Selasa, 26 November 2013

Patuhi arahan polis demi keselamatan

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Jamaluddin Abd Majid

KUANTAN - Peserta Kembara Setia Diraja Pahang dinasihatkan mematuhi arahan polis bagi mengelakkan sebarang masalah dan melancarkan perjalanan sepanjang konvoi berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Jamaluddin Abd Majid berkata, seramai 17 anggota polis akan mengawal keselamatan dan lalu lintas bersama peserta konvoi sepanjang lebih 1,200 kilometer perjalanan.

“Mereka akan terus mengiringi penunggang motosikal berkuasa besar di semua daerah yang dijelajahi di seluruh negeri dan dibantu di daerah jika diperlukan,” katanya di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, tiada jalan yang ditutup bagi program itu tetapi kawalan polis memastikan lalu lintas lancar.

Lebih 3,000 polis sedia hadapi ancaman banjir


KUALA TERENGGANU - Seramai 3,300 anggota polis di Terengganu diletakkan dalam keadaan bersedia untuk membantu mangsa banjir di negeri ini pada musim tengkujuh ini.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata kesemua anggota polis itu akan digerakkan sebaik banjir berlaku di negeri ini.

Sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh, polis kini membuat pemantauan empat jam sekali kenaikan paras air sungai khususnya di kawasan yang sering dilanda banjir, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu Hamzah mengingatkan orang ramai terutama penduduk di kawasan yang sering dilanda banjir supaya membuat persediaan awal untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat jika paras air sungai telah melebihi paras bahaya.

"Kami minta orang ramai agar mematuhi arahan jika diminta berpindah. Selain itu buat persediaan awal dengan mengutamakan dokumen-dokumen penting dan barang berharga ketika berpindah," katanya. - Bernama

Pemilik Marker Paintball perlu lesen


KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia memberi tempoh sebulan bermula hari ini kepada pemilik senjata tiruan termasuk’ marker paintball’ yang belum mempunyai lesen pemilikan.

Pengarah Jabatan Logistik PDRM, Datuk Zulkifli Abdullah  berkata  hanya pengusaha yang terdiri daripada syarikat berdaftar sahaja dan diiktiraf kepakarannya oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia boleh memohon dan memiliki senjata berkenaan.

Menurutnya permohonan senjata yang digunakan sukan perlu berpandukan kepada Seksyen 4 Akta senjata api 1960.

“Pemohonan bagi individu tidak akan dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman,pagi tadi.

Sementara itu katanya, bagi senjata mainan ‘toy gun’ tidak memerlukan lesen untuk pemilikannya kecuali bagi peniaga yang mengimport masuk senjata mainan tersebut.

Rasuah: Dua polis mengaku tidak bersalah

Rasuah
KUANTAN - Dua anggota polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini atas pertuduhan menerima rasuah tahun lepas.

Lans Koperal Sarisan Samsuddin, 28, dan Konstabel Mohd Alif Abdullah, 26, yang bertugas di Cawangan Pencegahan Jenayah, Ibu Pejabat Polis daerah Kuantan didakwa menerima rasuah daripada Che Rahayu Mat Rahim di tepi jalan Air Putih, pukul 5.50 petang, pada 15 Mei tahun lepas.

Sarisan didakwa meminta suapan berjumlah RM10,000 manakala Mohd Alif meminta suapan RM30,000 sebagai dorongan untuk melepaskan Mohd Izani Zaharudin dan tidak membawanya ke balai polis atas kesalahan mengikut Seksyen 39 (A) (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu menurut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan jika disabitkan kesalahan.

Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad menetapkan 20 Dis ini untuk sebutan semula kes.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...