RAWANG - Seorang kontraktor kerugian RM10,000 apabila rumahnya terletak di Taman Sri Hijau di sini dipercayai dipecah masuk oleh tiga individu dalam kejadian Isnin lalu.
Mangsa, Ng Eng Beng, 49, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 6 pagi sewaktu dia bersama isteri dan seorang anak perempuannya sedang tidur sebelum terdengar salakan dua anjing miliknya.
Menurutnya, dia bertindak menjengah ke bawah melalui tingkap bilik atas untuk melihat punca salakan anjing dan mendapati tiada apa-apa yang mencurigakan di pagar rumahnya menyebabkannya dia kembali tidur semula.
“Hanya beberapa minit selepas itu bilik saya dimasuki seorang suspek manakala bilik anak saya dimasuki dua lagi suspek yang memakai topeng muka sebelum mengarahkannya menuju ke bilik saya.
“Mereka tidak bertindak ganas walaupun pada masa itu mereka dalam keadaan mabuk dan mengarahkan saya menyerahkan barangan berharga seperti wang tunai RM5,000, cincin, jam tangan dan telefon bimbit,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.