Rabu, 23 April 2014

Bayi Dibuang Atas Bumbung


SANDAKAN: Lagi kes buang bayi. Kali ini ada individu sanggup memanjat bumbung rumah seorang pesara kerajaan melalui tangki air yang terletak di bahagian belakang kediamannya semata-mata untuk tujuan itu.
Bagaimanapun, bayi lelaki itu, yang cukup sifat dengan tali pusat dipercayai baru dilahirkan dan diletak dalam bungkusan plastik, bernasib baik apabila tangisannya didengar pesara berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong berkata pesara kerajaan berusia 59 tahun itu, yang tinggal di Taman Merpati Batu 7 dekat sini, membuka tingkap selepas mendengar bunyi tangisan bayi dari atas bumbung dan melihat satu bungkusan berada di situ.
Ketika itu, tangisan bayi berkenaan sudah berhenti.
Rowell berkata pesara itu kemudian ke rumah iparnya di kawasan berhampiran dan pemeriksaan ke atas bungkusan terbabit mendapati ada bayi di dalamnya sebelum memaklumkan penemuan berkenaan kepada polis pada 11.15 malam, Sabtu.
Beliau berkata bayi malang itu dihantar ke Hospital Duchess Of Kent dan kini dalam keadaan sihat.
Katanya, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan mereka yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...