNAMA 

9 terbabit militan ditahan

Kuala Lumpur: Polis menahan sembilan individu disyaki terbabit dalam kegiatan militan di negara ini dan sebahagian daripada suspek itu dikesan sudah menjalani latihan ala ketenteraan untuk melakukan keganasan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, semua suspek ditahan hari ini di beberapa lokasi berasingan di Kedah dan Selangor. 
Beliau berkata, suspek berusia antara 22 hingga 55 tahun itu disyaki terbabit dalam kumpulan militan yang bertanggungjawab merancang perbuatan ganas di dalam dan luar negara. 


"Mereka juga disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas yang beroperasi di luar negara.

"Mereka ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dengan keganasan, Akta Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747)," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Bukit Aman, sebentar tadi.

Isnin, 28 April 2014

Polis rampas pelbagai senjata api


ALOR SETAR - Polis merampas pelbagai jenis senjata api bersama peluru susulan penahanan dua lelaki dan seorang wanita dalam sebuah rumah di Taman Anggerik, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, tiga pucuk pistol jenis Glock, VZOR Caliber 7.65mm dan revolver pistol angin yang diletakkan dalam sebuah kereta ditemui dalam serbuan kira-kira jam 5 petang.

Beliau berkata, 247 butir peluru pelbagai caliber turut ditemui dalam kereta jenis Subaru milik salah seorang suspek yang diletak luar rumah.

"Kita juga merampas sebahagian komponen senapang M16, dua alat penyerap bunyi dan satu teleskop dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah.

"Suspek yang juga pemilik kereta berusia 40 tahun mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk membabitkan dadah," katanya pada sidang media di ibu pejabat kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Menurutnya, lelaki itu juga mempunyai tatu di badan dan dipercayai terlibat dalam kumpulan kongsi gelap.

Ahmad berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui dua peket dadah jenis heroin seberat 46.53 gram milik seorang lelaki berusia 25 tahun dan wanita berusia 31 tahun yang berada di sebuah bilik atas rumah dua tingkat itu.

"Suspek yang menyimpan senjata api berasal dari Perlis dan seorang lagi dari Jitra. Suspek wanita  mempunyai satu rekod jenayah dan berasal dari Kuala Lumpur.

Ketiga-tiganya direman sehingga 3 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8 (1) Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis Tahan Penuntut IPTS Disyaki Buang Bayi Dalam Mangkuk Tandas


KUALA TERENGGANU, 27 April (Bernama) -- Seorang penuntut perempuan sebuah pusat pengajian tinggi swasta ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembuangan bayi lelaki yang baru dilahirkan di Padang Hiliran di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K.Manoharan berkata suspek yang berusia 21 tahun itu ditahan pukul 3 petang Khamis lalu setelah selesai menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

"Bagaimanapun, remaja itu dibebaskan tiga jam kemudian dengan jaminan polis selepas selesai memberi keterangan ekoran keadaannya yang masih lemah," katanya kepada BERNAMA, Ahad.

Selasa lepas, penuntut itu disyaki bertindak membuang bayi lelaki yang cukup sifat ke dalam mangkuk tandas di rumah sewanya di Kuala Terengganu.

Kejadian itu disedari rakan serumah penuntut berkenaan pukul 2.30 pagi selepas melihat suspek terbaring di depan pintu tandas dalam keadaan lemah selain terkejut melihat tompokan darah dan seorang bayi di dalam mangkuk tandas.

Manoharan berkata hasil bedah siasat mendapati bayi berusia 38 minggu itu meninggal dunia ketika dilahirkan.

Beliau berkata pihaknya juga mengambil keterangan anggota keluarga suspek serta teman lelakinya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.

--BERNAMA

Ahad, 27 April 2014

Salah laku pelajar membimbangkan


KUALA KUBU BHARU - Masalah salah laku pelajar perlu dibendung dari awal bagi mengelak menjadi barah yang mengundang kepada kegiatan jenayah dalam kalangan pelajar.

Sehubungan itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, penubuhan Kor Kadet Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara langkah yang dapat menangani masalah tersebut selain dapat menjadikan pelajar sebagai role model di sekolah serta menjadi mata dan telinga guru mengekang masalah itu.

“Statistik jenayah pelajar di Selangor sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2013 mencatatkan angka sebanyak 873 orang berumur dalam lingkungan tujuh hingga 18 tahun.

“Manakala sehingga Mac 2014 statistik menunjukkan jumlah jenayah melibatkan pelajar mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak 135 orang yang berumur dalam lingkungan usia sama.

“Di sinilah peranan pegawai dan pelajar kor kadet polis diperlukan dalam membantu pihak sekolah dan polis membendung gejala salah laku dan kegiatan jenayah di dalam sekolah dari peringkat awal lagi,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Negeri Selangor, semalam.

IBU TUNGGAL Mencari Jalan Mudah Menjual Dadah


KOTA BHARU- Seorang ibu tunggal didakwa di mahkamah majistret di sini semalam atas dua pertuduhan memiliki dadah berbahaya pada 19 April lalu.

Tertuduh, Noor Azlina Ilias,34, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di depan Majistret Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didapati memiliki satu botol plastik cerah berisi serbuk putih 2.5 gram yang disyaki dadah merbahaya jenis heroin. Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didapati memiliki satu tiub straw berisi lima biji pil kemerahan 0.5 gram disyaki dadah berbahaya jenis ‘methamphetamine.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan pada 19 April lalu di sebuah rumah di Jalan Pintu Geng.

Dua Sahabat Didakwa Merogol Gadis


KOTA BHARU - Dua sahabat dihadapkan ke mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas tuduhan merogol seorang wanita, April lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh Muhammad Hanif  Mazlan, 22, dan Zalani Yusoh, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 22 tahun pada 10 April lalu, jam 11.30 pagi di flat Taman Bahagia, di sini.

Pendakwaan kes di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan. Tertakluk kepada subsekyen (2),(3) dan (4), yang boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Tertuduh pertama, Muhammad Hanif bagaimanapun, berhadapan satu lagi dakwaan merogol mangsa yang sama iaitu pada tarikh yang sama pada jam 4 petang hingga 4.30 petang di sebuah rumah di Desa Harmoni, Wakaf Che Yeh.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nurhilwani Mat Rifin dan wang jaminan tidak ditawarkan. Mahkamah menetapkan 27 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Ops Cantas Khas PGA Banteras Jenayah Dan Perlu Diteruskan


KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan 140 pelbagai kes jenayah dengan nilai rampasan bernilai RM7,007,767  sejak Ops Cantas Khas PGA diperkenalkan Oktober tahun lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Dahlan Mood Noor berkata, seramai 45 anggotanya ditempatkan bersama polis di daerah terpilih bagi membantu terutamanya di kawasan sempadan yang amat sensitif dengan maklumat penyeludupan barang-barang terlarang.

Menurutnya, operasi tersebut yang baru sahaja menamatkan fasa keempat ternyata memberi impak yang positif dalam kes jenayah rentas sempadan memandangkan angka tangkapan sentiasa meningkat.

“Antara kes yang paling tinggi berjaya dipatahkan adalah melibatkan dadah. Bagi mengekang kebanjiran pil kuda di daerah-daerah berpotensi, kami akan pergiatkan lagi operasi pada masa akan datang.

Sabtu, 26 April 2014

Rogol Bawah Umur: Pekerja Kedai Jam Dihukum Penjara 41 Tahun, 12 Sebatan


KUALA LUMPUR: Pekerja kedai jam dikenakan hukuman penjara 41 tahun dan 12 kali sebatan atas dua kesalahan merogol remaja bawah umur.

Chai Ruong Huei, 32 juga didapati bersalah kerana mencuri iPad remaja berusia 16 tahun itu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Emelia Kaswati Mohamad Khalid menolak permohonan Ruong Huei untuk menggantung pelaksanaan hukuman.

Beliau mengarahkan hukuman itu dikenakan selepas tamat tempoh kesalahan pertama yang dilakukannya seperti ditetapkan pada 26 Mac lalu. Kes ini masih diperingkat rayuan.

Ruong Huei dikenakan hukuman 18 tahun penjara dan enam sebatan untuk setiap kesalahan merogol gadis itu di sebuah bilik di Hotel New Three Three, Jalan Manis 7, Taman Segar, Cheras antara pukul 2.10 petang hingga 2.30 petang pada 15 September 2012.

Tertuduh juga dihukum penjara lima tahun kerana mencuri iPad gadis itu pada masa dan tempat sama.

Hakim Emelia Kaswati memerintahkan supaya hukuman itu dilaksanakan serentak, bermaksud Ruong Huei akan dipenjarakan selama 18 tahun dengan 12 sebatan.

Terdahulu, peguam bela Mohd Yusuf Ag Lah berkata, Ruong Huei adalah anak sulung daripada tiga beradik yang memikul tanggungjawab membantu keluarganya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Malek Fauzie bagaimanapun meminta mahkamah mempertimbangkan kesan perbuatan tertuduh bukan sahaja kepada mangsa, juga masyarakat.

Jumaat, 25 April 2014

PENGARAH JABATAN LOGISTIK PANDU UJI RIGID HULL FENDER BOAT


Pada 24 April 2014 jam 9.00 pagi, Dato' Pahlawan Zulkifli b. Abdullah, Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman membuat lawatan kerja ke Limbungan Dalac Marine,Masai Johor untuk mendengar taklimat berkaitan Rigid Hull Fender Boat (RHFB) sekali gus membuat pandu uji bot tersebut.

Ini merupakan salah satu usaha berinovasi dalam konteks 'technology update' peralatan dan kelengkapan Pasukan khususnya dalam menjaga keamanan negara.

Turut hadir ialah Ketua Polis Johor, Dato Zubaidah bte Mohd Ismail, Timb. Pengarah 1(Pengangkutan/Komunikasi/Teknologi Maklumat/Bangunan) Jabatan Logistik dan Komander Pasukan Marin Polis serta pegawai-pegawai yang bertanggungjawab.

POLIS CADANG TEMPAT ANGGOTA DI PUSAT PERANGINAN SABAH



Kuala Lumpur, 25 April - Pihak polis bercadang menempatkan anggota di 11 pusat peranginan di Sabah bagi menghalang kemasukan penjenayah mahupun pihak luar yang cuba menyusup masuk melalui pantai timur negeri itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kehadiran anggota keselamatan di pusat-pusat peranginan itu adalah penting berikutan kedudukannya yang terletak berjauhan dan terpencil.

"Memandangkan kedudukannya yang luas dan jauh, susah untuk kami berikan respons dengan pantas. Dengan adanya pasukan keselamatan secara tetap di setiap pusat peranginan, sebarang jenayah dapat dielakkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Panther 911 Central Monitoring System' di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan meminta syarikat yang mengeluarkan sistem pemantauan keselamatan itu Digistar Holdings Sdn Bhd agar menyerahkan cadangan kepada pihak polis untuk diteliti dan diaplikasi di kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Khalid berkata sistem itu boleh mengesan ketibaan penjenayah di perairan
Esscom.

Ia berfungsi seperti kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh diletak di pusat peranginan, yang sentiasa memantau perairan dan juga akan dihubungkan terus ke balai-balai polis berhampiran.- BERNAMA

Khamis, 24 April 2014

PROGRAM SIMPOSIUM PENCEGAHAN JENAYAH DARI PERSPEKTIF ISLAM


Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan Simposium Pencegahan Jenayah Dari Perspektif Islam pada 24 hingga 25 April 2014 (Khamis & Jumaat) bertempat di Dewan Muktamar Pusat Islam JAWI Kuala Lumpur.

Program anjuran PDRM Bukit Aman dengan kerjasama JAWI, JAKIM, MAWIP DAN PPZ ini turut dimeriahkan dengan pameran dan jualan di sepanjang program berlangsung. 

Turut terlibat dalam program ini adalah dari Cawangan Khas, Cawangan Trafik, JPPJ, Cawangan Narkotik, IKIM, JAKIM, JAWI, TV Al-Hijrah, Galeri Ilmu, Telaga Biru, dan lain-lain agensi yang mengambil bahagian.

Rabu, 23 April 2014

Tian Chua sengaja cabar undang-undang


KUALA LUMPUR 21 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kenyataan berbaur hasutan yang dibuat Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang sekali lagi mengajak rakyat menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ceramahnya di Pantai Dalam, di sini semalam.

Kenyataan berbaur hasutan itu diulangi Tian Chua sekiranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Biarpun sedang disiasat polis berhubung kes menghasut rakyat untuk menjatuhkan Perdana Menteri di jalanan menerusi akaun Twitternya sebelum ini, namun Tian Chua seolah-olah terus mempertikaikan keputusan mahkamah dan mendakwa hukuman terhadap Anwar telah dijatuhkan sendiri oleh Najib.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu.

"Beliau (Tian Chua) seperti sengaja ingin mencabar undang-undang negara," katanya.

Pemandu Teksi Jumpa Janin Dalam Beg Plastik


KAJANG: Pemandu teksi berusia 32 tahun menemui janin yang dipercayai berusia enam bulan dalam beg plastik di Sekolah Agama Rakyat Taman Delima, dekat sini, Selasa.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pemandu teksi itu menurunkan penumpang di sebuah masjid dalam kawasan sekolah itu apabila terlihat bag berkenaan.


“Lelaki itu melihat ke dalam beg itu dan mendapati ada janin didalamnya sebelum menghubungi polis,” katanya.




Bayi Dibuang Atas Bumbung


SANDAKAN: Lagi kes buang bayi. Kali ini ada individu sanggup memanjat bumbung rumah seorang pesara kerajaan melalui tangki air yang terletak di bahagian belakang kediamannya semata-mata untuk tujuan itu.
Bagaimanapun, bayi lelaki itu, yang cukup sifat dengan tali pusat dipercayai baru dilahirkan dan diletak dalam bungkusan plastik, bernasib baik apabila tangisannya didengar pesara berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong berkata pesara kerajaan berusia 59 tahun itu, yang tinggal di Taman Merpati Batu 7 dekat sini, membuka tingkap selepas mendengar bunyi tangisan bayi dari atas bumbung dan melihat satu bungkusan berada di situ.
Ketika itu, tangisan bayi berkenaan sudah berhenti.
Rowell berkata pesara itu kemudian ke rumah iparnya di kawasan berhampiran dan pemeriksaan ke atas bungkusan terbabit mendapati ada bayi di dalamnya sebelum memaklumkan penemuan berkenaan kepada polis pada 11.15 malam, Sabtu.
Beliau berkata bayi malang itu dihantar ke Hospital Duchess Of Kent dan kini dalam keadaan sihat.
Katanya, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Selasa, 22 April 2014

KENAPA BlackBerry tumpu sektor kerajaan, perusahaan ??


KENAPA UAE MELARANG KEMASUKKAN BLACKBERRY ??? KLIK SINI 

DI MALAYSIA BLACKBERRY NAK TUMPU KEPADA SEKTOR KERAJAAN DAN PERUSAHAAN PULAK....

BLACKBERRY Malaysia akan memberi tumpuan kepada sektor-sektor kerajaan dan perusahaan dalam usahanya bergerak ke hadapan dengan pembangunan perniagaannya, kata Pengarah Urusan bagi Indochina, Ben Quirin.     
   
Quirin berkata sebelum ini, tumpuan utama BlackBerry Malaysia ialah segmen peruncit.
   
"Sektor-sektor kerajaan dan perusahaan akan menjadi tumpuan utama kami di Malaysia, untuk mendapatkan lebih banyak pelanggan dan melatih rakan-rakan kami dalam aspek teknikal supaya mereka akan memahami tumpuan kami.
   
"Pembangunan produk perisian, perkakasan dan perkhidmatan menjadi   tumpuan utama kami untuk memastikan pelanggan kami dari kedua-dua sektor yang sentiasa berhubung dengan kami," katanya kepada pemberita selepas melancarkan rancangan pembangunan BlackBerry Malaysia di sini hari ini.
   
Beliau berkata bahagian pasaran pesaing untuk kedua-dua sektor yang pada masa ini antara 25 dan 30 peratus, kira-kira yang sama bagi BlackBerry. - Bernama.

Isnin, 21 April 2014

Pesta liar inap desa


Georgetown: Enam puluh daripada 88 individu yang ditahan dalam satu pesta dadah dan arak di sebuah banglo yang disewa di Jalan Masjid Negeri, di sini semalam, direman empat hari untuk siasatan.

Mereka antara kumpulan 50 lelaki dan 38 wanita berusia 16 hingga 35 tahun termasuk 15 pelajar yang memenuhi kediaman inap desa itu, kononnya menghadiri sambutan hari jadi seorang ahli perniagaan sebelum majlis bertukar menjadi pesta liar apabila kebanyakan pengunjung mengambil syabu, ganja dan minuman keras. 

Positif dadah 

Semua yang ditahan dalam operasi kira-kira jam 2.45 pagi itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut sebelum hasil ujian awal air kencing mendapati 60 daripada mereka, membabitkan 35 lelaki dan 25 wanita, positif dadah dan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ahad, 20 April 2014

AWAS: POLIS TUBUHKAN SKUAD NINJA !!!


PENYAMUN DICEKUP SKUAD NINJA : Seorang peganggur lelaki yang disyaki sedang merancang untuk menyamun, dicekup polis selepas kereta curi dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam longkang besar di Jalan Lembing, Taman Pelangi, di sini sema-lam.

Suspek berusia dalam lingkungan 40an itu berjaya ditahan oleh anggota Skuad Ninja Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan selepas dikejar kira-kira lima kilometer selepas enggan memberhetikan kenderaan.

SUMBER : KOSMO

Pesara jumpa bayi masih hidup dalam tangki air

Gambar hiasan
Sandakan: Pesara kerajaan menemui bayi lelaki masih hidup dalam tangki air yang terletak di bahagian belakang kediamannya, di sini, lewat malam semalam.
Bagaimanapun, bayi lelaki itu yang cukup sifat dengan tali pusat dipercayai baru dilahirkan dan diletak dalam bungkusan plastik, bernasib baik apabila tangisannya didengar pesara berkenaan. 
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Rowell Marong, berkata pesara kerajaan berusia 59 tahun itu, yang mnenetap di Taman Merpati Batu 7 dekat sini, membuka tingkap selepas mendengar bunyi tangisan bayi dari atas bumbung dan melihat satu bungkusan berada di situ.

Ketika itu, tangisan bayi berkenaan sudah berhenti.

Rowell berkata pesara itu kemudian ke rumah iparnya di kawasan berhampiran dan pemeriksaan ke atas bungkusan terbabit mendapati ada bayi di dalamnya sebelum memaklumkan penemuan berkenaan kepada polis pada 11.15 malam, semalam. 

Beliau berkata bayi malang itu dihantar ke Hospital Duchess Of Kent dan kini dalam keadaan sihat. 

Katanya, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan. - Bernama

PESAWAH TEMUI MAYAT 'BERKAFAN' DI BENDANGNYA

Gambar hiasan
ALOR SETAR, 20 April (Bernama) -- Seorang pesawah yang mahu membersihkan bendangnya di Kampung Tuba, Pokok Sena dekat sini hari ini, terkejut apabila objek yang ditarik keluar dari petak sawah menggunakan cangkul merupakan mayat seorang lelaki.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, Saari Ariffin, 68, berkata dia ternampak satu objek yang seakan-akan kepala manusia ketika mahu membersihkan petak sawah tersebut.

"Saya menggunakan cangkul untuk menariknya keluar dan alangkah terperanjatnya saya apabila mendapati objek itu ialah mayat yang seolah-olah sudah dikafankan," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Saari berkata dia sudah dua bulan tidak ke sawah yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya di Kampung Tok Keling.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan yang mengesahkan penemuan berkata mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu ditanam di dalam lubang sedalam 0.6 meter.

Polis percaya mayat tersebut dibuang di situ sejak seminggu lalu berdasarkan pemeriksaan awal yang mendapati mayat sudah mereput 60 peratus, katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dibedah siasat.  BERNAMA

PESARA TENTERA PARAH DITIKAM ANAK SENDIRI DI KUALA TERENGGANU

Gambar hiasan
Kuala Terengganu, 20 April - Seorang bapa cedera parah setelah ditikam oleh anaknya sendiri selepas satu pertengkaran di hadapan rumahnya di Kampung Lembah Harapan Seberang Takir di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata kejadian itu berlaku ketika mangsa yang berusia 55 tahun itu menegur anak lelaki yang bertengkar dengan tunangnya di hadapan rumah pada 9.30 malam.

Katanya berang dengan teguran itu, anaknya yang berusia 22 tahun bertindak memarahi bapanya dan melarang dia masuk campur dalam urusan mereka.

"Mangsa kemudiannya turun ke kawasan halaman rumah untuk menasihati anaknya namun tercetus pergelutan dan pergaduhan antara bapa dan anak.

Jumaat, 18 April 2014

Dadah RM18 juta dirampas


KUALA LUMPUR 17 April - Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman menumpaskan satu sindiket dadah terbesar sejak awal tahun ini, melibatkan rampasan dadah jenis syabu bernilai RM18 juta.

Nilai tersebut melibatkan dadah seberat 125 kilogram yang dirampas menerusi tiga serbuan di Subang Jaya dan Melaka, kelmarin.

Turut ditahan lima lelaki terma-suk seorang warga Singapura berusia antara 21 dan 58 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 8.30 malam di sebuah pasar raya di Subang Jaya, pihak polis menangkap dua lelaki termasuk seorang rakyat Singapura.

"Ketika ditangkap, kedua-dua suspek sedang memunggah tiga guni dadah jenis syabu seberat 75 kilogram antara dua buah kereta di kawasan letak kenderaan.

LETUPAN MENCEDERAKAN MANGSA DIHADAPAN RUMAHNYA


KUALA LUMPUR 17 April - "Saya terdengar bunyi letupan yang kuat seperti letupan bom atau gas," kata seorang jiran kepada mangsa kejadian letupan di Jalan PUJ 2/17, Taman Puncak Jalil, Bandar Putera Permai, di sini awal pagi ini.

Menurut Norsiah Othman, 52, dia terjaga awal untuk melakukan rutin harian dan amat terkejut apabila terdengar bunyi yang amat kuat meskipun jarak rumahnya 100 meter daripada kediaman mangsa.

"Terkejut dengan bunyi itu, saya terus memanggil suami untuk keluar melihat apa yang terjadi.

"Apabila keluar, kami melihat ada asap dan mangsa sudah tersandar tidak sedarkan diri dengan darah di tangan, muka dan beberapa anggota badan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tiga Syarikat Terlibat Dalam Kes Penipuan UMRAH


KUALA LUMPUR 17 April - Polis mengenal pasti tiga syarikat terlibat dalam kes penipuan umrah melibatkan kerugian kira-kira RM300,000 termasuk satu sindiket didalangi oleh seorang lelaki bersama tiga isterinya.

Antara modus operandi syarikat berkenaan ialah menawarkan pakej umrah bernilai antara RM1,400 hingga RM13,200 kepada bakal jemaah namun membatalkan rombongan tersebut setelah menerima pembayaran penuh daripada mangsa dengan alasan gagal mendapatkan visa dari kerajaan Arab Saudi.

Syarikat yang dikesan aktif menipu sejak awal tahun lalu itu kemudian tidak memulangkan duit kepada mangsa atau memberi cek atas nama akaun syarikat yang telah ditutup.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, hasil aduan yang diterima daripada beberapa mangsa, pihaknya telah menahan seorang wanita berusia 56 tahun yang merupakan pengarah salah sebuah syarikat terbabit di sebuah rumah di Damansara kira-kira pukul 10 malam pada 9 April lalu.

Izany berkata, ekoran penahan wanita terbabit, polis kini mengesan seorang lelaki dan dua wanita lain yang juga merupakan suami dan madu kepada suspek berkenaan.

PENIPUAN GANDAKAN WANG TUMPAS:


Polis Kuala Lumpur berjaya menangkap seorang perempuan warganegara asing dan telah merampas lima bundle wang kertas USD100 yang disyaki palsu, tiga bundle wang kertas RM50.00 yang disyaki palsu, tiga bundle kertas putih ukuran wang kertas RM50.00, satu plastik mengandungi serbuk berwarna kekuningan dan note USD yang belum disahkan ketulenannya.

Orang ramai yang pernah terlibat dalam pelaburan yang mempunyai M.O yang sama supaya diminta membuat laporan Polis di balai terdekat. Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu ke atas sebarang bentuk pelaburan yang ingin diceburi yang meragukan . 

Polis mengalu-alukan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan kes-kes ini. Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Kawalan / Hotline PolisKL 03-21159999 atau Pejabat Risikan Komersil IPK KL ditalian 03-21460642.

EDAR DADAH DIPERKARANGAN KOMPLEKS MAHKAMAH


WANITA DIDAKWA EDAR HEROIN: Seorang wanita berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa mengedar heroin di perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh baru-baru ini.

Ally , 45, dari Bukit Balai Durian Tunggal, Alor Gajah didakwa mengedar dadah jenis heroin dengan berat kasar 63.42gram di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, 8 April lalu.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 39B(2), akta sama yang memperuntukan hukuman mati mandatory, jika sabit kesalahan. 

Sumber: Harian Metro.

Khamis, 17 April 2014

ANAK DERHAKA DIHUKUM GANTUNG


BUNUH IBU: WANITA DIHUKUM GANTUNG 

Shah Alam - Hakim mahkamah tinggi di sini, semalain memerintahkan seorang wanita digantung sampai mati setelah didapati bersalah membunuh ibu tirinya, dua tahun lalu. 

Hakim Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman itu terhadap Zahidah Ahmad, 27, selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. 

BUDAK 12 TAHUN DITAHAN CURI MOTOR

Gambar hiasan

Seri Kembangan - Seorang murid darjah enam antara lima yang ditahan bersama sembilan motosikal curi di sebuah pangsapuri di Taman Pinggiran Putra, di sini, kelmarin. 

Empat lagi rakannya termasuk seorang warga Myanmar dan seorang warga Indonesia berusia 16 dan 14 tahun turut diberkas empat hari selepas tangkapan pertama dilakukan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, sepasukan anggota polis yang melaksanakan Ops Lejang terserempak dua remaja lelaki leka meleraikan komponen motosikal di tingkat bawah sebuah pangsapuri, petang Khamis lalu.

Rabu, 16 April 2014

BERWASPADA PENIPUAN KAD KREDIT/KAD DEBIT


SCAM ALERT: Mensasarkan pengguna baru kad kredit/kad debit yang kurang arif mengenai transaksi kad kredit. Sindiket akan menggunakan pelbagai taktik untuk mendapatkan CVV2 (Card Verification Value) iaitu tiga digit nombor terakhir di belakang kad kredit/kad debit mangsa.
Modus Operansi:
1. Sindiket akan membuat panggilan telefon kepada pemegang kad kredit atau debit dengan memaklumkan bahawa panggilan tersebut adalah daripada pusat khidmat pelanggan bank yang dilanggani.

2. Sindiket memberitahu mangsa bahawa mereka merupakan pemegang kad bertuah dan atas sebab tersebut, terdapat tawaran menarik seperti pakej pelancongan, insurans sedang menanti.

3. Untuk menerima tawaran tersebut, mangsa perlu membuat pengesahan nama penuh, nombor kad pengenalan dan tarikh luput kad.

4. Pihak sindiket kemudiannya akan meminta mangsa membacakan nombor kad kredit/debit mangsa berserta tiga digit nombor terakhir di belakang kad berkenaan.

Isnin, 14 April 2014

Van rokok disamun rugi RM40,000

Mungkin dijual kepada peniaga2 ini ???
BENTONG - Sekumpulan penjenayah bertindak mengikat seorang pemandu van rokok sebelum melarikan rokok pelbagai jenama dan wang tunai bernilai hampir RM40,000 di hadapan sebuah pasar raya di Karak dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kejadian pada kira-kira jam 10.45 pagi itu berlaku ketika mangsa berada di tepi van berkenaan bagi menurunkan rokok untuk di hantar ke pasar raya berkenaan.

“Tiba-tiba datang tiga hingga empat lelaki terus menangkap mangsa dan memasukkannya ke dalam van.

“Saspek kemudian membawa mangsa dan meninggalkan mangsa di Flat Taman Perdana Raya, iaitu kira-kira 300 meter dari tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mohamad Mansor berkata, mangsa yang berjaya melepaskan diri daripada ikatan kemudiannya pergi ke Balai Polis Karak di sini untuk membuat laporan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada masa ini polis masih giat melakukan siasatan bagi mengenal pasti dan mencari suspek yang terlibat.

“Berdasarkan siasatan awal suspek menggunakan dua buah kereta iaitu jenis Proton Waja berwarna kelabu dan Toyota Vios atau Hyundai berwarna hitam,” katanya.

Ahli perniagaan disimbah asid

Gambar hiasan
PORT DICKSON – Seorang ahli perniagaan yang baru sahaja selesai bermain golf di sebuah kelab golf di sini, melecur teruk akibat disimbah asid dalam kejadian kira-kira jam 7.05, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Abd Wahab Harun berkata, mangsa, Zulkafli Abdul Halim, 42, melecur di muka dan leher serta badan selepas disimbah sejenis cecair dipercayai asid di tempat letak kereta di sebuah kelab golf.

“Kejadian disedari oleh rakan mangsa yang ketika itu juga hendak pulang ke rumah selepas bermain golf bersamanya apabila mangsa menjerit kesakitan lalu bergegas menghampirinya.

“Mangsa mengadu dia telah disimbah asid dan keadaan bajunya terkoyak seperti terbakar dan kulit badan serta mukanya melecur sebelum dia dikejarkan ke Hospital Port Dickson oleh rakannya," katanya semalam.

Abd Wahab berkata, pengawal keselamatan kelab golf berkenaan mendakwa ada melihat sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna biru gelap dinaiki dua lelaki India keluar laju dari kawasan parkir.

“Siasatan awal polis mendapati, kenderaan yang digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu. Kita masih siasat motif kejadian dan polis kini sedang giat memburu suspek.  

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan benda-benda bahaya. Siasatan polis juga dijalankan dari segala sudut bagi mengesan suspek dan menyelesaikan kes,” katanya.

Abd Wahab menambah, mangsa kini di rawat di Hospital Seremban.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...