KUANTAN, 6 Jan (Bernama) -- "Saya dan keluarga sedar dan tahu kerja
ayah sememangnya berisiko tetapi tidak menyangka kejadian seperti ini menimpa
keluarga kami".
Demikian kata anak kedua Kpl Abdul Halim Mat Ali yang ditemui mati
ditembak di Ladang Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Pandan Jaya,
Jaya Gading di sini Isnin.
Shahrul Nuie Abd Halim, 20, berkata dirinya seakan tidak percaya apabila
dimaklumkan ibunya, Asmah Laily Yusof, 40, mengenai kejadian yang menimpa
ayahnya pada kira-kira 10 pagi tadi.
"Bagaimanapun, kami sekeluarga reda dengan apa yang terjadi,"
katanya yang merupakan seorang juruukur di Rawang, Selangor ketika ditemui
pemberita di pekarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di
sini, hari ini.
Petang semalam Abdul Halim, 48, mengejar dua lelaki bersenjatakan dua
laras senapang patah dan gagal dihubungi anggota polis lain selepas kejadian
itu sebelum mayatnya ditemui kira-kira 9 pagi ini di ladang berkenaan.
Menurut Shahrul, jenazah ayahnya akan dikebumikan di kampung halaman
mereka di Felda Bukit Mendi, Bera.
Allahyarham mempunyai seorang lagi anak lelaki dan dua anak perenmpuan --
BERNAMA.