KUALA
LUMPUR - Sebanyak 1,627 KES MACAU SCAM yang
membawa KERUGIAN BERNILAI RM98.3 JUTA dicatatkan oleh Polis Diraja
Malaysia(PDRM) bagi tempoh sembilan bulan
pertama tahun ini.
Timbalan Pengarah (Siasatan
Jenayah Siber & Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM Senior
Asisten Komisioner Datuk Ahmad Noordin Ismail berkata, jumlah itu meningkat
berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu sebanyak 862 kes yang mencatat
kerugian berjumlah RM 25.8 juta.
“Statistik ini menunjukkan berlaku peningkatan terhadap kes-kes Macau Scam. Ini
turut menunjukkan bahawa sama ada rakyat kita ini peka atau tidak (tentang
jenayah Macau Scam).
Hakikatnya tidak. Mereka mudah terpedaya dan senang percaya dengan mana-mana
panggilan terutama daripada polis (PDRM) atau mana-mana agensi tertentu,”
katanya ketika ditemu bual dalam satu ruang bicara khas oleh sebuah stesen
televisyen tempatan malam ini.
Menurut Ahmad Noordin,
membayar saman melalui panggilan telefon antara modus operandi (MO) yang
diamalkan oleh penjenayah bagi menakutkan mangsa.
“Jika anda menerima
panggilan (Macau Scam), terus ke balai polis terdekat untuk membuat laporan.
Belum pernah polis menyuruh untuk membuat bayaran saman melalui mesin ATM
(mesin pengeluaran wang automatik),” katanya.
Selain itu, Ahmad Noordin
turut menyatakan perasaan tamak, perasaan takut dan mudah mempercayai orang
lain menjadikan rakyat di Malaysia mudah terpedaya dengan taktik yang dilakukan
penjenayah.
Sementara itu, Ketua Pegawai
Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (MCMC), Zulkarnain Mohd Yasin berkata selain panggilan telefon, MACAU SCAM TURUT HADIR MELALUI APLIKASI-APLIKASI TELEFON PINTAR seperti WeChat dengan
menawarkan pelbagai tawaran lumayan seperti PEMBELIAN BARANGAN DALAM TALIAN
DENGAN HARGA YANG LEBIH MURAH.
“Apa yang penting, pengguna
harus lebih peka, prihatin dan semak terlebih dahulu sebelum klik. Pengguna
juga perlu memahami tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) PDRM atau mana-mana
agensi supaya tidak ditipu oleh panggilan yang mengaku polis. Jenayah Macau
Scam juga sentiasa berubah mengikut keadaan,” katanya.
Selain itu, Zulkarnain
berkata, orang ramai sering mengutamakan kualiti teknologi berbanding aspek
keselamatan teknologi.
“Empat puluh dua juta
pengguna internet (akaun) terdedah dengan risiko penipuan. Aspek keselamatan
juga penting bagi mengelak kita daripada menerima panggilan yang tidak dikenali
ataupun pautan di web (laman sesawang) yang membawa kita ke jenayah ‘scammer’,”
katanya. - Bernama