Ahad, 13 Julai 2014

Pemburu maut tertembak diri sendiri


CHANGLUN – Keseronokan dua lelaki keluar berburu bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut tertembak diri sendiri di ladang getah Felda Laka Selatan di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa A. Teraji, 59, dari Kampung Lanjut Malau, Pokok Sena pergi memburu di sekitar ladang itu bersama anak saudaranya, A. Jhabistih, 26, dengan menaiki dua buah motosikal.
Bagaimanapun, ketika sedang memburu, motosikal yang dinaiki mangsa terlanggar lubang menyebabkan mangsa terjatuh sebelum secara tidak sengaja tertarik picu senapang patah yang disandangnya.
Tembakan itu tepat mengenai bahagian kiri kepala mangsa menyebabkan dia maut di tempat kejadian.

CUBAAN SELUDUP 70,000 LITER DIESEL BERSUBSIDI GAGAL


Mersing, 12 Julai – Tindakan dua pemandu lori yang sedang leka memindahkan 70,000 liter minyak diesel bersubsidi dari dua buah lori tangki ke empat buah bot kargo ikan yang dipercayai untuk diseludup keluar berjaya ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Endau, Mersing, malam kelmarin.

Komander PPM Wilayah Tiga, ACP Azmi Ibrahim berkata, pemeriksaan mendapati pemandu lori dan pemilik bot disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana gagal menunjukkan dokumen yang lengkap berkaitan kebenaran untuk menjalankan aktiviti berkenaan. 

Tujuh beranak disamun menjelang waktu sahur

Gambar hiasan
ROMPIN: Tujuh beranak disamun tiga lelaki dipercayai warga asing bersenjatakan parang dan kayu di rumah mereka di Penempatan Rompin Utama Tebu Hitam di sini, awal pagi semalam. 

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa berumur 46 tahun yang bekerja sebagai pemandu van ladang tembikai dan isteri, ibu mentua serta empat anaknya yang sedang tidur di bilik berasingan dikejutkan suspek sebelum dikumpulkan dalam satu bilik di tingkat bawah rumah dan diikat dengan dawai. 

"Selepas menggeledah rumah mangsa, suspek kemudian melarikan beberapa barang milik mangsa," kata Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya kepada pemberita di sini hari ini.

Jangan anggap usaha PDRM 'hangat-hangat tahi ayam'


BAGAN DATOH: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sentiasa berusaha membanteras sindiket perjudian, dadah, kongsi gelap dan militan melalui pelbagai operasi, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Justeru itu, beliau meminta pihak tertentu supaya tidak memperlekehkan usaha PDRM dengan menyifatkan operasi pihak berkuasa sebagai 'hangat-hangat tahi ayam'. 

"Jangan ingat bila kenyataan (media) agak berkurangan, operasi ini tidak berjalan...kami maklumkan hasil kejayaan operasi dari semasa ke semasa. 

"Pihak tertentu juga tidak wajar melemparkan tuduhan kepada polis termasuk Ketua Polis Negara dengan menyifatkan operasi mereka sebagai 'hangat-hangat tahi ayam'," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tadarus Al-Quran Perdana Parlimen Bagan Datoh di Dewan Wisma Umno di sini, hari ini. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...