Jumaat, 27 Julai 2012

Rumah dipecah masuk tiga perompak mabuk


Rumah dipecah masuk tiga perompak mabuk
RAWANG - Seorang kontraktor kerugian RM10,000 apabila rumahnya terletak di Taman Sri Hijau di sini dipercayai dipecah masuk oleh tiga individu dalam kejadian Isnin lalu.

Mangsa, Ng Eng Beng, 49, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 6 pagi sewaktu dia bersama isteri dan seorang anak perempuannya sedang tidur sebelum terdengar salakan dua anjing miliknya.

Menurutnya, dia bertindak menjengah ke bawah melalui tingkap bilik atas untuk melihat punca salakan anjing dan mendapati tiada apa-apa yang mencurigakan di pagar rumahnya menyebabkannya dia kembali tidur semula.

“Hanya beberapa minit selepas itu bilik saya dimasuki seorang suspek manakala bilik anak saya dimasuki dua lagi suspek yang memakai topeng muka sebelum mengarahkannya menuju ke bilik saya.

“Mereka tidak bertindak ganas walaupun pada masa itu mereka dalam keadaan mabuk dan mengarahkan saya menyerahkan barangan berharga seperti wang tunai RM5,000, cincin, jam tangan dan telefon bimbit,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Eng Beng berkata, suspek dipercayai memasuki kawasan rumah melalui pintu hadapan dengan mengumpil tingkap dan bertindak mengambil kunci yang terletak berhampiran pintu.

“Mereka bersenjatakan spanar dan besi yang digunakan untuk mengumpil tingkap dan salah seorang daripadanya tidak memakai topeng manakala terdapat seorang lagi rakan suspek berada di dalam kereta yang diletakkan di kawasan tersorok berhampiran pokok besar.

“Suspek turut berjaya mengawal dua anjing yang saya lepaskan dari sangkarnya untuk mengawal rumah dan sewaktu kejadian didapati anjing telah dimasukkan ke dalam kawasan lapang bersebelahan rumah,” katanya.

Menurutnya, untuk tahun ini sahaja, empat kes pecah rumah berlaku di kawasan perumahannya menyebabkan sistem penggera dipasang selepas insiden itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Selayang, Lee Li Yew berkata, beliau mencadangkan supaya kawalan keselamatan dipertingkatkan.

“Satu persetujuan bersama penduduk diperlukan supaya permohonan kepada Majlis Perbandaran Selayang dapat dibuat untuk ditutup satu jalan dan hanya satu pintu akses disediakan.

“Selain itu, kita turut mencadangkan supaya sesi dialog dibuat bersama polis,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...