PUTRAJAYA, 14 Zulhijjah 1438H,
Selasa – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
mengumumkan perlantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd yang baharu.
Dalam satu kenyataan, Najib
turut mengumumkan pelantikan Khalid sebagai DUTA KHAS bagi meningkatkan hubungan dan
kerjasama negara dengan masyarakat antarabangsa dalam usaha memerangi keganasan, fahaman pelampau dan pemerdagangan manusia.
“Ini memandangkan pengalaman
luas serta hubungan baik Tan Sri Abu Bakar dengan agensi antarabangsa sepanjang
tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara dalam menangani masalah
tersebut,” katanya.
Khalid bersara wajib pada 4
September (semalam). Khalid yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan,
menyertai pasukan keselamatan itu sebagai inspektor pada 5 Disember 1976.
Najib berkata pelantikan Khalid
sebagai Pengerusi Prasarana adalah bagi menggantikan Tan Sri Ismail Adam yang
tamat tempoh pelantikan pada 31 Ogos lepas (2017).
“Tan Sri Khalid Abu Bakar akan
meneruskan misi dan visi Prasarana untuk membina dan menyediakan perkhidmatan
pengangkutan awam yang bertaraf dunia serta peningkatan penggunaan pengangkutan
awam,” katanya.
Najib bagi pihak kerajaan turut
merakamkan ucapan terima kasih kepada Ismail atas sumbangan beliau menjayakan
misi dan visi Prasarana sepanjang tempoh perkhidmatannya.- Bernama